KENYATAAN DR SYED HUSIN ALI PRESIDEN PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM) PADA 14 OGOS 99

LAPORAN POLIS ANWAR: JANGAN ALIH PERHATIAN

Beberapa orang pemimpin Kerajaan BN, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sangat marah ke atas tiga laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tun Daim Zainuddin, Datuk Paduka Rafidah Aziz serta Tan Sri Eric Chia dan amalan rasuah yang didakwa mereka lakukan.

Tidak ada penafian atau penjelasan daripada para pemimpin ini tentang dakwaan tersebut. Sebaliknya, ramai di antara mereka menggesa pula supaya tindakan diambil terhadap Anwar di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Reaksi daripada pemimpin-pemimpin BN ini menguatkan lagi kepercayaan umum bahawa laporan-laporan itu mengandungi kebenaran yang tidak boleh dinafikan.

Mengapakah para pemimpin BN ini tidak mendesak supaya laporan-laporan Anwar diselidik sepenuh-penuhnya? Adakah mereka cuba hendak melindungi krono-kroni Perdana Menteri yang terkenal? Atau adakah mereka merasa bimbang bahawa satu hari nanti laporan polis akan dibuat pula terhadap rasuah mereka sendiri?

Mengapakah hendak dialih perhatian? Bukankah benar bahawa melakukan rasuah dan cuba menyembunyikan amalan rasuah lebih buruk akibatnya ke atas negara daripada melanggar OSA? Memang sudah terang di mata umum bahawa OSA telah sering diguna (atau disalah guna) untuk melindungi jenayah rasuah, seperti yang dilaporkan oleh Anwar, daripada terdedah kepada rakyat ramai.

Ada di antara pemimpin BN ini menyatakan bahawa banyak negara lain yang mempunyai akta OSA mereka sendiri. Tetapi ini tidak sama. Memang perlu ada akta rahsia rasmi yang boleh melindungi rahsia negara, terutama yang berkaitan dengan keselamatan negara, daripada jatuh ke tangan musuh-musuh negara. Akan tetapi, sudah tentu kita tidak memerlukan OSA, seperti yang ada di Malaysia ini, yang boleh dan sering pula digunakan untuk melindungi daripada pemeriksaan awam segala jenayah yang dilakukan terutama sekali di peringkat tertinggi pemerintahan. Itu sebab PRM sudah lama menentang OSA ini.

Oleh kerana Perdana Menteri dan Peguam Negara nampaknya liat sangat hendak mengambil tindakan ke atas laporan-laporan oleh Anwar, yang sebenarnya mengandungi tuduhan-tuduhan yang sudah dikemukakan lama sebelum ini di dalam atau di luar Parlimen, maka PRM mendesak supaya mereka meletakkan jawatan. Pada masa yang sama, kami menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas ditubuh untuk menyiasat dengan seteliti-telitinya laporan-laporan polis Anwar ini.

Dr Syed Husin Ali

Presiden PRM

14 Ogos 1999