PERTEMBUNGAN ANTARA SOMBONG DAN JAHIL

Catatan Mahkamah oleh: IBNU ISMAIL (HARAKAH)

Saya rasa, kehadiran saudara-saudara yang begitu ramai pada hari ini, termasuk para peguam adalah kerana hendak mengetahui kedudukan kes 3 orang pelajar yang dipecat daripada sekolah kerana memakai serban. Pokok persoalannya, tiga orang pelajar Sekolah Kebangsaan Serting (Felda) telah disingkir daripada sekolah tersebut oleh guru besar mereka kerana mereka memakai pakaian rasmi sekolah dengan ditambah satu lagi, iaitu serban. Jadi adakah penyingkiran mereka itu sah?

PERLEMBAGAAN

Pertama, saya suka memulakan dengan merujuk kepada Perlembagaan negara. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ada menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia. Agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Tetapi tertakluk kepada Islam sebagai agama rasmi, agama lain tidak boleh dikembangkan kepada umat Islam. Perkara 11 pula menyebut bahawa setiap orang berhak beramal dengan agamanya tanpa boleh diganggu gugat oleh orang lain.

Dengan kata lain, Islam ibarat sepohon pokok jati. Pokok pisang, pokok jambu dan lain-lain boleh hidup di bawah naungan pokok jati, tetapi tidak boleh tumbuh lebih tinggi daripadanya. Oleh itu jika kerajaan membina masjid umpamanya, maka agama lain tidak boleh mendirikan rumah ibadat mereka lebih besar dan lebih tinggi daripada masjid. Kerana ini telah merendahkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara multy-relegion dan multy culture. Tetapi multy-relegion mestilah berteraskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Kepentingan Islam mestilah didahului dalam membuat apa-apa keputusan.

Setiap undang-undang, setiap akta dan setiap peraturan yang hendak digubal hendaklah dilihat kepada kepentingan Islam terlebih dahulu. Soalnya sekarang, adakah Kementerian Pendidikan Malaysia faham perkara 3 dan 11 ini. Adakah tatacara berpakaian bagi pelajar sekolah seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan itu mengambil kira Islam sebagai agama rasmi Persekutuan?

ISLAM

Kedua, kita lihat pula apa pandangan Islam tentang serban. Menerusi ayat 26 surah Al-A'raf Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya..."

Sementara di dalam hadis pula, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidak halal bagi seorang lelaki memandang aurat perempuan dan tidak halal bagi seorang perempuan memandang aurat lelaki."

Persoalan seterusnya ialah apa itu aurat. Aurat ialah anggota tubuh badan manusia yang wajib ditutup daripada pandangan ajnabi. Bagi lelaki, auratnya ialah di antara pusat dan lutut. (Di sini hakim mengemukakan beberapa hadis yang menerangkan tentang perkara tersebut). Sementara aurat wanita pula ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tangan hingga pergelangan. (Sekali lagi hakim mengemukakan hujah daripada hadis-hadis nabi).

Bagaimana pula kedudukan serban di sisi Islam? Menurut saksi pertama (Ustaz Abd Ghani Shamsuddin), memakai serban adalah sunnah nabi. Dan banyak hadis yang menyatakan demikian. Mungkin ada pula yang tidak faham apa itu sunnah. Saudara Syed Ahmad Johari (penjaga plaintif), apa yang saudara faham tentang sunnah? (Syed Johari menjawab: "The way of life!") The way of life? Sebenarnya ada beberapa pendapat tentang Sunnah. Menurut Ahli Hadis, sunnah ialah segala yang dipindahkan daripada Nabi Muhammad s.a.w sama ada berbentuk perkataan, perbuatan ataupun taqrirnya, sama ada selepas dilantik menjadi rasul ataupun sebelum daripada itu. (Di sini hakim menerangkan pengertian taqrir).

Menurut Ahli Usul pula, sunnah ialah segala yang dipindahkan daripada Nabi Muhammad s.a.w yang bersangkutan dengan hukum. Ia wajib diambil dan diamalkan. Ini berdasarkan hadis nabi yang masyhur: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepadanya; iaitulah kitabullah dan sunnahku."

Dan sabdanya lagi, "Wajib ke atas kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa' Ar-Rashidin." Dari segi pelaksanaan sunnah ini, ia tertakluk kepada hukum yang lima (wajib, sunat, haram, makruh dan harus). Maka memakai serban hukumnya adalah merupakan sunnah yang sunat diamalkan. Jika pakai, maka dapat pahala dan jika tidak pakai tidak dikira berdosa.

DASAR KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Ketiga, kita lihat pula kepada dasar berpakaian bagi pelajar yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Adakah ianya bersesuaian dengan ajaran Islam, atau bersesuaian dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Menurut pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak kementerian, semua pelajar lelaki sekolah menengah hendaklah memakai seluar pendek berwarna hijau kehitam-hitaman. Tetapi mereka boleh memakai seluar panjang jika dikehendaki oleh pelajar berkenaan atau ibu bapa mereka.

Kenyataan ini sudah jelas menunjukkan bahawa dasar berpakaian yang dibuat oleh kementerian bercanggah dengan perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Sepatutnya didahulukan seluar panjang kerana ia lebih menutup aurat. Saya cadangkan dibuat perubahan begini, "Semua pelajar lelaki hendaklah memakai seluar panjang yang menutup aurat, tetapi seluar pendek boleh dipakai jika dikehendaki oleh pelajar berkenaan atau penjaganya."

Dasar berpakaian Kementerian Pendidikan ini adalah tidak selari dengan kehendak Islam. Saya katakan dasar pendidikan ini terbalik dan songsang. Tetapi saya tidak berani mengatakan ianya tidak sah. Walau bagaimanapun, di dalam tatacara berpakaian yang ditetapkan oleh kementerian, tidak menyebut tentang serban. Kementerian mengambil sikap diam terhadap isu serban. Tidak ada larangan dan tidak ada kebenaran.

PERATURAN SEKOLAH

Keempat, kita lihat pula kepada peraturan sekolah yang dibuat oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Serting (Felda), Fatimah Sihi. Menerusi peraturan yang dikatakan digubal pada tahun 1996, dalam bab larangan berpakaian, antara lain menyebut, "Semua pelajar dilarang memakai turban (serban), furdah..."

Dalam hal ini, guru besar telah bertindak melebihi kuasa yang ada padanya. Kementerian memberikan garis panduan secara dasar berkaitan dengan pakaian. Guru besar pula boleh membuat peraturan sekolah dengan tertakluk kepada dasar yang dibuat oleh kementerian.

Tetapi guru besar ini telah membuat suatu peraturan yang kementerian sendiri tidak berani menyentuhnya. Kementerian sendiri tidak berani mengharamkan serban dan turban. Dalam ajaran Sikh sendiri, berserban bukanlah suatu yang wajib. Yang wajib ialah menjaga rambut dan diharamkan memotongnya bermula daripada lahir. Oleh kerana rambut mereka panjang, maka untuk menjaganya ditetapkan dua cara; pertama dengan menggunakan sejenis jarum dan keduanya memakai turban. Dengan tujuan untuk kelihatan kemas.

Dalam keadaan tidak wajib memakai turban itu pun, Kementerian tidak berani menyentuh hak kaum Sikh. Tetapi guru besar ini telah bertindak keterlaluan mengharamkan pemakaian serban dan turban.

MANGSA PERTEMBUNGAN DUA MANUSIA

Kesimpulannya, saya melihat budak ini bukan mangsa kepada Kementerian Pendidikan. Tetapi mereka adalah mangsa kepada pertembungan dua manusia yang sombong di satu pihak dan jahil di satu pihak yang lain.

Secara berdepan saya katakan bapa pelajar-pelajar ini sombong. Saudara jangan marah. Jika tidak puas hati saudara boleh marayu. Saya katakan sombong kerana nama bapa plaintif, Syed Ahmad Johari bin Syed Mohammad. Anaknya pula Syed Abdullah Khaliq Aslamy bin Syed Ahmad Johari dan Syed Ahmad Syakur Dihya bin Syed Ahmad Johari. Sementara anak saudaranya pula bernama Meor Atiqurrahman bin Ishak.

Kenapa Meor, tidak syed? Ini kerana ibu Meor, iaitu adik kepada Syed Ahmad Johari seorang Syarifah berkahwin dengan orang porno, istilah orang Rembau. Orang porno ialah orang biasa. Maka anak mereka tidak boleh dinamakan Syed, sebaliknya dinamakan Meor.

Lantaran hendak mempertahankan darjat dan keturunan ini bapa pelajar-pelajar berkenaan menjadi sombong dengan bertegas untuk mempertahankan pemakaian serban yang merupakan sunnah Rasulullah.

Saya tidak mengatakan pemakaian serban itu satu perbuatan sombong. Tetapi tindakan mempertahankan keturunan itu sesuatu yang mendorong ke arah keburukan. Di dalam al-Qur'an menyebut bahawa manusia yang sebegini, di dalam hatinya ada penyakit 'baghyan'.

Manusia kedua ialah guru besar yang jahil. Mahkamah melihat guru besar ini sebagai jahil. Dalam perbicaraan yang lalu, beliau telah mendedahkan kepada mahkamah kejahilannya yang tidak dapat membezakan di antara serban dan turban. Katanya serban dan turban itu suatu benda yang sama. Sedangkan serban adalah pakaian orang Islam dan turban pakaian orang Sikh.

Guru besar ini tidak faham hukum Islam yang berkaitan dengan serban. Sebab itu dalam satu kenyataan, guru besar telah mengetuk kepala pelajar berkenaan ketika hendak menyampaikan kepadanya hadiah kecemerlangan pelajaran di hadapan perhimpunan. Di waktu yang lain pula guru besar berkenaan memukul kepala pelajar berkenaan dengan fail berat.

Perkara ini dibuat laporan polis oleh bapa plaintif dan surat doktor pun ada. Tetapi guru besar mengatakan dia hanya pukul perlahan sahaja. Janganlah hendak tipu mahkamah dengan fakta yang tidak wujud.

17 Jun lalu, guru besar ini telah memberitahu mahkamah bahawa dia buat undang-undang mengharamkan serban kerana ramai pelajar memakai serban, topi cowboy, topi cokiya dan selempang fisherman ala Kelantan. Ini semua fakta yang tidak relevan.

Jika benar demikian, mengapa tidak dibuat undang-undang mengharamkan topi cokiya dan selempang fisherman ala Kelantan itu? Jadi janganlah cuba hendak menunjukkan diri sebagai lemah lembut di dalam mahkamah. Mahkamah tahu. Janganlah disebabkan kejahilan, kita bertindak di luar batasan ilmu. Diam, sepi dan senyap adalah lebih baik daripada bertindak jika kita tidak tahu sesuatu hukum.

Memakai serban itu perkara yang baik. Penjaga menjelaskan bahawa ia bertujuan untuk mendidik anak-anaknya menjadi orang Islam yang berakhlak. Jadi janganlah dihalang.

PERTEMBUNGAN

Pertembungan di antara penjaga yang sombong dan guru besar yang jahil telah mengakibatkan pelajar ini menjadi mangsa. Mereka dibuang sekolah kerana dikatakan tidak mengikut dasar sekolah.

Mahkamah berpendapat tindakan buang sekolah kerana memakai serban adalah terlalu berat. Itu satu tindakan terburu-buru. Guru besar telah mengambil satu tindakan di luar bidang kuasanya. The rule of nature justice tidak diamalkan dalam pembuangan pelajar-pelajar berkenaan.

KEPUTUSAN

Maka dengan ini mahkamah memutuskan bahawa tindakan guru besar menyingkirkan pelajar-pelajar terbabit sebagai tidak sah. Perintah guru besar itu dibatalkan. Mahkamah membenarkan semua permohonan plaintif untuk membatalkan keputusan guru besar berkenaan. Semua ganti rugi akan ditaksirkan oleh pendaftar.

(Peguam Mohd. Hanipa mencelah: "Yang Arif saya mohon mahkamah mengarahkan agar guru besar berkenaan ditukar.") Tak payahlah sampai kena tukar. Cukuplah dengan pelajar berkenaan dibenarkan kembali bersekolah.