SURAT HJ MAHFUZ KEPADA ABDULLAH BADAWI PADA 16 OGOS 99

PAS/DPP/1.03.01(03)

4 JAMADIL AWAL 1420

16 OGOS 1999

Kepada;

YAB DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI,

Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

Pejabat Timbalan Perdana Menteri,

Jabatan Perdana Menteri,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

PUTRA JAYA.

YAB Datuk Seri,

DESAKAN AGAR PERDANA MENTERI MENAMATKAN LAWATAN KE RUSSIA DAN PENGIKTIRAFAN KERAJAAN TERHADAP KEMERDEKAAN DAGESTAN

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) adalah melahirkan rasa yang amat kesal di atas lawatan YAB Perdana Menteri ke Russia ketika negara pengganas tersebut menyerang dan menganiayai umat Islam Dagestan. DPP Pusat berpandangan bahawa Perdana Menteri sewajarnya menamatkan segera lawatan tersebut dan segera keluar daripada Russia sebagai protes terhadap tindakan biadap negara tersebut.

DPP Pusat melihat lawatan yang dibuat oleh Perdana Menteri ini sebagai menghina dan memalukan umat Islam sedunia dan juga umat manusia seluruhnya. Perdana Menteri selaku Wira Dunia Ketiga yang memperjuangkan hak asasi manusia sedunia tidak sepatutnya meneruskan lawatan tersebut jika semata-mata untuk kepentingan ekonomi sedangkan lawatan tersebut jelas memperlihatkan Malaysia seolah-olah sedang menyokong tindakan tidak bertamadun Russia ke atas umat Islam. Tindakan kebinatangan Russia ini adalah melanggar hak asasi manusia yang sewajarnya diberi peluang untuk hidup aman, bebas dan merdeka.

DPP Pusat juga merasakan bahawa tindakan Perdana Menteri melawat Russia ini sebagai mencabuli pengiktirafan badan-badan Islam antarabangsa kepada beliau apabila beliau langsung tidak mempunyai sensitiviti terhadap penghinaan kepada umat Islam Dagestan. Anugerah-anugerah daripada negara umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka melihat Perdana Menteri adalah tokoh yang lantang memperjuangkan nasib umat Islam sedunia, tetapi bukankah lawatan kerja ke Russia ketika negara tersebut menindas umat Islam boleh dianggap menghina umat Islam dan semua pengiktirafan tersebut. DPP Pusat akan mendesak semua pihak yang memberi anugerah penghormatan kepada Perdana Menteri agar menarik balik anugerah tersebut berikutan penghinaan beliau terhadap umat Islam Dagestan.

Perdana Menteri selama ini begitu lantang menuduh parti-parti alternatif sebagai agen pembangkang yang menggugat kestabilan dan keselamatan negara, tetapi hari ini ternyata Perdana Menteri bersekongkol dengan pengganas antarabangsa untuk menindas umat Islam dan manusia seluruhnya. Jika pada 1989, Kerajaan Malaysia membuat kesilapan menyokong Tentera Bersekutu PBB untuk menindas umat Islam dan rakyat Iraq, mengapa kali ini kerajaan sekali lagi ingin mengulangi kesilapan tersebut. Kerajaan juga menghina dan memalukan umat Islam negara ini dengan membawa masuk pasukan kriket Israel pada 1997 semata-mata atas alasan semangat kesukanan ketika negara haram tersebut menindas umat Islam di Palestin. DPP Pusat sangat membimbangi jika Kerajaan Malaysia terlibat dalam konspirasi antarabangsa untuk menghalang kebangkitan umat Islam.

DPP Pusat juga mendesak agar Kerajaan Malaysia segera memberi pengiktirafan terhadap kemerdekaan Dagestan dan merancang untuk memberikan sebarang bentuk bantuan serta sokongan moral kepada negara baru umat Islam tersebut. Adalah sangat tidak wajar Kerajaan Malaysia tunduk kepada tuntutan Russia agar negara-negara umat Islam tidak mengiktiraf Dagestan semata-mata demi kepentingan politik dan ekonomi sehingga melupakan kepentingan persaudaraan Islam yang diikat oleh aqidah yang suci.

Bagi DPP Pusat, adalah suatu yang menghairankan jika Kerajaan Malaysia yang menyeru rakyat negara ini agar mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati hari ini tetapi tidak boleh menghormati dan mengiktiraf kemerdekaan yang diperjuangkan oleh negara umat Islam yang lain. Sebagai sebuah negara umat Islam contoh, Malaysia semestinya mendahului negara-nagara lain untuk memberi pengiktirafan kepada negara umat Islam Dagestan.

Akhirnya, DPP Pusat mengharapkan Kerajaan Malaysia memahami pendirian kami terhadap masalah umat Islam antarabangsa dan juga sikap Kerajaan Malaysia. DPP Pusat mendesak YAB Datuk Seri untuk segera menyatakan pendirian Kerajaan Malaysia terhadap tindakan kurang ajar Russia ini.

Sekian. Terima Kasih.

Yang Menjalankan Amanah,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Sk.

Setiausaha Agung PAS

YB Menteri Luar Malaysia

Setiausaha Politik Perdana Menteri