Anwar Failkan Notis Rayuan

Berita Harian Jumaat 25 Disember 1998 6 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan notis rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan samannya terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 2 September lalu yang didakwa tidak sah dan batal.

Anwar memfailkan notis itu menerusi peguam bela Karpal Singh di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Wisma Denmark di sini, pada jam 9.35 pagi.

Mahkamah Rayuan belum lagi menetapkan tarikh perbicaraan dan Karpal memberitahu pemberita, pihaknya akan memohon tarikh awal untuk mendengar rayuan itu.

Semalam, Hakim Datuk Mohd Saari Yusoff membenarkan permohonan pembatalan saman itu dengan kos, yang dikemukakan menerusi Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Zaitun Zauyah Puteh, mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memfailkan saman pada 13 November lalu, memohon pengisytiharan bahawa pemecatannya bercanggah dengan Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon kepada mahkamah mengisytiharkan pemecatannya tidak sah dan batal serta tidak berkesan. Anwar juga memohon satu pengisytiharan bahawa beliau masih lagi seorang menteri Kabinet.

Dalam penghakimannya, Mohd Saari berkata, perkara yang perlu ditetapkan ialah sama ada pembatalan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata, walaupun tidak mengikut format, pada pendapatnya, surat pembatalan sudah memenuhi Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, katanya, beliau tidak nampak perlunya perbicaraan atau perbahasan.

Pada 21 Disember lalu, Mohd Saari menolak permohonan Anwar supaya kes samannya dipindahkan kepada hakim Datuk James Foong, mahkamah asal kes itu didaftarkan untuk dibicarakan.

Mohd Saari memberi alasan beliau mendapat arahan bertulis Hakim Besar Malaya, Datuk Wan Adnan Ismail supaya mendengar kes itu.

Pada 1 Disember lalu, Peguam Negara memfailkan satu permohonan membatalkan saman Anwar atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan apa-apa kuasa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta satu penyalahan proses mahkamah.

Permohonan itu disokong afidavit Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong, Jaapar Wahab dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali. Dalam afidavit itu, mereka mendakwa pelucutan jawatan Anwar diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka membuat perintah supaya memotong nama Anwar daripada jawatan Menteri Kewangan dan menggantikan namanya dengan nama Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar memfailkan satu afidavit jawapan pada 4 Disember lalu dengan berkata Peguam Negara membuat permohonan itu kerana salah anggap.

Dalam samannya yang disokong oleh afidavit, Anwar mendakwa beliau yang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selepas pilihan raya umum 1995.

Menurutnya, pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (20) (b) Perlembagaan Persekutuan.