Anwar Gagal Dapat Hakim James Foong

Berita Harian Selasa 22 Disember 1998 3 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Isnin - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kes samannya terhadap Perdana Menteri, dipindahkan kepada Hakim Datuk James Foong, mahkamah asal kes itu didaftar untuk dibicarakan. Hakim Datuk Mohd Saari Yusoff, yang membuat keputusan itu, mendapati arahan bertulis sudah dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Wan Adnan Ismail supaya kes itu didengar oleh beliau.

"Hakim Besar Malaya telah mengarahkan saya mendengar kes ini awal-awal lagi atas alasan saya adalah Ketua Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi. Walaupun pada masa itu beliau membuat arahan secara mulut (lisan), tetapi kini arahan

secara bertulis sudah dihantar kepada saya.

"Kalau saya benarkan permohonan memindahkan kes ini, saya akan keluarkan perintah yang bertentangan dengan arahan Hakim Besar Malaya. Oleh itu, permohonan untuk memindahkan kes ini tidak dibenarkan," katanya.

Mohd Saari berkata, sebenarnya kes saman itu adalah satu beban tambahan kepada tugasnya yang sedia ada. Bagaimanapun, katanya, beliau telah diarahkan oleh Hakim Besar Malaya untuk mendengar kes berkenaan. Pada 10 Disember lalu, Anwar menerusi peguam bela Karpal Singh mengemukakan bantahan awal memohon kes itu dipindahkan kepada Mahkamah Sivil 5 atau depan Foong, bukan Mahkamah Sivil 1 yang hakimnya adalah Mohd Saari.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Zaitun Zawiyah Puteh yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memohon supaya saman itu dibatalkan. Zaitun berhujah bahawa permohonan itu patut dibatalkan kerana Anwar tidak mempunyai alasan munasabah untuk mendapatkan perintah seperti yang dipohonnya.

Katanya, surat keputusan Perdana Menteri melucutkan jawatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak bercanggah dengan Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, keputusan dibuat dan dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah selaras dengan peruntukan Perkara 43 (5) itu yang dibacakan bersama dengan Perkara 40 (1A) perlembagaan negara.

"Apa yang perlu diikuti dalam Perkara 43 (5), perlucutan jawatan seseorang menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Keputusan itu tidak perlu diwartakan atau menggunakan borang tertentu.

"Keputusan telah dibuat oleh Perdana Menteri dan dimaklumkan kepada Perdana Menteri. Di sini, keputusan itu adalah satu tindakan pembatalan. Yang di-Pertuan Agong kemudian menamakan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan menggantikan Anwar.

"Jika Yang di-Pertuan Agong tidak perkenan melucutkan jawatan Anwar, sepatutnya beliau tidak akan melantik Menteri Kewangan yang baru, " katanya. Zaitun berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budibicara untuk menolak keputusan atau nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri berhubung perlucutan jawatan seseorang menteri.

Menurutnya, sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat pembatalan jawatan itu, keputusan perlu dibuat terlebih dahulu dan ia telah dilakukan oleh Perdana Menteri dalam kes ini.

Selain itu, katanya, keputusan Perdana Menteri itu disokong oleh afidavit Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Halim Ali dan Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong, Ja'apar Wahab.

Karpal berhujah keputusan Perdana Menteri melucutkan jawatan Anwar bercanggah dengan Perkara 43 (5) kerana hanya Yang di-Pertuan Agong boleh berbuat demikian. Menurutnya, Perdana Menteri hanya boleh menasihatkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan seseorang menteri dan bukannya membuat keputusannya sendiri melucutkan jawatan menterinya. Katanya, surat perlucutan jawatan yang dihantar kepada Anwar pada 2 September lalu bercanggah dengan Perkara 43 (5). Karpal berhujah, soal Yang di-Pertuan Agong menerima keputusan Perdana Menteri bukan satu isu, tetapi yang penting ialah beliau diperuntukkan kuasa mengikut perlembagaan untuk membatalkan jawatan itu.

"Perlembagaan tidak pernah menyebut Perdana Menteri boleh menyampai keputusan tetapi menyatakan Perdana Menteri boleh memberi nasihat berhubung perlucutan jawatan seseorang menteri.

"Perdana Menteri tidak boleh membuat keputusan untuk melucutkan jawatan Anwar kerana beliau (Anwar) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Hanya Yang di-Pertuan Agong yang boleh melucutkan jawatannya, " katanya.

Pada 5 Disember lalu, Anwar memfailkan afidavit bagi mengetepikan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan samannya berhubung pemecatannya daripada Kabinet yang didakwa tidak sah dan batal.

Anwar yang memfailkan afidavit itu menerusi Tetuan Karpal Singh and Co di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Wisma Denmark, mendakwa permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai salah tanggapan. Menurutnya, perkenan Yang di-Pertuan Agong yang diberikan pada 5 September lalu dan PU (A) 332 (warta kerajaan) tidak mempunyai kaitan dengan perisytiharan yang dipohon dalam saman itu.

Pada 1 Disember lalu, Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia (defendan) menerusi Peguam Negara memfailkan permohonan membatalkan saman Anwar yang mendakwa pemecatannya daripada Kabinet tidak sah dan batal.

Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Januari depan untuk mendengar permohonan itu yang dibuat mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(a),(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Permohonan bagi mengetepikan saman Anwar itu dibuat kerana ia tidak mendedahkan apa-apa kuasa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta suatu penyalahan proses mahkamah.

Permohonan itu disokong oleh afidavit Abdul Halim dan Ja'apar.

Afidavit itu mendakwa pelucutan jawatan Anwar itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka membuat perintah supaya memotong nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menggantikan namanya sebagai Menteri Kewangan kepada nama Dr Mahathir.

Pada 13 November lalu, Anwar memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia mencabar pemecatannya daripada Kabinet. Dalam samannya, Anwar memohon pengisytiharan yang pemecatannya daripada kedua-dua jawatan itu tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau juga meminta pengisytiharan yang beliau masih menteri Kabinet selain menuntut kos dan apa-apa 'relief' yang difikirkan sesuai serta wajar. Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Anwar mendakwa beliau yang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selepas pilihan raya umum 1995.

Menurutnya, pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (20) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, pada jam 5.30 petang 2 September lalu Perdana Menteri melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan secara tidak sah dan bercanggah dengan Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pelantikannya sebagai menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dan beliau juga boleh membatalkan pelantikan itu atas nasihat Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.