DOA DAN HARAPAN DSAI DARI PENJARA

Ekslusif Oleh Anwar Ibrahim

Di saat ini, ketika saya mula menuliskan fikiran saya ini, jam sudah lebih dua pagi. Dalam keadaan saya dikurung bersendirian, bunyi sunyi membuat telinga saya bagaikan pekak, kalau pun tidak membuat saya berasa seram. Namun, selepas 90 hari terkurung, saya mula biasa dengan bunyi sunyi ini.

Saya teringat kepada suatu ayat di dalam buku saya Kebangkitan Asia yang berbunyi: "Kuasa peribadi adalah kuasa rakyat yang diperkosa." Sewaktu saya menuliskan ayat itu, yang ada dalam fikiran saya adalah wajah Suharto dan Mahathir, namun saya tidak menyangka sama sekali bahawa apa yang saya tuliskan itu menjadi suatu kenyataan dengan begitu cepat dan nyata sekali akibat peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Di dalam sebuah masyarakat Madani yang kita impikan, adalah menjadi kewajipan bagi pemimpin yang dipilih oleh rakyat, supaya dia menanamkan beberapa prinsip asas dan memastikan supaya prinsip-prinsip itu diamalkan. Yang utama di antara prinsip-prinsip itu ialah pemerintahan berdasarkan undang-undang, pengasingan kuasa yang jelas antara bahagian-bahagian kerajaan, kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun.

Rakyat bukan sekadar berhak mengamalkan kebebasan-kebebasan asas itu, malah rakyat hendaklah dididik supaya mempunyai kesedaran mengenainya. Maka oleh yang demikian, pendidikan asas tidak boleh sekadar memberikan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pasaran. Pendidikan hendaklah menyediakan golongan muda supaya mereka mampu mengambil bahagian dalam demokrasi. Di sini media yang bebas mempunyai peranan yang sangat penting. Tiap-tiap kebudayaan mengajarkan kepada kita bahawa akhirnya kebenaran akan melenyapkan kepalsuan. Namun ia hanya boleh berlaku apabila pertukaran pendapat berjalan dengan sihat, di mana rakyat bukan sekadar dibenarkan bercakap, tetapi mereka digalakkan bercakap dengan beraninya. Media yang dikongkong adalah pembunuh idealisme ini.

Ditinjau daripada sudut ini, Malaysia masih amat jauh daripada sebuah masyarakat Madani. Hak-hak rakyat yang diberikan oleh perlembagaan sering kali dicabuli oleh mereka yang mempunyai kuasa eksekutif. Usaha berani dan gigih pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan sivik bagi membetulkan masalah itu seringkali ditekan oleh kepimpinan yang tidak mahu menerima kritikan. Sebagaimana yang sering terjadi di bawah rejim kuku besi, Mahathir akan mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar dengan mengada-adakan momok-momok asing dan memanggil mereka yang mengkritiknya sebagai pengkhianat.

Istilah patriotisme diberi makna baru. Patriotisme bukan lagi bermakna kesediaan berkorban demi tanah air, sebaliknya ia disamakan dengan ketaatan membuta kepada elit yang memerintah. Patriot yang sebenar ialah orang yang berjuang membebaskan bangsanya daripada belenggu amalan-amalan tinggalan penjajah, dalam bentuk undang-undang yang zalim, menafikan hak-hak asasi manusia dan penyalahgunaan tabung wang rakyat.

Apabila diktator-diktator moden akhirnya digulingkan, ternyata mereka telah mengumpulkan harta dan kekayaan yang amat banyak. Mereka serupa dengan kaum penjajah yang merompak dan membawa pulang kekayaan tanah jajahan.

Di Malaysia, kita mempunyai pemisahan kuasa yang jelas antara badan-badan eksekutif, perundangan dan kehakiman, meskipun ia hanya dalam bentuk teori sahaja. Namun, sejak 17 tahun yang lalu, badan-badan kerajaan lebih merupakan boneka yang digerakkan oleh dalangnya, Mahathir. Para pembuat undang-undang, tanpa mengira parti politik yang mereka anggotai, mestilah menegakkan hak dan kebebasan rakyat di sisi perlembagaan. Kuasa tidak sentiasa betul. Tindak-tanduk pegawai pegawai tertinggi kerajaan, seperti polis dan pejabat peguam negara, mesti sentiasa diawasi oleh parlimen.

Kebangkitan Asia tidak mungkin berlaku tanpa wujudnya keadilan sosial dan keadilan ekonomi. Kemajuan ekonomi hanya bermakna apabila ia dinikmati oleh majoriti rakyat. Tetapi, di bawah program raksasa kemajuan ekonomi Mahathir, isu-isu penting seperti pembasmian kemiskinan, keselamatan di tempat kerja dan kemudahan perumahan asas hanya diberi layanan sampingan. Sudah barang tentu, rakyat tidak akan menikmati keadilan sosial dan keadilan ekonomi selagi kronisme dan nepotisme tidak dihapuskan. Di Malaysia, segelintir individu yang istimewa dan haloba berjaya mengaut rezeki harimau daripada kekayaan hasil pembangunan ekonomi. Apa yang pada mulanya adalah suatu dasar afirmatif, ia ditukar menjadi sistem rasuah dan pilih kasih.

Projek-projek dan kontrak-kontrak diberikan kepada orang-orang yang dikenali, bukan kepada mereka yang pakar. Segelintir manusia yang mendapat habuan besar semakin bertambah kaya raya dengan cara-cara yang menzalimi pihak-pihak lain. Kronisme menggalakkan nepotisme dan amalan rasuah. Ia adalah suatu putaran yang kejam. Dasar memilih-milih bukanlah suatu dasar yang semestinya kejam. Malah dasar ini diperlukan demi membetulkan jurang ekonomi yang wujud akibat kelemahan pengurusan sosial selama berpuluh-puluh tahun. Namun, pada amalannya, dasar perancangan sosial yang murni ini telah dieksploitasi dengan amat licin.

Dengan cara-cara yang merugikan majoriti rakyat, dasar murni itu dipergunakan demi menjaga kepentingan segelintir Bumiputera dan para kroni, di mana ada kalanya mereka bertindak untuk diri sendiri dan ada kalanya untuk kroni bukan Bumiputera.

Reformasi sosial, politik dan ekonomi adalah prasyarat sekiranya Malaysia mahu maju menjadi sebuah masyarakat madani. Kita sudah menyaksikan perubahan politik di seluruh Asia Tenggara, di mana rakyat, terutama sekali di kalangan generasi muda, mereka semakin menyedari betapa kita memerlukan sebuh masyarakat madani dan demokrasi.

Gerakan Reformasi yang saya lancarkan pada 12 September lalu adalah suatu perjuangan menegakkan keadilan untuk semua, serta melindungi institusi dan proses undang-undang daripada dicabuli oleh rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia menyeru kepada pengagihan kekayaan yang merata serta bertekad menghapuskan rasuah dan manipulasi ekonomi. Gerakan ini merentasi sempadan kaum, budaya dan agama. Pada saat kita berusaha memperkukuh identiti budaya Malaysia yang dinamik dan menggalakkan sikap terbuka kepada dunia berdasarkan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan, kita perlu selalu waspada terhadap kecenderungan menggunakan semboyan-semboyan kosong.

Saya bertuah berpeluang mengenali ramai orang yang baik-baik dari seluruh dunia. Doa, dorongan dan simpati yang mereka berikan kepada saya menjadi api perangsang kepada jiwa saya, tidak seperti udara sejuk yang kini bertiup masuk dari jendela kecil kurungan saya di sini. Sejurus lagi subuh akan datang. Saya kini terdengar panggilan azan memecah kesunyian malam, dan saya melihat fajar mulai menyinsing membawa bersamanya satu lagi hari baru, dan hati saya berkata, dengan izin Allah, Malaysia akan melihat suatu zaman baru.

Diterjemahkan oleh AM

Ahli Persatuan Penterjemah Malaysia.