PEMECATAN DS ANWAR UNTUNGKAN TELEKOM

Kuala Lumpur, Ahad 3 Dis. Pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilakukan oleh Dr. Mahathir merugikan ramai pihak tetapi juga telah menguntungkan banyak pihak. Selama ini sektor yang paling jelas kelihatan banyak mendapat rahmat ialah sektor penerbitan majalah dan buku.

Walau bagaimanapun ada satu lagi sektor yang mendapat laba berganda-ganda, walaupun dalam keadaan ekonomi negara sedang gawat, sektor pembekalan talian Internet.

MIMOS ataupun nama rasminya Malaysian Insitute Of Microelectronic Malaysia dan sebuah anak syarikat Telekom Malaysia, TM.NET adalah dua buah syarikat yang menerima keuntungan berlipat ganda sejak DS Anwar dipecat. Kedua-dua syarikat itu adalah pembekal tunggal kepada perkhidmatan talian Internet.

Sumber RN di Telekom Malaysia memberitahu, sebelum DS Anwar dipecat, purata TM.NET menerima sekitar 7,000 permohonan baru untuk pemasangan Internet. Semenjak DS Anwar dipecat, syarikat itu menerima antara 17,000 hingga 20,000 permohonan baru sehingga menyebabkan kesukaran kepada para pekerjanya untuk memproses semua permohonan dengan segera.

Perkembangan perniagaan MIMOS dan TM.NET ini membawa masalah baru kepada kerajaan sendiri disebabkan pertambahan talian Internet bermakna lebih ramai rakyat Malaysia mendapat sumber maklumat alternatif untuk mengetahu hal-ehwal kegawatan politik yang sedang mengancam kuasa Dr. Mahathir sekarang. Sebaliknya ia amat menguntungkan gerakan Reformasi yang diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Siasatan RN mendapati banyak jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negara sudah bersetuju menggunakan sebahagian wang dalam tabung mereka untuk perbelanjaan memasang Internet. - RN