ARAHAN MUSTAPHA MOHAMAD KEPADA PEGAWAINYA

Kuala Lumpur, Sabtu 2 Dis. Wartawan RN yang pergi ke Kementerian Kewangan untuk membuat liputan perkembangan mutakhir di situ melaporkan beliau diberitahu oleh sumber RN di dalam kementerian itu baru-baru ini Menteri Kewangan Kedua Dato’ Mustapha Mohamad telah mengarahkan seorang pegawai peringkat tinggi untuk mengadakan bukti palsu bahawa Dato’ Seri Anwar pernah melakukan perbuatan rasuah.

Menurut sumber RN, pegawai tinggi tersebut diarahkan supaya membuat bukti palsu bahawa sewaktu DS Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau pernah menyalah gunakan kuasanya.

Pegawai itu diminta membuat dokumen-dokumen palsu yang bertarikh sebelum DS Anwar dipecat daripada jawatannya. Dokumen-dokumen itu kononnya menunjukkan DS Anwar pernah meluluskan sebuah projek di Sabah tanpa mematuhi prosedur kerajaan. Walau bagaimanapun, pegawai tinggi itu enggan melaksanakan arahan Dato’ Mustapha Mohamad itu.

Sebelum ini RN pernah melaporkan bahawa tiga bulan sebelum DS Anwar Ibrahim dipecat, Menteri Tugas-Tugas Khas Tun Daim Zainuddin pernah mengeluarkan araham kepada semua agensi di bawah Kementerian Kewangan, seperti KWSP, SOCSO, Lembaga Sekuriti, Jabatan Hasil Dalam Negeri dan lain-lain, supaya mencari dan mengumpulkan dokumen-dokumen yang membuktikan DS Anwar Ibrahim pernah menggunakan tandatangannya secara yang menyalahi prosedur kerajaan.

Walaupun arahan itu sudah dilakukan oleh semua agensi, tetapi kakitangan agensi-agensi itu sampai hari ini belum menjumpai dokumen seperti yang dikehendaki oleh Tun Daim Zainuddin. - RN