DEMOKRASI ALA REGIM MAHATHIR

LIDAH PENGARANG RN

ISNIN, 3 JANUARI 1998

Setelah hampir lebih tiga bulan, rakyat Malaysia seluruh negara sama ada daripada golongan senyap dan aktif telah melaungkan reformasi secara perikemanusiaan dan amat aman sekali. Namun begitu, penat lelah mereka melakukan laungan tersebut tidak mendapat ganjaran yang setimpal dengan pengorbanan mereka yang ingin melihat cahaya suria demokrasi bersinar kembali di bumi pertiwi. Bukan itu sahaja, demonstrasi secara aman damai pula telah dibalas dengan kezaliman kerajaan yang semahu-mahunya ingin terus berkuasa.

Jika negara-negara di seluruh dunia yang mengamalkan elemen hak bersuara demokrasi secara aman, mereka pasti akan terguris perasaan jika kerajaan Malaysia yang selama ini mendakwa mengamalkan demokrasi yang telus terus menindas dan memukul rakyat yang melaung-laungkan simfoni reformasi semata-mata ingin meneruskan kemandirian pemerintahan kuku besi di Malaysia. Keadaan di Malaysia rupa-rupanya tidak banyak berubah dengan demonstrasi yang berlaku di China, Korea Selatan dan Russia .

Walaupun begitu, adegan pemerintah China menembak mati pelajar-pelajar yang menunjuk perasaan di Medan Tianmien Beijing tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia di kala regim Mahathir nampakny mula berpandukan kitab Marxis dan tertarik dengan kejayaan rakan baiknya Fidel Castro (yang pernah menyambut kehadiran Mahathir tahun lepas sehingga ke kokpit kapal terbang dan ini merupakan penghormatan julung-julung kalinya diberikan oleh beliau kepada pemimpin luar). Presiden komunis itu baru-baru ini menyambut ulangtahun ke 40 pemerintahannya di Havana, Cuba.

Hak-hak rakyat untuk bersuara sudah dinafikan oleh regim Mahathir beralasankan ianya boleh menjejaskan perpaduan masyarakat majmuk walhal penyertaan rakyat yang mahukan reformasi politik, sosial dan ekonomi telah berjaya mengumpul ramai keahlian daripada kaum bukan Melayu. Bukan itu sahaja, ahli kaum bukan Melayu juga

Ditawarkan menjadi salah seorang jawatankuasa penaja Pergerakan Keadilan Sosial atau singkatannya ADIL. Cetusan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap regim Mahathir rata-rata ditolak bulat-bulat oleh kerajaan. Sehingga kini, Perdana Menteri masih boleh mengatakan jika setakat sepuluh peratus yang keluar dari UMNO, jumlah itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan sembilan peratus yang lain. Mungkin PM hanya menganggap

bahawa jika demonstrasi yang kebanyakannya berlaku di ibu kota, ianya tidak membimbangkan kerajaan kerana rakyat di bandar-bandar dan kampung-kampung lain masih menyokong beliau. Jika itu adalah dalih-dalih beliau, memang silaplah prasangka beliau dan kuncu-kuncunya.

Baru-baru ini, Datuk Mohamad Rahmat yang merupakan salah seorang ‘tukang karut’ terkenal di dalam kabinet regim beliau telah melancarkan sebuah laman baru untuk Kempen Cinta Negara yang memperkenalkan sebuah lagi lagu patriotik yang dikenali sebagai ‘Bersatu’. Antara intipati utama laman tersebut ialah menyediakan saluran terbuka kepada rakyat Malaysia untuk meluahkan perasaan melalui penulisan di dalam ruangan yang disediakan.

Meskipun begitu, lebih daripada sembilan puluh peratus dari keluhan-keluhan tersebut merupakan suara-suara berani para penyokong reformasi berbilang kaum yang mengutuk Ketidakadilan politik yang diamalkan oleh regim Mahathir. Ada juga pengunjung yang menulis secara sinisnya menasihati Datuk Mohamad Rahmat supaya menutup laman tersebut kerana objektif sebenar tidak akan tercapai. Tidak kurang juga yang mengingatkan kerajaan bahawa cintakan negara tidak semestinya cintakan Mahathir dan kerajaannya.

Jika skandal Monica Lewinsky dan isu Bin Laden yang terus menghantui Presiden William Jefferson Clinton yang dikaitkan dengan pembikinan filem "Wag The Dog, isu ketidakadilan kepada pemimpin kesayangan kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bolehlah dikaitkan dengan pembikinan filem ‘Red Corner’. Filem ini yang dilakoni oleh aktor terkenal seperti Richard Gere mengisahkan beliau dituduh bersalah membunuh seorang wanita Cina dengan paksaan dan penuh unsur-unsur konspirasi oleh kerajaan komunis China semata-mata ingin menyelamatkan pembunuh sebenar iaitu merupakan anak seorang menteri kanan kabinet China.

Di dalam filem ini, kebanyakan aksi lakonan dilakukan di Mahkamah Persekutuan yang menunjukkan institusi kehakiman negara komunis itu senang dipengaruhi oleh kuasa kuasa politik. Natijahnya di sini ialah ketidakadilan itu juga telah berlaku di negara kita yang dicintai. Seolah-olah pengawalan Mahathir ke atas ketiga-tiga elemen demokrasi iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman telah memusatkan segala kuasa ke dalam tangan beliau. Secara evolusinya, negara sedang menuju ke arah kediktatoran dan mungkin komunis moden.

Syukur kita ke hadrat Illahi kerana usaha-usaha regim Mahathir mencapai ‘one man powers all’ terbantut setelah Datuk Seri Anwar dan rakyat Malaysia akhirnya sedar dan bangkit dari lali yang lama akibat berpuas hati dengan sumbangan-sumbangan regim Mahathir di dalam meningkatkan taraf hidup rakyat sementara perahan ekonomi yang besar terus disumbangkan kepada mereka yang berkepentingan kepada kerajaan sahaja.

Kebelakangan ini, setelah kepupusan taktik dan usaha, regim Mahathir menggunakan cara terakhir memikat hati rakyat atau sekurang-kurangnya membuat rakyat berbelah-bagi untuk terus menyokong parti pembangkang dan gerakan reformasi. Cara yang dimaksudkan ialah dengan mendedahkan syarikat-syarikat awam yang dimiliki oleh rakan-rakan Datuk Seri Anwar. Pada hakikatnya, mereka ini memang layak menerima kedudukan sedemikian kerana mereka aktif di dalam kerajaan suatu ketika dahulu dan banyak berbakti kepada negara selain berusaha sendirian untuk naik hingga ke peringkat tersebut.

Perbezaannya ialah di pihak Mahathir yang menerima kekayaan sedemikian bukannya dari mereka yang banyak berbakti kepada negara, contonhnya seperti anak beliau sendiri. Siapakah anak-anak beliau kepada kepentingan masyarakat jika dibandingkan dengan Datuk Zahid Hamidi? Bukan itu sahaja, anak-anak beliau juga yang senang-lenang meratah harta rakyat melalui KWSP, LUTH dan Petronas sedangkan Datuk Seri Anwar tidak pun membenarkan rakan-rakannya yang lain mengambil harta rakyat di masa negara di dalam keadaan tenat. Apalah sangat jawatan sebagai Bendahari Pemuda UMNO melayakkan Mokhzani memiliki berjuta-juta ringgit. Inilah yang dikatakan antara bahana akibat sikap orang Melayu yang suka membalas budi pemimpin kepada keturunannya yang sejak di buaian laigi tidak mengenal erti kesusahan.

Suatu ketika dahulu di masa Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menjadi Perdana Menteri Malaysia, Mahathir pernah mengutuk beliau di dalam majalah Review keluaran 20 September 1969 dengan berkata ‘Tidak akan ada demokrasi di Malaysia, tidak ada sejak dahulu lagi mahupun akan datang’. Jika ini pernah dikatakan oleh beliau, memang wajar kita mengingatkan Mahathir di atas apa yang beliau pernah katakan. Andaikata beliau lupa akan kata-kata itu, ternyatalah beliau sudah tua dan nyanyuk. Dan orang yang nyanyuk pastinya tidak akan ingat pula akan pernah beliau mengatakan Almarhum Tunku seorang pemimpin yang nyanyuk semasa umurnya 60 tahun sedangkan umur Mahathir kini sudah pun jauh melangkaui had umur nyanyuk menurut sendiri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mencapai kedudukan sebagai Timbalan Presiden UMNO setelah mengharungi segala duri rintangan termasuklah ketika beliau kononnya dikatakan sebagai ‘anak’ kesayangan Mahathir. Beliau yang membawa perwatakan kesederhanaan ABIM telah berjaya sedikit sebanyak mengislamkan UMNO dari dalam walaupun pengikut-pengikut utamanya amat sedikit sekali di dalam mengembeleng usaha ini.

Kewujudan Universiti Islam Antarabangsa, Dasar Pendidikan Islam dalam sukatan pendidikan nasional dan Perbankan Islam merupakan antara usaha-usaha utama beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan. Walaupun begitu, usaha-usaha ini sememangnya mendapat kecaman yang hebat di kalangan jemaah menteri UMNO sekular yang lain. Oleh kerana golongan sekular ini terasa tergugat di masa hadapan, satu konspirasi politik yang bersifat Illuminati telah dibentuk dengan menggunakan golongan Melayu yang sekular untuk menewaskan unsur-unsur keislaman dari terus berputik di dalam UMNO. Dengan kata lain, Datuk Seri Anwar memang tidak senang duduk di atas kerusi jawatannya kerana menjadi ‘pembangkang dalaman’ di dalam UMNO untuk memperjuangkan daulah Islamiyah di dalam UMNO.

Setelah beliau dipecat dari UMNO pada 2 September 1998, ramai pengikut-pengikut beliau yang kebanyakannya dari golongan gerakan agama telah mengistiharkan keluar UMNO dan menganggotai parti pembangkang. Hanya tinggallah Sanusi Junid yang juga merupakan salah seorang penjana Illuminati ala-Mahathir yang pernah ‘diusir’ secara terhormat dari ABIM kerana dasar-dasar cadangan beliau tidak dapat diterima oleh saf kepimpinan ABIM ketika itu.

Akhir kata, ingatlah para pendokong reformasi kepada kata-kata hikmat Datuk Seri Anwar iaitu ‘ Jika takut dengan risiko…jangan bicara tentang perjuangan". Pihak KMRN menyeru penyokong reformasi dari golongan senyap supaya bangkit dari ketakutan ISA dan majulah ke hadapan bersatu padu menentang kediktatoran Mahathir supaya adanya satu petunjuk diberikan kepada mereka bahawa kita tidak lagi memerlukan dominasi UMNO dalam kerajaan. TAMAT