KISAH CERAMAH MARINA MAHATHIR

Pulau Pinang, Jumaat 1 Jan. Sumber RN di Pulau Pinang melaporkan baru-baru ini, sempena Hari AIDS Sedunia, Hospital Besar Pulau Pinang telah mengadakan ceramah mengenai AIDS untuk memberi pendidikan kepada orang ramai berkenaan penyakit itu.

Dato’ Marina Mahathir, anak perempuan kepada PM, selaku Presiden Majlis AIDS Malaysia telah diundang untuk menyampaikan ceramah tersebut. Menurut sumber RN, hanya 11 orang tetamu sahaja yang hadir mendengar ceramah beliau. Peristiwa sambutan dingin seperti itu tidak pernah terjadi pada tahun-tahun yang lalu, di mana ceramah beliau sentiasa mendapat sambutan hangat daripada orang ramai yang diundang.

Dato’ Marina Mahathir selaku Presiden Majlis AIDS Malaysia banyak mencipta kontroversi. Untuk mengelakkan daripada dijangkiti AIDS beliau menggalakkan rakyat Malaysia supaya menggunakan kondom apabila melakukan seks dengan pasangan yang keselamatannya tidak diketahui.

Beliau juga diketahui tidak sependapat dengan ulama tentang pendekatan yang sepatutnya diambil untuk membasmi AIDS.

Baru-baru ini, selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Ibrahim Ali mengumumkan beliau akan menubuhkan PASRAH, sebuah pertubuhan yang akan memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang tingkah laku homoseksual dan lain-lain tingkah laku seksual luar tabii.

Dato’ Marina Mahathir dengan segera mengecam cadangan Dato’ Ibrahim Ali. Menurut beliau perbuatan Dato’ Ibrahim Ali itu akan menindas golongan homoseksual. Menurut Presiden Majlis AIDS Malaysia itu, masyarakat sepatutnya bersikap toleransi kepada kepelbagaian jenis manusia yang wujud di dalam masyarakat dan tidak mempunyai sikap negatif terhadap golongan minoriti, termasuk mereka yang homoseksual.

Sebaik-baik menerima kecaman Dato’ Marina Mahathir, Dato’ Ibrahim Ali serta-merta membubarkan PASRAH sebelum pertubuhan cadangannya itu sempat didaftarkan.

Dato’ Ibrahim Ali ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bersumpah dengan nama Allah pada malam pemecatan DS Anwar Ibrahim, sekiranya benar DS Anwar tidak melakukan perkara-perkara yang dipertuduhkan ke atas beliau oleh Presiden parti, dan DS Anwar berani bersumpah atas nama Allah, maka Dato’ Ibrahim bersumpah akan menjadi orang pertama membela DS Anwar. - RN