KISAH PARA WARTAWAN ASIA BARAT YANG DIUNDANG PM

Kuala Lumpur, Sabtu 2 Dis. Sumber RN di Jabatan Perdana Menteri memberitahu berkenaan para wartawan Asia Barat yang baru-baru ini diundang oleh Dr. Mahathir supaya datang ke Malaysia dan menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri keadaan sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia.

Kehadiran mereka di Kuala Lumpur diberi liputan luas oleh media tempatan dan ramai yang diinterviu memberitahu mereka sungguh kagum dengan kejayaan Malaysia. Mereka juga mengatakan setelah mereka datang ke mari barulah mereka mendapat gambaran yang betul berkenaan situasi di Malaysia sekarang, tidak sebagaimana yang mereka sangka sebelumnya.

Kedatangan dua puluh lebih wartawan Asia Barat itu adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dan mereka diberikan layanan istimewa. Mereka terbang dalam kelas pertama, tinggal di hotel dalam bilik mewah dan serba-serbi yang mereka buat di hotel adalah dibayar oleh kerajaan Malaysia.

Orang yang bertanggungjawab menyediakan senarai wartawan yang dijemput itu ialah Astora JB, wartawan Utusan Malaysia yang pernah beberapa tahun bertugas di Kaherah satu masa dulu.

Walau bagaimanapun, sumber RN memberitahu di akhir lawatan wartawan Asia Barat itu, Dr. Mahathir berasa kecewa disebabkan Astora JB tidak berjaya membawa ketua-ketua pengarang daripada akhbar-akhbar utama di Asia Barat sebagaimana yang beliau janjikan kepada Dr. Mahathir.

Wartawan-wartawan yang datang itu adalah terdiri daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada wartawan yang bekerja dengan akhbar-akhbar kecil. Kumpulan kedua ialah wartawan yang berjawatan rendah dalam akhbar besar oleh itu mereka tidak berkuasa membuat sebarang keputusan. Sebagai contoh, wartawan dari Sudan yang bercakap dengan panjang lebar memuji-muji Dr. Mahathir dalam siaran berita TV3 adalah wakil akhbar Sudan yang bertugas di London.

Para wartawan mahu datang ke Malaysia bukan kerana mereka yakin apa yang akan mereka dengar dalam sesi-sesi taklimat itu adalah benar, sebaliknya mereka hanya ingin melancong ke negara ini secara percuma sambil menikmati layanan yang amat mewah.

Dr. Mahathir membelanjakan wang kerajaan begitu banyak untuk membawa mereka ke mari adalah dengan tujuan hendak memperbaiki imejnya yang amat buruk di rantau Asia Barat disebabkan laporan negatif tentang peribadinya yang disiarkan oleh akhbar-akhbar di sana selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. - RN