TUN DAIM TIDAK DIPEDULIKAN ORANG

Kuala Lumpur, Ahad 3 Jan. Seorang sumber RN yang kebetulan berada di KLIA sempat ternampak Tun Daim Zainuddin keluar daripada pintu bilik orang kenamaan dengan isterinya Toh Puan Mahani. Tun Daim memakai kemeja lengan panjang hitam, seluar kuning khakis, manakala Toh Puan Mahani memakai sepasang seluar panjang dan baju lengan pendek hitam. Mereka hanya ditemani oleh seorang pembantu peribadi lelaki yang berpakaian kemeja-T selekeh sahaja.

Sewaktu Tun Daim dan isteri berjalan menuju ke lif, kira-kira 8 orang lelaki yang berpakaian kemas kebetulan sedang menunggu lif kelihatan undur dan menjauhkan diri mereka apabila melihat mereka datang. Apabila lif sampai, mereka membiarkan Tun Daim dan isterinya masuk. Tidak seorang pun yang mahu menyapa beliau, dan tidak seorang pun yang mahu masuk ke dalam lif itu.

Selepas keluar dari dalam lif, mereka berdua berjalan menuju pintu keluar, dan dalam perjalanan yang begitu panjang, tidak ada siapa pun yang pergi menyapa mereka sehinggalah mereka keluar. Orang ramai dalam lobi lapangan terbang itu hanya memandang sahaja gerak-geri pasangan kenamaan itu. Sepanjang perjalanan melintasi orang ramai, Tun Daim kelihatan sentiasa menyorokkan kedua-dua tangannya di dalam saku seluar sepanjang masa. - RN