KENYATAAN MEDIA GERAK

KES PECAH DAN KECURIAN LUAR BIASA PEGUAM DATO’ SERI ANWAR IRAHIM

GERAK memandang berat kes pecah kereta dan kecurian pada pagi 28 Disember 1998 yang dialami oleh Peguam Zainur Zakaria yang terlibat dalam pembelaan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Orang yang tidak bertanggungjawab memecahkan kereta Zainur kelihatan lebih berminat dengan kes Dato’ Seri Anwar kerana beg bimbit yang mengandungi dokumen- dokumen penting berkaitan kes Dato’ Seri Anwar didapati hilang seperti yang diakui oleh Ketua Polis Kuala Lumpur yang disiarkan oleh Berita Harian 30 Disember 1998.

Kes pecah kereta dan curi adalah kali kedua melibatkan peguam Dato’ Seri Anwar selepas Pejabat Peguam Pawancek Marican dimasuki orang dan peti besinya dipecahkan. Malangnya sehingga sekarang polis masih gagal bertindak mengesani mereka yang terlibat dalam kes pecah dan curi ini.

GERAK merasa kesal atas kenyataan polis dalam kes ini yang menganggap kes ini diklasifikasikan sebagai kes pecah dan kecurian biasa. GERAK berpendapat sepatutnya polis tidak membuat kenyatan awal berkenaan kes ini dengan anggapan kes pecah dan kecurian biasa sebelum siasatan dibuat. GERAK melihat urutan dan peristiwa yang berlaku semenjak kes Dato’ Seri Anwar adalah bukan kes pecah dan kecurian biasa sebaliknya mempunyai motif tertentu dan ada maklumat-maklumat yang dicari oleh pihak tertentu.

GERAK mendesak polis membuat siasatan menyeluruh ke atas kedua-dua kes ini termasuklah sisatan berkaitan soal pakatan-pakatan jahat yang ada kaitan dengan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan krisis politik dalam negara kita. Kegagalan pihak polis dalam menangani kes pecah dan kecurian luar biasa akan menyebabkan pihak polis turut dipersoalkan oleh rakyat.

"KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT"

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Sekretariat GERAK

30 Disember 1998 / 11 Ramadhan 1419