LAWATAN WAN AZIZAH KE KEDAH

Alor Setar,1 Januari 1999. Lawatan DSWA bersama anakandanya Izzah ke Kedah untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama ABIM dan JIM telah diberi sambutan luar biasa di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Ketibaan beliau pada jam 2.30 petang telah disambut oleh pimpinan dan ahli-ahli sayap wanita ABIM dan JIM serta ahli-ahli wanita dari kedua-dua pertubuhan tersebut. Turut serta di lapangan terbang ialah pimpinan kanan kedua-dua pertubuhan dan pimpinan Persatuan

Ulamak Kedah di ketuai Ustaz Niamat Yusof. Turut serta tiba bersama rombongan DSWA ialah Tuan Hj Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM.

Kesempatan kehadirannya ke Kedah, DSWA telah pergi mengunjungi Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor, Presiden PAS di rumahya. Pada 28 Disember 1998 lalu Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor telah berbuka bersama dengan beberapa pimpinan GERAK di rumah DSWA di Damansara. Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor juga pada awalnya dijadualkan akan turut hadir berbuka puasa bersama DSWA di Sekretariat ABIM. Oleh kerana beliau mempunyai aturcara yang lain di Pokok Sena, hasratnya itu terpaksa dibatalkan. Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor bukanlah asing bagi keluaraga DSWA kerana beliau adalah antara pimpinan PAS yang terawal dan berani tidak teragak-agak menyatakan sokongan kepada Saudara Anwar Ibrahim dalam isu fitnah ini.

Pertemuan ini juga turut disertai oleh Presiden ABIM, Persatuan Ulamak Kedah dan JIM. Pertemuan dan perbincangan berlangsung selama 1 jam dalam suasana kekeluargaan yang penuh mesra. Pada waktu yang sama Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor sepatutnya mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Kedah di Pokok Sena. Kesedian Dato’ Hj Fadhil Mohd Noor melapangkan masa satu jam untuk tetamunya ini adalah sangat bermakna.

Rombongan DSWA beredar dari kediaman Presiden PAS itu pada jam 4.00 petang dan bersiap-siap untuk menghadiri majlis berbuka puasa sebagaimana dijadualkan di Sekretariat ABIM Negeri Kedah.