Siapa Gunakan Siapa?

oleh Sang Kelembai

Siapa gunakan siapa? Begitulah bunyi tajuk sebuah tulisan seorang kolumnis di dalam sebuah majalah pro-kerajaan . Ianya telah ditulis oleh Alias Ali, seorang bergelar Datuk, seorang wartwan, novelis dan ahli politik. Saya tidak kenal akan beliau tetapi mendapati isi kandungan tulisan beliau amat menjijikkan dan memang tidak boleh dinafikan lagi ianya berbau politik yang tidak berlandas kepada Sunnah dan Al Quran.

Mengapakah saya berkata demikian? Ini adalah kerana tulisannya itu dari awal hingga ke akhir tertumpu kepada agenda untuk memperkecilkan ADIL (yang ditubuhkan dengan tujuan yang amat murni) dan memperkecilkan segala tindak-tanduk Dr. Wan Azizah mutakhir ini.

Pada hemat saya seorang yang bergelar wartawan sepatutnya menulis dengan tujuan menjernih dan bukan mengeruhkan keadaan, mencari dan membentangkan kebenaran dan bukan membentangkan hanya keburukan semata-mata. Jelas dalam tulisan beliau ini, beliau hanya memfokus kepada aspek negatif yang sengaja beliau ada-adakan terhadap sebuah pertubuhan dan seorang insan yang kerdil.

Penulis ini telah membuat perbandingan cara hidup Dr. Wan Azizah sebelum dan selepas DSAI di pecat. Bagaimana dan cara apa beliau membuat kajian ini, tidaklah saya tahu. Tetapi apa yang pasti beliau telah membuat analisis sempit ini dengan secara melulu tanpa memikirkan natijah dan perasaan seorang wanita yang telah banyak mengharungi penderitaan .

Beliau telah menekankan kehairanan beliau terhadap perubahan personaliti yang mendadak di dalam diri Dr Wan Azizah iaitu "dari seorang isteri pembesar negara yang lembut kepada wanita pejuang bersuara nyaring sebaik sahaja dia kembali menjadi seorang isteri rakyat biasa." Pada pandangan 'miopik' beliau, "Dr Wan Azizah menjadi gayat kerana lonjakan hidup secara tiba-tiba yang menjunam yang sebelumnya ketika martabatnya meningkat tidak langsung menunjukkan tanda-tanda goyah ini."

Penulis memberi pandangan sempitnya yang Dr Wan Azizah yang dulu hidup senang lenang sebagai isteri seorang pembesar sekarang setelah dilanda kesusahan terpaksa merubah sikap dan menentang kerajaan. Beliau bertanya mengapa sewaktu Dr Wan Azizah senang beliau tidak pernah menyuarakan ketidakpuasannya terhadap kerajaan? Persoalan ini samalah seperti yang pernah dilemparkan terhadap Anwar sedikit masa dulu. Penulis seolah-olah menuduh Wan Azizah sebagai seorang yang tidak mengenang jasa dan terus melenting apabila beliau ditimpa kesusahan.

Kepada penulis mudah sahaja jawapannya. Sememangnya Dr Wan Azizah dari dahulu lagi memang banyak yang beliau sudah tidak puas hati terhadap pentadbiran Mahathir (seperti juga Anwar), tetapi oleh kerana tidak mahu mengeruhkan suasana politik, terpaksalah beliau memendamkan perasaan gusar itu agar dapat suami beliau cuba merubah secara perlahan dan hikmah. Beliau sedar tiada gunanya beliau menyuarakan ketidakpusan secara terang semasa Anwar sedang cuba membimbing UMNO agar menjadi sebuah parti yang berteraskan Islam dan bukan semangat kebangsaan semata-mata. Jadi apabila Mahathir dengan terang dan zalimnya membuat tindakan yang kejam terhadap Anwar, maka beliau tiada pilihan lain selain mengambil tindakan yang lebih lantang. Di sini seolah-olah Mahathir menggunakan Anwar untuk 'mengIslamkan' imejnya yang sosialis dan mendapatkan sokongan negara-negara Islam yang sejak dahulu memandang tinggi keatas Anwar yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam ABIM, IFSO dan WAMY(sila rujuk surat Mahathir bersama Allahyarham Ismail Faruqi yang mati dibunuh).

Penulis sengaja membesar-besarkan kononnya hidup Wan Azizah sebelum ini senang lenang berbanding dengan sekarang seolah olah langit dengan bumi sehingga menyebabkan beliau menjadi gelabah dan nyanyuk sehingga seolah-olah melatah tidak tentu hala.Tetapi yang pelik penulis sendiri yang mengaku bahwa cara penampilan Wan Azizah tidak banyak beza dulu dan sekarang iaitu sederhana tanpa banyak perhiasan emas permata dan sentiasa bertudung .Penulis dengan terang telah mengkontradik hujjahnya sendiri!

Yang jelas, kesenangan yang beliau kecapi dahulu adalah milik beliau yang hak sebagai isteri seorang pembesar. Ianya keistimewaan yang memang sah tanpa sebarang penyelewengan. Namun setelah keistimewaan-keistimewaan ini ditarik semula, beliau tidaklah merasa menderita dari segi material yang amat sangat kerana beliau memang sudah dilatih oleh suaminya untuk menempuh zaman susah. Tiada apa yang hendak dipelikkan . Tetapi yang membuat beliau menjadi 'vokal' secara mendadak ialah kerana kezaliman yang nyata (blatant oppression) berlaku ke atas suami beliau! Mana-mana isteri akan bertindak untuk memastikan nama suami yang di sayangi dibersihkan! ( kecuali jika memang sah suami itu bersalah seperti kes Hilary dan Clinton!)

Kepada Datuk penulis, saya ingin menyuarakan kekesalan di atas tulisan Datuk yang tidak berasas itu. Apa yang saya dapati, tulisan Datuk memang bermotifkan politik. Cubalah Datuk fikirkan tentang kemelut politik sekarang dengan hati yang penuh ikhlas dan tanyalah pada diri Datuk sendiri. Wajarkah segala apa yang telah berlaku sekarang? Dan jika Datuk sebagai seorang isteri, tidakkah Datuk akan membuat tindakan yang sama? Kita tidak boleh samakan Wan Azizah dengan isteri pembesar yang lain yang hanya tahu melaram dan bergelumang dengan hidup yang materialistik. Wan Azizah mungkin mempunyai kelemahannya sendiri sebagai insan yang kamil tetapi tidaklah sehina seperti mana yang cuba dipaparkan Datuk penulis kita ini. Nasihat terakhir saya kepada Datuk, cukuplah fitnah yang dilemparkan kepada Anwar, janganlah pula kita fitnahkan isterinya pula dengan andaian-andaian yang jelik itu! Fitnah membunuh, Mahathir membunuh Anwar dan Datuk ingin membunuh Dr. Wan Azizah. Ambillah kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk bertaubat, lebih-lebih lagi jika umur sudah di peringkat pernghujung. Wallahu'alam.