Satu Lagi Bukti Mencabar Wibawa Kehakiman

Kes bukti terbaru yang dikemukakan oleh peguambela Anwar Ibrahim bukan saja mengejutkan malah menyentak kesedaran saksi Ummi Hafilda semasa perbicaraan dijalankan. Malah lebih dari itu ia menjadi satu lagi bahan ujian samada perjalanan Kehakiman masih lagi sebebas dulu. Dalam kes terdahulu dimana DP Vijendran terlibat dengan pembikinan video lucah, bahan tersebut diterima pakai sebagai bahan kes dan tidak ada dolak dalik untuk memanggil cameraman atau perakam babak babak panas tersebut.

Hakim Paul Augustine disepanjang perbicaraan kelihatan lebih strict terhadap peguambela. Sesuatu yang jarang berlaku kerana pihak hakim selalunya akan lebih toleran dengan pihak tertuduh kerana dalam mana-mana perbicaraan, Hakim perlu mendapatkan sebanyak bukti yang mungkin sebelum beliau membuat sebarang keputusan yang seterusnya akan menjejaskan nama baik dan seluruh kehidupan pihak tertuduh. Dalam ertikata lain Hakim selalunya toleran dengan peguambela tertuduh untuk mendapatkan *the big picture*.

Semasa SAC Musa memberi keterangan di mahkamah beliau berkata:" Hasil siasatan saya terhadap tuduhan konspirasi politik terhadap Anwar, menunjukkan bahawa tiada konspirasi seperti yang dimaksudkan., tetapi saya dapati ada konspirasi oleh tertuduh dan lain lain individu untuk menghalang perjalanan keadilan dan tertuduh juga menyalahgunakan jentera kerajaan (polis) untuk menyelamatkan dirinya."

Perhatikan reaksi Hakim. Beliau tersenyum dan berkata :" Apa yang sepatutnya dibuktikan oleh seramai 55 orang saksi telah dibuktikan hanya dengan tiga perkataan ini." Belum pernah sebelum ini, dalam tradisi kehakiman, sikap begini di tonjolkan sebegini rupa, dengan implikasi seolah olah beliau telah membuat suatu tanggapan awal perihal salah atau tidak pihak tertuduh.