Hakim Tolak Bantahan Pendakwa

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan pembela mengemukakan soalan berhubung pemeriksaan perubatan seorang pakar forensik ke atas Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. Hakim Datuk S Augustine Paul membuat keputusan itu kerana soalan berkenaan mempunyai kaitan dengan tuduhan yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada pandangan saya, perkara itu mempunyai kaitan berdasarkan bahasa yang digunakan dalam kertas tuduhan terhadap tertuduh," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah menolak bantahan pendakwa dan membenarkan pembela mengemukakan soalan itu kepada saksi ke-20 pendakwa, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zahari Noor.

Sebelum itu, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail membantah soalan pembela yang dikemukakan oleh peguam bela Christopher Fernando.

Abdul Gani berkata, soalan itu tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dihadapi oleh Anwar.

"Alasan saya adalah tertuduh dituduh menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan polis Cawangan Khas untuk mengelakkan diri daripada disiasat dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah.

"Polis membuat siasatan berdasarkan kepada aduan surat akuan bersumpah Azizan Abu Bakar (P14C) yang dia telah diliwat oleh tertuduh. Manakala Ummi Hafilda pula membuat dakwaan nampak Shamsidar Taharin pergi ke pangsapuri Tivoli Villas.

"Pada ketika itu, tidak timbul polis membuat siasatan ke atas Sukma. Polis hanya menjalankan siasatan ke atas Sukma pada 1998 berdasarkan kepada laporan polis ke atas buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", katanya.

Abdul Gani berkata, tuduhan yang dikenakan ke atas Anwar adalah berdasarkan kepada kejadian yang berlaku pada 1997 dan siasatan dihadkan kepada tahun berkenaan.

Katanya, pegawai penyiasat yang menyiasat P14C itu menyatakan tidak ada bukti berhubung pembabitan Sukma.

Menurutnya, soalan mengenai pembabitan Sukma itu tidak ada kaitan dan apa yang dinyatakan oleh Ummi Hafilda dalam P14C hanyalah dakwaan sahaja.

"Malah dalam kertas tuduhan, kami ada sebut nama Ummi Hafilda dan Azizan, tidak nama Sukma. Saya tidak nampak kaitannya. Jika ada kaitan membabitkan Sukma bukan dalam kes ini, " katanya.

Dr Zahari kemudian menjawab soalan itu dengan menyatakan bahawa berdasarkan kepada pemeriksaannya tidak ada bukti perubatan menunjukkan Sukma pernah diliwat.