Mahkamah Larang Siar Transkrip

Berita Harian Jumaat 25 Disember 1998 6 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Khamis - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan media massa tidak menyiarkan transkrip yang didakwa mengandungi perbualan antara Ummi Hafilda Ali dan rakan perniagaannya, Datuk Sng Chee Hua di London, pada Jun lalu.

Hakim Datuk S Augustine Paul memberitahu wartawan yang membuat liputan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, larangan itu akan ditarik balik apabila mahkamah membuat keputusan berhubung isu pita rakaman berkenaan.

Sebelum itu, Paul menegur pembela yang ingin memohon lebih masa untuk menemuduga Sng berhubung kandungan pita rakaman itu.

"Pada pendapat saya, apabila pembela memulakan sesuatu yang berbahaya, mereka sepatutnya menjangkakan yang Datuk Sng diminta untuk menjadi saksi.

"Permohonan ini (penangguhan) membazir waktu mahkamah. Tetapi demi keadilan, saya membenarkan permohonan ini," katanya yang selepas itu, memerintahkan kes itu ditangguhkan pada Isnin ini bagi membolehkan pembela menemuduga Sng.

Raja Aziz Addruse, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar memberitahu mahkamah, hasil perbincangan di antara pembela dan pendakwa di kamar hakim, pihaknya sudah menemuduga Sng bagi mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh mahkamah.

"Kami dapati amat sukar untuk menamatkan temuduga dalam tempoh setengah jam kerana dalam proses temuduga itu kami terpaksa berulang kali memainkan pita rakaman bagi mendapat pengenalan suara.

"Oleh itu, kami memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan temuduga ke atas Datuk Sng. Kami tidak menjangka untuk memanggil Datuk Sng berhubung pita rakaman ini kerana kami bercadang mengemukakan pita rakaman itu menerusi SP17 (saksi pendakwa Ummi Hafilda)," katanya.

Raja Aziz berkata, pembela menerima keputusan mahkamah berhubung prosedur yang perlu diikuti mengenai pita rakaman itu.

Sehubungan itu, katanya, pembela ingin memohon penangguhan hingga Isnin ini bagi membolehkan mereka menemuduga lagi Sng.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail menyerahkan kepada mahkamah membuat keputusannya.

Bagaimanapun, katanya, pendakwa hairan dengan dakwaan pembela bahawa temuduga itu mengambil masa yang panjang.

Menurutnya, pendakwa memohon kepada mahkamah supaya melarang media daripada menyiarkan transkrip perbualan itu sehingga perkara itu diselesaikan.