Kes Pecah Kereta Peguam Anwar Disiasat

Berita Harian Rabu 30 Disember 1998 11 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Selasa - Polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian pecah kereta seorang peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zainur Zakaria, awal pagi semalam bagi menentukan motif sebenar kes berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamarudin Md Ali, berkata polis belum dapat mengesahkan kejadian itu bermotifkan sabotaj, walaupun Zainur mendakwa kehilangan beg bimbitnya mengandungi dokumen penting perbicaraan Anwar.

"Kita masih belum menemui apa petunjuk ke arah itu setakat ini. Bagaimanapun, kerana dua laporan polis sudah dibuat, maka siasatan akan dijalankan dari pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau mengesahkan siasatan itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Menurutnya, setakat ini polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai pecah dan curi biasa.

Zainur semalam mendakwa keretanya dipecah masuk dan beg bimbitnya didakwa hilang. Ini adalah kejadian pecah masuk dan curi kedua membabitkan peguam bela Anwar.

Kejadian pertama membabitkan pejabat Pawancheek Marican di Jalan Mamanda 7, Ampang, bulan lalu.

Dalam kejadian itu, peti besi yang digunakan untuk menyimpan cek, pasport dan dokumen kes mahkamah turut dipecahkan dan pejabat itu digeledah. Polis menyifatkan kejadian itu kecurian biasa membabitkan pencuri amatur.