KOS GUAMAN ANWAR MENCAPAI RM1 JUTA

Brendan Pereira dari Straits Times Singapura melapurkan yuran guaman pasukan peguambela DSAI kini telah mencapai RM1 juta. Namun, peguam-peguam berkenaan tidak akan mengutip jumlah yuran berkenaan. Mereka telah memutuskan untuk tidak mengenakan yuran itu. Gurbachan Singh, seorang peguam jenayah yang terkenal, berkata, "Ia mungkin aneh bagi setengah orang. Tetapi kami membelanya kerana keadilan. Ini bukan kerana dia Anwar Ibrahim. Ini bertujuan untuk memastikan keadilan terlaksana".

Pembabitan mereka dalam pembelaan terhadap DSAI akan memenuhi kalendar mereka sehingga Jun depan. Adalah dianggarkan yuran bagi perbicaraan ini sejak perbicaraan bermula pada 2 November lalu telah mencapai RM 1 juta. Kesemua anggota pasukan pembelanya adalah peguam ternama dan permintaan untuk khidmat mereka sangat tinggi. Salah seorang anggota pasukan itu menganggarkan dia akan kerugian lebih kurang RM500,000 yuran guaman yang mungkin diperolehi dari kes kes lain kerana pembabitannya dalam kes DSAI.

Namun dia berkata, "Kami tahu, tidak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebenarnya Datuk Seri Anwar tidak mampu membayar kami semua. Oleh itu, kami bersedia mengendalikan kes ini secara Percuma." Dia berkata mereka bersetuju bahawa Anwar hanya akan membayar kos Mencetak, pengangkutan dan yuran mahkamah dalam memfailkan permohonan sahaja.

Sebanyak 100 orang peguam telah menawarkan khidmat mereka secara sukarela untuk membela Anwar. Namun hanya sembilan orang dipilih sebagai pasukan peguambela utama. Ia adalah satu gabungan peguam-peguam yang ternama dalam bidang Perlembagaan, jenayah dan syariah. Mereka terdiri daripada Chrisopher Fernando, Gurbachan Singh, S. N. Nair, Pawancheek Marican, Zainur Zakaria, Zulkifli Nordin, Sulaiman Abdullah dan Kamar Ainiah Kamaruzaman. Nama-nama ini telah menjadi sebutan seisi rumah di seluruh Malaysia. Ke mana mereka pergi orang ramai akan berebut-rebut untuk bersalam dengan mereka.