APAKAH HELAH DAN TIPU DAYA PEGUAM NEGARA?

Apabila Peguam Negara Datuk Mokhtar Abdullah membuat kenyataan bahawa beliau akan memanggil seorang pakar perubatan forensik kononnya untuk membantunya menilai semula laporan-laporan perubatan yang beliau terima berkaitan pembelasahan yang didakwa telah dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau berada di dalam kawalan polis, Profesor Dr. Chandra Muzaffar, Presiden JUST, mengatakan tindakan Peguam Negara itu adalah di luar kebiasaan.

Menurut Prof. Chandra, tidak pernah terjadi seorang Peguam Negara memanggil dan mengarahkan seorang pakar lain untuk menilai semula laporan-laporan perubatan yang disediakan oleh pakar-pakar yang diiktiraf dan terkenal di dalam bidang masing-masing.

Dua orang pakar perubatan yang dimaksudkan ialah Dato' Dr. Mohamad Borhan Tan dari Institut Ortopaedik dan Traumatologi, dan Dato' Dr. Kew Siang Tong dari Jabatan Perubatan, kedua-duanya dari Hospital Besar Kuala Lumpur. Mereka berdua ditugaskan Memeriksa kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan laporan mereka dihantar kepada Peguam Negara.

Menurut Prof. Chandra, jikalau Peguam Negara berfikir seorang pakar forensik patut memeriksa kecederaan yang dialami oleh Datuk seri Anwar Ibrahim, sepatutnya pakar Forensik itu diarahkan supaya memeriksa beliau segera selepas Datuk Seri Anwar dicederakan.

Apakah jenis penilaian yang hendak dibuat oleh pakar forensik itu disebabkan dia tidak memeriksa Datuk Seri Anwar dalam keadaan beliau baru sahaja dibelasah. Kita mengesyaki pakar forensik itu ditugaskan oleh Peguam Negara supaya mencaci laporan-laporan perubatan yang disediakan oleh Dato' Dr. Borhan dan Dato' Dr. Kew.

RN menggesa Datuk Mokhtar Abdullah supaya jangan terus melambat-lambatkan pengumuman laporan polis dan laporan perubatan ke atas kecederaan Datuk Seri Anwar. Semakin lambat laporan-laporan itu diumumkan semakin rakyat curiga dan mengesyaki apa sebenarnya helah dan tipu daya yang sedang dirancangkan oleh Peguam Negara. - RN