KENYATAAN AKHBAR DR ABD RAHIM GHOUSE PADA 30 JUN 99

Kenyataan Akhbar Sempena Lawatan Dr. Mahathir ke Permatang Pauh.

Mahathir hendak melawat Permatang Pauh pada 1hb. Julai 1999. Mahathir bimbang Pulau Pinang akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif. Gandingan mantap Keadilan, PAS, DAP dan PRM sudah pasti akan menggugat kubu kubu BN di Pulau Pinang. Mahathir tidak sanggup melihat negeri-negeri di utara termasuk Kelantan, Perlis, Kedah, Trengganu dan Pulau Pinang kesemuanya beraleh ke tangan Barisan Alternatif.

Kita sudah dimaklumkan bahawa beberapa pemimpin pemuda KeAdilan telah diugut oleh polis(SB) supaya tidak melakukan apa-apa yang dapat mengagalkan lawatan Mahathir. Hebatnya pemuda KeAdilan di Permatang Pauh, sehingga polis bimbang mereka ini dapat menggagalkan program yang begitu rapi disusun sempena lawatan Mahathir di Permatang Pauh. Kita juga dimaklumkan guru-guru agama dan guru-guru sekolah sudah dikerah dan dipaksa supaya menghadiri program Mahathir. Pengawai-pegawai kerajaan juga dikerah memastikan berjayanya program lawatan Mahathir. Sudah ada pegawai kerajaan yang diugut akan ditukarkan dari Pulau Pinang jika menyokong Barisan Alternatif.

Mahathir ingin menguasai rakyat melalui ketakutan. Dia sudah tidak dapat memimpin negara secara siuman lagi. Selama mana kita hendak hidup di bawah ugutan serta ditakutkan oleh Mahathir? Selama mana kita mahu melihat Mahathir dan kuncu kuncunya menggunakan sumber rakyat, wang rakyat, polis dan jentera kerajaan untuk menjayakan muslihat politiknya yang kotor ini? Rakyat mesti berani bangun menentang kezaliman Mahathir kerana keberanian rakyat adalah kejatuhan Mahathir

yang zalim.

Saya juga tahu ramai yang ada dalam UMNO di Permatang Pauh pun sudah tidak minat dengan Mahathir. Ramai ketua ketua cawangan, ketua ketua wanita dan pemuda cawangan yang menghubungi saya memaklumkan kepada saya tunggu masa sahaja UMNO akan tumbang di Permatang Pauh. Nampaknya di Permatang Pauh kesemua ahli-ahli UMNO akan keluar menyertai Barisan Alternatif dan tinggallah pemangku ketua UMNO bahagian Permatang Pauh, Ahmad Saad serta beberapa kuncunya, yang akan terus menjadi khadam Dr Mahathir.

Saya pernah menghubungi Ahmad Saad beberapa kali setelah Anwar baru ditahan. Pada masa itu Ahmad Saad memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk teruskan perjuangan untuk membela Anwar dan menentang kezaliman yang dilakukan menurut Ahmad Saad oleh "orang tua yang otaknya sudah tidak betul". Tetapi rasanya semua orang di Pematang Pauh sudah kenal siapa Ahmad Saad.

Yang paling menyedihkan ialah mengenang Anwar Ibrahim pemimpin kita yang berjiwa rakyat merengkok dalam penjara. Apakah layak seorang anak Pulau Pinang pemimpin yang disegani di seluruh dunia dibajui dengan baju banduan? Saya tahu ramai yang melinangkan airmata mengingati nasib Anwar dan keluarganya. Kita semua sudah ketiadaan pemimpin yang begitu prihatin terhadap rakyat akibat kerakusan dan kezaliman Mahathir. Sebelum ini Pulau Pinang dan Permatang Pauh begitu meriah serta hidup dengan majlis-majlis memakmurkan mesjid, program program hari keluarga, pendidikan, IT, pembangunan usahawan, kebajikan, rekreasi dan sukan, remaja dan belia serta program-program lainnya yang memanafaat masyarakat. Kita mesti berusaha mengembalikan Anwar untuk memimpin kita. BN mesti ditumbangkan!

Apakah kita rela melihat Anwar yang pernah dilebamkan mata serta dipukul oleh Rahim Noor, tali barut Mahathir, terus menjalankan hukuman penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya? Selain dari sandiwara yang mereka lakunkan di mahkamah, saya yakin rakyat semua amat khuwatir akan kesihatan dan keselamatan Anwar dalam penjara. Apakah kita masih menaruh harapan pada pemimpin-pemimpin UMNO yang bacul itu untuk menegakkan keadilan dan demokrasidi negara kita ini? Siapakah yang akan membela Anwar pemimpin reformasi kita yang dizalimi jika rakyat sendiri tidak bangun untuk membelanya?

Sekarang kita semua kecewa, sedih dan sayu kerana terpaksa berhadap dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang cuma mementingkan kedudukan mereka dan bukan lagi membela kepentingan dan aspirasi rakyat. Jadi biarlah Pak Lah, Omar, dan Ahmad Saad bersama Mahathir; dan rakyat semuanya di Pulau Pinang dan Permatang Pauh bersama Barisan Alternatif. Biarlah beberapa kerat pemimpin UMNO ini terus menjilat dan menipu Mahathir bahawa Barisan Nasional masih kuat di Permatang Pauh dan Pulau Pinang.

Rakyat yang bermaruah dan berprinsip adalah rakyat yang berani mengorbankan apa sahaja demi kebenaran, keadilan dan kebebasan. Sebenarnya, Mahathir, walaupun menggunakan cara yang jahat lagi mencengkam untuk terus berkuasa, semakin hari semakin bimbang dan gentar. Mahathir sudah pasti tidak dapat bertahan lagi. Demi masa depan yang lebih gemilang, marilah kita bersama sama mengambil peluang ini untuk menggulingkan Mahathir yang angkuh dan zalim serta tali barutnya.

Barisan Nasional mesti ditumbangkan!

Salam Reformasi

Dr Abdul Rahim Md.Ghouse

Pemuda Barisan Alternatif

Permatang Pauh

30hb Jun 1999