Keterangan Ummi Jadi Tumpuan

Berita Harian Selasa 22 Disember 1998 3 Ramadan 1419

KUALA LUMPUR, Isnin - Suasana 'lesu' di luar Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka berubah esok apabila saksi ke-17 pendakwa, Ummi Hafilda Ali disoal balas pembela.

Ummi Hafilda, 31, yang memang ditunggu-tunggu sebelum ini dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwa hari ini, ketika orang ramai kurang memberi tumpuan kepada kes berkenaan terutama pada bulan puasa ini.

Hanya kira-kira 25 orang awam berada di dalam mahkamah hari ini dan mereka tidak perlu berebut memasuki mahkamah atau beratur.

Menjelang tengah hari, apabila berita Ummi dipanggil memberi keterangan tersebar, lebih ramai orang awam berkumpul berhampiran mahkamah dan berlegar di situ.

Mahkamah yang ditangguhkan lebih awal, juga menyebabkan sebahagian besar penyokong Anwar yang berkumpul di pekarangan Masjid Jamek turut berkurangan.

Ketika kenderaan membawa Anwar beredar kira-kira jam 1.45 petang, hanya ada 20 orang saja berkumpul di situ dan melaungkan reformasi.

Kenderaan pacuan empat roda Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang dilekatkan riben putih besar logo Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) juga hanya mendapat lambaian lesu orang ramai kira-kira jam 2 petang.

Sebaliknya, berita pembebasan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Saasmitaat Madja selepas dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah membayangi suasana di luar dan dalam mahkamah.

Juru gambar yang menerima maklumat Sukma akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah bergegas mengambil posisi.

Orang ramai yang tidak tahu hujung pangkal juga beredar ke sana untuk melihat apa yang berlaku.

Sebelum itu, berita pembebasan Sukma yang disampaikan kepada Dr Wan Azizah oleh beberapa wartawan, turut dikongsi gembira oleh Anwar sendiri dan anak-anaknya. Berita itu tersebar luas kira-kira jam 11 pagi ini.