From: zainudin shamsul 
To: Marhaintua@Hotmail.com
Subject: Fakta yang disembunyikan
Date: Sun, 19 Mar 2000 21:04:05 -0800 (PST)

Assalamualaikum
Saya tertarik dengan tulisan saudara mengenai sejarah British di tanah jajahan. Cuma saya ingin kongsi bersama ialah mengenai kematian datuk saya.

Diceritakan kepada saya bahawa datuk saya meninggal dunia ketika aya saya berusia 12 tahun. Sekitar tahun 1952. Sebab kematian ialah Penyakit Kuning. Mayat tidak boleh dituntut oleh pihak keluarga atas sebab  kesihatan.

Untuk makluman saudara, datuk saya adalah polis (kalau tidak silap saya berpangkat sarjan). Bertugas di Perak.

Dengan takdir ALLAH ayah saya terbaca kisah komunis di dalam akhbar kira-kira 10 tahun lepas. Dari cerita tersebut, ayah saya dapati bahawa datuk saya terbunuh dalam pertempuran dengan komunis. Pencerita adalah salah seorang yang terselamat.

Ayah saya berjaya berjumpa dengan orang tersebut. Malangnya, beliau tidak dapat menunaikan hajat ayah saya untuk mencari PUSARA datuk saya. 

MORAL: Apa yang saya ingin kongsi ialah sikap British yang cuba menyembunyikan fakta tentang kematian datuk saya.

Wasalam



JAWAPAN MT

Waalaikummussalam wbt.

Saudara,

Terimakasih dengan warkah anda. Kalau congak saya tepat, bererti ayah saudara adalah seangkatan dengan saya. Tentunya dia mempunyai banyak cerita tragis yang masih belum lagi dikeluarkan daripada dadanya kerana  hiba ataupun mahu menyimpan sesuatu rahsia daripada bangsanya. Inilah budaya orang Melayu yang tidak mahu bercerita panjang akan zaman silamnya. Untuk pengalaman saudara, seorang Melayu yang mampu menjawat pangkat Sarjan pada tahun 1952 sebenarnya seorang yang serba boleh kerana ketika itu masih lagi ada orang putih yang menjawat pangkat serupa itu (sehinggalah tahun 60-an dalam pasukan tentera kita). Dengan lain perkataan saudara sebenarnya  adalah cucu seorang pejuang negara yang kematiannya tanpa pusara yang dikenali oleh zuriatnya. Alangkah malang sekali nasib saudara  sekeluarga kalau kita fikirkan secara kasarnya.

Akan tetapi, peracayalah saudara, ada beribu lagi orang Melayu yang kehilangan saudara mara ketika peperangan dunia ke-2 dulu dan ketika negara dilanda ancaman komunis. Jangan pula kita lupa, selepas Jepun lari meninggalkan Malaya dan sebelum tibanya askar British, negara ini telah dijajah selama kira-kira satu hingga tiga  bulan oleh satu kumpulan yang digelar Kumpulan Bintang Tiga. Ketika itu pun ramai juga orang Melayu yang terkorban. Ramai yang ghaib tanpa diketahui di mana pusaranya. Sedarkah saudara betapa zalimnya Kumpulan Bintang Tiga itu kalau dibandingkan dengan askar Jepun. Ramai anak-anak bayi Melayu yang dirodok secara melambungkannya ke angkasa dan ramai lagi gadis Melayu yang diperkosa. Ada orang kampung yang dibunuh dan anggota badannya itu ditanam secara berasingan kerana Kumpulan Bintang Tiga takutkan kekuatan yang ada pada si mati. Demikianlah sejarah Bangsa Melayu itu dan kisah betapa Bangsa Melayu jati berkorban nyawa dan raga mempertahankan negara ini.

Adalah menjadi satu kebetulan mungkin, saudara menulis ini ketika pasukan tentera kita sedang memperingati kelahiran Askar Melayu yang ditubuhkan pada 1933 dulu. Dengan pengambilan 26 anak Melayu yang termasuk Prebet 0001 Abdul Samad dan juga Adnan Saidi yang akhirnya terkorban setelah berpangkat Lt. Adnan. Prebet Abdul Samad mengikut sejarah adalah orang Kajang daripada Kampung Bukit Dukung. Khabarnya, Lt. Adnan pun orang Kajang juga daripada mukim Sungai Ramal. Pernahkah saudara terbaca akan cerita kerajaan memberikan bantuan kepada keluarga kedua-dua perwira negara ini? Pernahkah saudara terjumpa Jalan Lt. Adnan di Kajang ataupun Jalan Perwira Abdul Samad di bandar yang semakin membangun itu? Adakah saudara terlihat apa-apa bangunan yang dinamakan atas nama mereka di Kajang ataupun di Selangor? Kenapkah nama-nama perwira ini tidak terpahat di Universiti Kebangsaan yang berada dalam Daerah Ulu Langat (Kajang)?

Saya tahu jawapannya saudara. Cuma Negri Sembilan yang memberikan penghormatan kepada Lt. Adnan (di Taman Bunga Seremban). Ini adalah disebabkan beliau pernah dilatih di Port Dickson sebelum dihantar ke Singapura. Selain daripada itu pernahkah saudara kenal nama-nama perwira lain di pasukan pertama Askar Melayu itu? Adakah nama mereka itu disemadikan di jalan besar setiap bandar dan negeri kelahiran mereka? Sekali lagi saya tahu jawapan saudara.

Sebagai bandingannya cuba lihat nama-nama jalan di bandar dan kota. Kalau tidak ada nama orang politik yang sesuai, jalan itu lebih mudah diberikan nama bunga dan pokok hutan  padanya. Di bandar besar, para perancang lebih mudah memberikan nombor sahaja kepada jalan itu sehinggakan berkecamuk sekali cara menombornya. Kesannya,  para pelawat sesuatu tempat itu mudah berperang dengan  perasaan untuk mencari alamat yang dituju.

Degan lain perkataan, saya memang amat bersimpatai dengan keluarga saudara yang tidak dapat mengenal di mana pusara datuk saudara. Tetapi, ambillah iktibar daripada apa yang saya ceritakan ini dan saya percaya saudara tentu sekali dapat merasa ketenangannya setiap kali saudara mengirimkan Al Fatihah kepada arwah yang sudah lama pergi itu.

Jangan salahkan British kerana kehilangan pusara itu. Banyak lagi yang perlu kita renungkan untuk dijadikan panduan hidup. Semoga kehilangan pusara itu menjadi satu lambang yang melekat di hati saudara sekeluarga jua untuk terus maju sebagai zuriat seorang pejuang bangsa yang hilang tanpa pusaranya.

Terima Kasih dan Salam Hormat.   

-marhaintua-