From: "nur deen" 
To: marhaintua@hotmail.com
Subject: 18 sx
Date: Wed, 22 Mar 2000 20:09:44 MYT

Assalamualaikum w.b.t...,

Saudara yang dihormati,

Saya berasa terpanggil untuk menulis kepada saudara setelah melihat beberapa keping gambar dan juga aksi MB Pahang yang dikategorikan sebagai 18 sx semasa penamaan calon DUN Sanggang tempohari. 

Apa yang menyedihkan saya ialah bagaimana seorang pemimpin rakyat yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran negeri tergamak melakukan aksi-aksi sedemikian, yang sudah pastinya akan meninggalkan kesan yang buruk kepada keseluruhan kepimpinan UMNO itu sendiri. 

Saya berasa amat kesal atas kejadian tersebut kerana sebagai bangsa Melayu dan beragama Islam, perkara sedemikian sudah pasti akan mencemarkan nama baik dan pandangan bangsa lain terhadap orang Melayu dan Islam itu sendiri. Telah nyata, terang lagi bersuluh bahawa sesungguhnya kepimpinan UMNO hari ini sudah tidak mampu lagi untuk menjaga nilai-nilai murni, sekaligus telah meninggalkan tanggapan negatif terhadap bangsa Melayu keseluruhannya. 

Saya ingin bertanya kepada saudara, apakah ini sebenarnya tingkah laku pemimpin Melayu tatkala mereka berada di puncak kekuasaan sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri? Ke mana hilangnya akal budi dan kesopanan orang Melayu yang dikenali bersikap dan bersifat lemah lembut dan bersopan santun? 

Secara peribadi, saya amat kesal mendapati perkara seperti itu masih lagi berlaku dan sememangnya pemimpin seperti itu tidak layak untuk memimpin, sedangkan diri sendiri pun tidak tentu hala, inikan pula untuk memimpin rakyat ke arah yang lebih baik.Saya berharap agar saudara dapat memberikan komen dan juga pandangan bernas saudara mengenai perkara ini dan mudah-mudahan dengan penjelasan saudara kelak akan dapat mencelikkan mata dan hati ahli-ahli UMNO yang masih tidak sedar akan kepincangan moral dan peribadi pemimpin-pemimpin mereka pada hari ini. Mudah-mudahan saudara di berkati Allah dan berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera demi meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran di bumi bertuah ini.

Ma as salam.

Awaludin Ahmad
Mahasiswa IPT
Kuala Lumpur.


JAWAPAN MT

Saudara Nur deen,

Terimakasih di atas warkah anda. Saya harap jawapan ringkas ini akan meba ketenangan di hati saudara.

Saya faham betapa remuknya hati saudara apabila melihat gelagat seorang Menteri Besar yang merupakan ketua ekskutif sebuah kerajaan pimpinan UMNO di sebuah negeri yang berdaulat. Saya ada menerima beberapa e-mail lain yang menyatakan pendapat dan kesalan yang sama seperti yang saudara kemukakan. Saya fikir tulisan-tulisan Wak Amin Sapiro sudah memadai untuk meredakan keadaan. Tetapi, oleh kerana e-mail saudara mengandungi beberapa soalan yang khusus, makanya saya gerakkan juga kudrat untuk memberikan jawapannya.

Kita harus mengambil iktibar bahawa gelagat Adnan Samseng ataupun Taiko Adnan adalah sesuatu yang dimungkin oleh syaitan laknatullah sebagai pengajaran kepada bangsa kita. Tanpa perbuatan terkutuk ini orang Melayu tidak dapat sedar daripada kelekaannya betapa perjuangan UMNO yang ditunjangi kepimpinan Mamak Mahathir sudah jauh tersimpang daripada semangat perjuangan yang asal.

Kita boleh menganalisa  gelagat Adnan itu dari beberapa sudut hukum alam dan kehidupan kita. Dari segi psikologi Adnan menampakkan beberapa jawapan kepada beberapa soalan yang satu ketika dulu merupakan satu rahsia politik UMNO. Secara tidak lansung kita nampak Adnan sudah terlalu konfiden (over-confident) untuk menang. Tetapi, itu adalah berdasarkan gambaran kasarnya sahaja. Di sebalik gambaran itu sebenarnya Adnan cuba menyembunyikan keraguannya akan hasil pilihanraya itu nanti. Di tahap awal lagi dia sudah curiga akan hasil dan keputusan undi itu. Dia sudah semakin sangsi apabila melihatkan kekuatan sokongan pihak BA yang ada di majlis pencalonan itu. Kalau dibandingkan  dengan jumlah sokongan yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional ternyata sokongan Barisan nasional tidak membanggakannya.Kalau didasarkan kekuatan yang ada pada BN, sokongan yang muncul tidak meyakinkan Adnan sendiri akan kemenangannya. Sifat semulajadi yang ada padanya cuba menunjukkan keangkohannya dengan membuat kelakuan sumbang yang menjijikkan itu.

Adnan sebenarnya tertipu dengan angan-angannya. Laksana seorang 'problem child' dia dihasut oleh angan-angannya untuk menyembunyikan apa yang telah dijanjikannya kepda orang atasan di majlis itu. Kita tidak tahu apakah janji-janji itu, walaupun ada orang yang sudah memberitahu akan penyebab mengapa Adnan bergelagat demikian.Apa yang ditunjukannya itu bukan merupakan tingkahlaku pemimpin yang sudah sampai ke puncak kekuasaannya. Ia lebih merupakan satu tipuhelah seorang yang terencat akalnya ketika itu. Yang mampu dilakukannya hanyalah menunjukkan samsengnya kerana adanya sokongan sorak gempita para penyokong BN ketika itu. Orang semacam Adnan mudah disergah laksana seekor kucing kurap yang sesat di kampung yang mudah menyepit ekornya di tengah kangkang apabila diherdek.

Kita jangan mudah terpedaya dengan gelagat Adnan itu.Dia berkelakuan sumbang kerana dia kurang ajar kepada bangsanya. Ini menunjukkan kekurangan 'exposure' ketika dia meniti tangga kejayaan. Dia belum matang dan ranum untuk diletakkan di tangga kuasa yang ada padanya.Orang semacam Adnan boleh dijumpai di mana-mana; di Chowrasta market ataupun di Chain Ferry, di stesen bas Johor Bahru ataupun di Lorong Haji Taib di Chowkit. Mungkin selepas ini orang Melayu akan merakamkan kesumbangan Adnan itu dengan membuat satu pepatah yang menggunakan namanya seperti 'macam Adnanyaakob perangai budak muda itu'. Sayangnya nama bapanya itu akan diheret sama oleh orang yang menggunakan pepatah moden seperti itu. Mujur juga orang tidak mahu gunakan pepatah 'macam Adnan Pahang'; tentunya ini lebih parah lagi. Tetapi apakah kemungkinannya orang berkata; 'Macam Adnan UMNO ? Tentu lebih menghinakan bukan?

Sekarang kita mahu lihat apa Mamak Bendahara akan buat. Apakah dia akan biarkan Adnan berperangai   binatang seperti itu? Apakah dia akan membuat suatu tindakan 'censure' terhadap  Adnan seperti yang dibenarkan oleh perlembagaan kita? Sama-samalah kita tunggu. Tetapi, kita jangan terkejut kalau-kalau Mamak Bendahara cuma membisu seribu bahasa. Bukankah beliau yang mula-mula dulu menggunakan isyarat tangan  ketika berbuat fitnah di New York akan cerita sodomi Anwar Ibrahim? Bukankah perbuatan itu diulangnya di London dan juga di depan pemberia akhbar di Kuala Lumpur? Adakah sesiapa yang mengambil tindakan terhadapnya?

Berdasarkan gelagat jijik Adnan, kita boleh rumuskan di mana nanti pilihan orang DUN Sanggang. Tidak kiralah berapa juta lagi yang akan dihampurkan semata-mata untuk memancing undi. Adnan sudah meyakinkan pengundi Sanggang, siapakah yang layak menjadi wakil rakyat mereka. Saya tidak fikir orang Sanggang akan memilih calon yang dipilih oleh Adnan UMNO yang sungguh kurang-ajar itu.

Salam Hormat
-Marhaintua-