KOLEKSI EMAIL PENULISAN MARHAIN TUA

SELAMA MANA KITA HARUS BERSABAR?

From: Shahbudin Saad 
To: Marhaintua@hotmail.com
Subject: Selama mana kita harus bersabar???
Date: Sun, 19 Mar 2000 16:08:54 -0800 (PST)

Assalamualaikum....

Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut, izinkanlah saya untuk memperkenalkan diri saya kepada saudara. Saya adalah seorang penuntut ijazah lanjutan di salah sebuah Universiti di Kepulauan Kyushu, Jepun dan InsyaAllah akan pulang ke tanahair tercinta pada Mac tahun depan. 

Sebenarnya saya adalah salah seorang yang kurang berminat terhadap isu politik. Tetapi itu dulu,
sebelum DSAI belum dipecat. Kini saya menjadi begitu "ketagih" untuk membaca sebarang isu yang berkaitan dengan politik tanahair. Apatah lagi setelah membaca hasil penulisan saudara tentang sejarah sebenar politik negara yang sebahagian besarnya tidak terdapat di dalam mana-mana buku sejarah Malaysia.

Saya berasa sungguh terharu dengan perkembangan terkini politik negara. Kadangkala saya merasakan sudah tidak wujud sistem demokrasi di Malaysia. Yang menjadi persoalannya sekarang sejauh mana rakyat Malaysia hanya dapat bersabar dengan segala tindak tanduk para segelintir pemimpin negara yang semakin hari semakin rakus. Mereka sudah begitu berani mengeluarkan kenyataan dan melakukan tindakan meskipun ianya amat sensitif dan menyinggung ramai pihak.

Saya merasakan seolah-olah seluruh rakyat Malaysia sedang dipermain-mainkan oleh regim Mahathir. Sampai bila kita harus bersabar dengan segala kerenah dan tindak tanduk mereka. Rasanya untuk menunggu sehingga pilihanraya 2004 baru rakyat hendak membuat keputusan
adalah satu jangkawaktu yang lama. Itupun belum pasti regim diktator itu akan tewas. Saya bukanlah menggalakkan untuk melakukan rusuhan. Tetapi sekiranya itulah jalan yang terbaik bagi kita, mengapa tidak. 

Saya akui, merusuh bukanlah amalan kita. Malah ianya agak kurang sopan dan bertentangan dengan budaya melayu. Tapi selagi kita bersikap dengan lemah lembut, selagi itulah regim diktator yang sedang memerintah sekarang semakin berani memijak kepala kita.

Saudara Marhain Tua....maafkan saya. Saya bukanlah seorang yang pandai menulis.

Jawapan MT

Assamualaikum wbt.

Saudara SS1

Pertama sekali saya ingin dahului dengan ribuan maaf kerana kelewatan menjawab warkah saudara. Kalau dilihat kepada jawaban saya yang  diarkibkan oleh para Website Pro-reformasi, kelewatan satu minggu kepada warkah saudara adalah sesuatu yang tidak normal. Sebenarnya, saya mahukan satu ruang masa yang agak tenang untuk menjawab soalan saudara ini kerana sensitibiti soalan yang dikemukakan.

a) Saudara harus sedar bahawa masa yang agak lama di negara orang terutama sekali di Jepun telah memberikan saudara satu kesedaran betapa getirnya keadaan politik di tanahair sendiri. Begitu juga saya kira yang dihadapai oleh sebilangan besar rakyat kita yang berada di negara lain. Perkara ini amat saya fahami berdasarkan  perhubungan surat di antara saya dengan mereka yang tidak mahu perhubungan di alam siber itu disiarkan untuk tatapan pembaca. Tahap kesedaran yang tinggi yang ditunjukan ini sebenarnya berdasarkan kepada pendedahan yang saudara terima secara berdikit dan bebas daripada percampuran saudara dengan orang lain dan pembacaan ilmu pengetahuan yang mudah didapati di negara orang tanpa ada percubaan untuk memutarbelit fakta seperti yang terpaksa dialami oleh sebilangan besar orang Melayu di negara ini.

b) Menyedari kepincangan yang disogokkan kepada orang kita di negara sendiri, makanya saya usahakan juga menulis secara berdikit beberapa fakta yang telah lesap daripada arkib tulisan negara ini. Malahan, banyak fakta sejarah telah disongsangkan daripada diketahui oleh pelajar kita di sekolah-sekolah. Inilah satu episod yagn panjang yang memerlukan satu ruang masa yang lebih panjang untuk kita merobek peti sejarah sebenarnya di satu masa yang akan datang. Perkara ini hanya boleh berlaku kalau mamak Mahathir ini sudah tidak ada lagi di dunia ini dan sudah tidak lagi berkuasa.

c) Kita sudah merdeka sejak 1957. Hingga kini, negara ini telah mengharungi episod penjajahan lebih dari 450 tahun. Kini, kita meredeka hanya dari segi kata sahaja. Orang Melayu pada dasarnya masih lagi dijajah dan belum merdeka lagi. Di sinilah liciknya Mahathir dengan konco-konconya memerangkap minda orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lainnya. Dia berjaya menjajah kita kembali sejak 20 tahun yang lalu tanpa kita sedar pada tahap awalnya. Rakyat marhain sudah terpukau dengan tindak-tanduk ini disebabkan terlau taksub mempercayai perjuangan UMNO yang dicanang oleh Mamak Mahathir. Kita dipukau dengan kata-kata betapa pentingnya mempertahankan ketuanan Melayu itu sedangkan itulah ketuanan UMNO yang  kini telah diambil-alih oleh Mahahtir dan para kroninya.

d) Saya harap saudara dan rakan-rakan yang lain  yang berada di luar negara harus sedar akan fenomena ini dan dapat renungkan betapa Bangsa Melayu itu  khasnya telah tertipu oleh kata-kata manis seorang manusia yang diamanahkan menjadi pemimpin orang Melayu. Cuba lihat sejarah orang Jepun hinga ke hari ini. Mereka berjaya kerana mereka berusaha mencungkil bahan sejarah mereka dan memastikan agar setiap rakyat marhain Jepun faham akan perjuangan orang yang lalu dan mereka memastikan agar sejarah itu ditulis secara betul. Setiap bangsa yang berjaya di dunia ini adalah satu banga yang menghargai perjuangan bangsanya yang silam. Tidak kira samada perjuangan itu betul ataupun salah. Kalau ada kesalahan itu, mereka mencari sebab-mesababnya untuk mencari jalan yang benar. 

Demikianlah taksubnya orang Jepun dengan sejarah sehinggakan mereka sanggup berbelanja besar untuk mengkaji sejarah tamaddun orang lain. Kerana itulah kita dapati betapa orang Jepun merupakan pengkaji sejarah yang paling utama yang mendedahkan misteri piramid di Giza. Dari teknologi canggih yang mereka gunakan barulah terdedah betapa piramid dibina oleh Firaun bukannya untuk menyemadikan mayat firaun dan keluarganya. Semua mayat dan mumia telah disemadikan dalam kuil khas dipersekitaran kawasan piramid itu. Melalui teknologi Jepun barulah para saintis (archeologist) faham bahawa piramid telah dibina untuk dijadikan satu alat seakan radar yang mengeluarkan isyarat daipada bumi ke angkasa. Barulah seluruh dunia tahu betapa orang Arab kuno di zaman Firaun telah menggunakan piramid untuk menyaring air dan memisahkan Hydrogen daraipada H2O (air) dan membakar gas itu sebagai bahan isyarat ke angkasa.

Saya menggunakan perjuangan orang Jepun sebagai contoh agar saudara dapat membuat rujukan ketika masih lagi berada di negara mereka. Demikianlah usahanya orang Jepun dengan sejarah mereka dan tamaddun orang lain. Tetapi, semua itu tidak boleh berlaku kalau orang Jepun itu tidak mendapat motivasi daripada para pemimpin  mereka. Di Jepun, kepimpinan adalah sesuatu yang dianggap paling dekat dengan benda keramat. Kerana itu seseorang pemimpin yang tersilap langkah sanggup menghukum dirinya dulu sebelum hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah ataupun pendapat rakyat majoriti. Apakah perkara seperti ini berlaku di negara kita?

Mamak Mahathir dan Peradaban Jepun:

Saya ingin menulis di bawah tajuk ini kerana sebahagian besar hidup kita ini sudah dipengaruhi oleh peradaban Jepun. Satu ketika dulu kita dipengaruhi oleh Jepun untuk kira-kira empat tahun sahaja. Tetapi, kini, sejak Mamak Mahathir memerintah negara ini kita telah disogokkan dengan budaya rojak Jepun selama lebih 20 tahun lagi. Projek 'Pandang Ke Timor' yang diterajui oleh Mamak Mahathir sudah mencengkam hidup kita orang Melayu secara semborono. Kita menjadi kelamkabut tidak keruan. Di waktu yang sama kita lihat semakin ramai orang Jepun yang cuba mendalami ajaran Islam sehinggakan ada rakyat Jepun yang terkenal sebagai pakar penulisan Khat. Di negara in kita lihat semakin ramai orang Jepun yang berminat dengan rojak dan makanan orang Melayu.

Saya telah membuat kajian mendalam akan cara Mahathir menyogokkan konsep budaya kerja Jepun itu sebagi satu topeng untuk mengertsah minda dan tenaga orang Melayu khasnya mengikut rentak hidup berpandukan tabla yang diketuk oleh Mahathir dan para kroninya. Dengan lain perkataan Konsep Pandang Ke Timor adalah satu konsep yang dilaksanakan sebagai alternatif agar orang Melayu tidak terus pandang ke barat. Siapakah sebenarnya di barat? Tentu ramai yang akan berkata 'orang putih' sebagai jawapannya kerana orang putih yang pernah menjajah kita. Tetapi, bukankah di barat sana terletaknya 'KAABAH' ?

Adalah sesuatu yang mencuit hati kita betapa kini Mamak Mahathir amat takut kepada globalisasi? Tetapi, bukankah projek Pandang ke Timor dulu, satu proses menyerap globalisasi seperti mana orang kita Melayu menyerap ajaran agama Islam yang datang daripada barat?

Di sinilah letaknya kelemahan orang Melayu pada asas keseluruhannya. Orang Melayu sudah leka seleka-lekanya. Baik rakyat marhain, pegawai tinggi krajaan, aristokrat Melayu pencen, golongan istana malahan raja-raja yang sedang leka di singgahsana mereka itu. Semuanya terleka dibuai rentak tabla seorang mamak tua. Kerana itu kita tidak pernah mahu membuat ulangkaji kepada catatan sejarah bangsa kita. Tidak ada sesiapa yang sanggup mencuit minda bangsanya dan menyoal kenapakah Portugis sanggup berlabuh di Melaka sedangkan perniagaan besar mereka berada di Kanton (Canton). Kenapakah Portugis berdagang dengan China dalam penghantaran mariam dan peluru tanpa membuat kilang di Melaka? Kenapakah kilang itu didirikan di  Goa (India) dan tidak di Melaka? 

Kalau kita buat kajian itu barulah kita sedar betapa ramai orang Melayu yang dilarikan ke Kanton oleh Portugis untuk  kerja-kerja tukang besi. Ketika itu kerajan Maharaja China sedang giat menempatkan mariam di sepanjang tembok besar China dan memperkuatkan sempadannya. Kalau kajian itu dilaksanakan barulah kita sampai ke satu tempat di Taiwan yang kini menjadi satu pelabuhan Huelian. Dari pelabuhan ini kita akan sampai ke satu perkampungan orang Asli TAiwan yang mirip orang Melayu. Apabila kita kaji loghat mereka baru kita sedar merek sebenarnya berdarah orang Melayu. 

Kalaulah kajian serupa ini dibuat dulu-dulu lagi, bukankah ini menaikkan semangat juang orang Melayu untuk mengenal betapa besarnya pengaruh ketuanan Melayu sejak dulu lagi?

Kita terlepas peluang seperti ini kerana kos membuat kajian adalah tinggi. Melainkan kajian itu dibuat oleh orang persaorangan yang tergerak melakukannya untuk memenuhi naluri ilmiahnya. Sepatutnya Mamak Mahathir sudah mempelopori kajian seperti ini kalau beliau benar-benar ikhlas untuk memertabatkan ketuanan Melayu itu di dunia ini. Tetapi, apakah yang beliau lakukan dengan khazanah negara itu sebaliknya? 

Beliau pelopori projek mega yang membazir dan tidak punya nilai tambahan yang dapat menyediakan satu bangsa Malaysia yang akan berdiri megah di alaf baru. Kepada Mahathir, Bangsa Melayu dan Malaysia harus berdiri megah dengan segala projek mega yang dilaksanakannya. Inilah kelemahan otak Mahathir sebenarnya. Dia mahu negara ini mengenangnya kerana jasa membina prjek mega itu tetapi dia tidak mahu bangsanya mengenalnya melalui projek wawasan yang membuatkan bangsanya dimuliakan oleh sejarah tamaddun dunia.

Saudaraku,

Cukuplah dulu penulisan saya kali ini. Memadailah kalu saya syorkan saudara membaca peradaban Jepun terutama sekali mengenai 'shingkai'  ataupun Majlis Perundingan mereka, budaya musyawarah mereka seperti 'renggi', sistem pampasan kerja kepada 'kosei nenkin' dan 'kokumin nenkin' dan banyak lagi. Yang paling penting sekali cuba pelajari kaedah para pemimpin menyesuaikan diri mereka kepada permintaan rakyatnya. Cara pemimpin melentur kemarahan rakyat dan cara pemaksaan sistem Yakuza terhadap kehidupan orang Jepun. 

Semua ini amat diperlukan oleh bangsa kita. Buatlah kajian secukupnya akan peradaban Jepun itu. Mana yang baik adalah  mungkin baik juga untuk bangsa kita. Inilah yang amat diperlukan oleh bangsa kita. Tulislah sedikit artikel bagaimana pemimpin Jepun menghormati kehendak rakyatnya sehinggakan sanggup melaksanakan 'harakiri' kalau salah tadbir. Bangsa kita mahu tahu semua itu kalau boleh saudara usahakan.

Insya Allah daripada penelitian saudara itu nanti akan terdedah satu misteri kenapa Mamak Mahathir amat takut menghadirkan dirinya ke mahkamah di atas isu Anwar Ibrahim. Saudara akan dapat satu kunci ilmu melalui peradaban Jepun; betapa mereka tidak akan menghadapkan seorang pejuang ke mahkamah secara sewenagnya.

Sekian dulu dan salam hormat jua.

-Marhaintua-