HATI LUKA YANG BERTAMBAH PARAH

From: "awab zabi" 
To: marhaintua@hotmail.com
Subject: hati yang luka bertambah parah
Date: Mon, 27 Mar 2000 16:25:28 MYT

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum, Tuan, semuga Tuan sentiasa berada di dalam lindungan ALLAH untuk meneruskan perjuangan ini...

Sukar untuk saya memulakan coretan ini kepada Tuan, tetapi hati saya semakin hari semakin tertekan untuk meluahkan rasa hati setiap kali saya menatap, meneliti dan merenungi tiap baris perkataan yang tuan titipkan di setiap siri penulisan tuan sejak (seingat saya awal1999 -atas nama pena MT).  Saya mula mengumpul artikel tuan mulai siri 'Manusia Berhati Syaitan', dari itu saya dapati penulisan tuan amatlah ketara hebatnya dan detail dengan fakta. Hati saya sentiasa berdetik bahawa tuan bukan 'calang' orangnya dan hari ke hari saya sentiasa menanti siri-siri penulisan tuan yang amat berharga itu.

Tuan yang dihormati,... hanya ALLAH yang MAHA mengetahui perasaan hambanya... dan tiap kali meneliti tulisan tuan, hati tertekan , fikiran semakin keliru dan terasa betapa kerdilnya diri ini sebagai rakyat Malaysia (Melayu beragama Islam)yang begitu jahil mengenai sejarah bangsanya sendiri (betapa pula jutaan rakyat yang lain!...) Fikiran saya sentiasa buntu mengenangkan nasib anak bangsa (paling hampir kaum keluarga genarasi akan datang!) Saya yang mulanya tidak perihatin dengan politik tanahair, mula tersentak dengan peristiwa DSAI.  Malah, hati mula berdetik dengan keadaan politik yang tidak menyenangkan seawal 1998 apabila pertama kali mendengar amanat ringkas DSAI (disuatu perhimpunan bulanan..)dengan merasakan ada 'sesuatu' yang tidak 'kena' diwajahnya...  Dari peristiwa ini saya mula tawar hati untuk membaca akhbar atau mengikuti berita utama ditv kerana seolah-olah segalanya tidak memihak kepada DSAI!...

ALLAH MAHA BESAR!... segalanya terjawab bila pada 2.9.98 jam 8.00 mlm. dari mulut peyiarnya (wajahpucat)Zainal Abidin (TV3).. gementar seluruh badan dan sejak tarikh keramat itu,saya menjadi 'fobia' kepada media tv dan akhbar... seterusnya internet menjadi amat penting!.

Tuan, maafkan saya atas coretan yang tidak penting ini.  Saya tidak pandai menulis, tetapi apa yang ingin saya utarakan ialah seramai mana yang telah meneliti dan meginsafi siri-siri penulisan tuan?.  Kadang kala saya tidak dapat mengawal perasaan (menghadapi risko ditempat kerja....)meminta teman-teman menghayati penulisan seperti ini (menyindir mereke yang lebih gemar melihat laman 'blue' ..) hati saya panas dan sedaya mungkin saya berusaha mencetak dan memberi kepada yang menunjukkan minat.  Dalam situasi yang berisko saya ikhtiarkan juga walaupun telah ada ura-ura nama telah disenaraihitamkan...

Akhirnya tuan, sejak Sept. 1998, saya tidak pernah luput mendoakan kepada ALLAH YANG MAHA KUASA akan kemenangan kepada rakyat marhain menuntut keADILan... di tambah lagi bila berdepan dengan wajah bersih dan tenang DSWA serta anakandanya.. hati saya amat tertekan.  Tidak pernah lupa saya bersolat hajat bila kesempatan untuk kemenangan ini dan menghadiahkan bacaan Alquran untuk yang berjuang dan dizalimi.

Semoga perjuangan tuan dan rakyat akan diberkati ALLAH dan saya amat yakin bahawa (sperti yang selalu tuan katakan) KUASA VETO adalah DITANGANNYA JUA... Inshallah.

Jawapan MT

Assalamualaikum wbt.

Saudaraku Awab,

Saya bersyukur kepada Allah kerana menerima warkah anda yang sungguh menyentuh perasaan. Sebagaimana yang selalu saya katakan setiap yang baik dalam penulisan saya itu adalah kepunyaan Allah. Segala cacat-celanya adalh kesilapan saya. Sebagai insan ciptaan nya kita tidak boleh lari daripad kesilapan dan kerana itu kita tidak boleh bermegah dengan puji-pujian. Kalau kita mudah megah, kita jadi riak dan bahananya adalah apa yang kita lihat di sekeliling kita sekarang.

Surat anda memang menyentuh perasaan dan saya berpendapat eloklah saudara mula menulis kepada laman reformasi yang mungkin bersedia menerima tulisan saudara itu. Untuk di tahap awal saudara boleh ceritakan keazaman saudara memberi peransang kepada teman-teman agar sensitif kepada keadan keliling kita. Mungkin saudara merasa tertekan dengan perangai teman-teman yang amat suka dengan saluran biru yang mengasyikkan itu.. Inilah yang dikatakan cabaran, saudara. Di sinilah letaknya kesabaran dan keazaman. Saudara harus terus mencuba dengan banyak-banyak bersabar. Ingatlah, setiap yang biru itu apabila dicampur dengan yang kuning akan menjadi hijau, akhirnya. Mungkinkah yang kuning itu berada di dalam Al Quran? Tidak semesti yang kuning itu berada hanya pada orang istana, bukan?

Saya amat faham kenapa fikiran saudara sentiasa buntu  mengenangkan anak bangsa yang akan menjadi generasi yang akan datang. Rintihan semacam ini memang banyak saya terima setiap hari. Ada yang datang daripada Eropah, Amerika, Australia, malahan di Al Azhar dan tanah air ini. Malangnya, tangan saya terikat kerana memegang amanah. Saya tidak boleh menyiarkanluahan hati mereka itu tanpa keizinan mereka. Banyak yang menulis dan cuba mendapatkan nasihat secara rahsia. Saya terpaksa melakukannya kerana tidak mahu menghampakan amanat itu. Kerana itu saudara dapat lihat melalui tarikh pengiriman warkah mereka dan tarikh saya menjawabnya. Kalau luas renggang tempoh tarikh itu, bererti saya menunggu jawapan mereka untuk menyiarkan jawapan saya kepada umum.
Apa yang kita harus fikir sekarang ialah masa depan bangsa kita mengikut ajaran Islam yang kita anuti dan hayati itu akan hidup berpanjangan dengan baik. Ini bukannya calang-calang harapan. Ini adalah satu cita-cia besar sebenarnya. Kerana, gejala melecehkan proses ini ada di mana-mana. Samada disedari atau tidak oleh pihak yang maha berkuasa di negara ini, adalah satu persoalan yang lain. Tugas kita ialah menentukan agar generasi yang akan datang akan terus bertaqwa dalam kehidupan mereka.

Saya  merasa bertuah menerima surat anda yang menulis betapa anda selalu bersolat hajat dan berdoa untuk mencapai kemenangan. Memang, inilah yang sepatutnya menjadi pakaian kita sekarang. Seperti yang saya katakan dulu apa juga yang boleh dirancangkan oleh manusia berhati syaitan, kuasa VETO adalah hak Allah semata-mata. Inilah hakikat hidup kita, samada kita seorang yang beragama Islam ataupun tidak. Perkara ini pernah saya gunakan sebagai nasihat dan pandangan kepada penulis yang bukan beragama Islam yang menulis kepada saya. Mereka kerap bertukar fikiran dengan saya dan setiap kali ada kesempatan saya ingatkan mereka akan hakikat ini.  Semakin kerap kami berutusan, semakin kuat kepercayaan mereka bahawa tidak ada sesiapa yang dapat menandingi kuasa Veto Allah. Apabila seseorang insan menyedari perkara yang hakiki ini, kita dapat lihat betapa cepatnya beliau bertukar haluan untuk mencari kebenaran seolah-olah haluan yang ditujunya sekian lama adalah satu sasaran yang silap.

Fahaman kita terhadap kuasa Allah harus menjadi pedoman kita selalu. Jika tidak, kita akan leka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Cuba lihat keadaan iklim negara kita yang cepat sangat dengan angin puting beliung di sana sini sedangkan sekarang ini adalah bulan Mach. Inilah masanya dedaun getah sedang luruh. Kalau mengikut kelazimannya, daun luruh untuk menahan dirinya daripada kepanasan yang amat terik. Kenapakah boleh berlakunya puting beliund hampir setiap hari? Kenapakah ada saja perkampungan di ibukota yang kebanjiran ? Semalam sahaja berpuluh kereta yang rosak dan ranap ditimpa dedaun dan pokok tumbang. Fenomena seperti ini  tentunya ditertawakan sahaja oleh orang yang tidak perihatin dengan kuasa Allah. Tetapi, sebodoh-bodoh seorang petani, dia sudah berani menyoal dirinya kenapakah perkara ganjil seperti ini mudah sangat berlaku?

Di dalam rekod pertanian, bulan Mach adalah musim daun berguguran kerana musim yang panas. Ini bererti hasil getah akan berkurangan. Tetapi, disebabkan keadaan iklim yang berubah di mana hujan datang mencurah hasil kelapa sawit pun akan terus merudum. Ini adalah disebabkan melambaknya buah yang terlebih masak ranum yang jatuh daripada tanadannya. Apabila tandan sawit mula masak terlalu cepat secara melambak, bererti kadar FFA (Free Fatty Acid) pun akan naik melonjak. Apabila ini berlaku bererti kadar minyak (Oil Extaction Rate) akan merudum. Impaknya, hasil sawit pun akan berkurangan juga. Keganjilan yang berlaku dalam dua fenomena ini tentunya diluar jangkaan para analis yang merangka jangkaan hasil pertanian tahun ini. Kalau berlaku salah-sasar dalam kajian ini bererti hasil negara pun akan berubah.

Demikianlah rumitnya manusia membuat penelitian akan keadaan hidupnya. Sehinggakan mencari kadar keuntungan pun ia terpaksa mencari kadar hasil-tani tahun yang mendatang. Tentunya ini memerlukan pengetahaun yang mendalam akan sesuatu yang perlu dikaji itu. Tetapi, apakah manusia dapat menelah bala yang akan datang dari langit?

Sebagai hadiah kerana menulis kepada saya saya ingin menyambung penulisan saya yang termuat dalam balasan warkah daripada pengunjung sebelum saudara.  Untuk mengikuti jalan cerita jawapan saya ini saudar perlu membaca dulu jawapan saya kepada beberpa warkah yang disiarkan sebelum ini. Saya ingin menyambung sedikit akan cerita pembinaan piramid di Mesir di zaman Firaun.  Saya telah mendedahkan betapa penulis barat banyak berbuat silap dengan mengatakan pembinaan piramid adalah untuk dijadikan pusara kepada para firaun dan keluarga istananya. Saya telah menulis betapa tidak ada seorang firaun pun yang ditanam dalam piramid itu. Bangkai dan tengkorak yang dijumpa di piramid adalah merupakan bangkai pencuri harta tersembunyi. Apabila teknologi Jepun digunakan, semakin terdedah teori betapa piramid itu digunakan untuk menyaring Hydrogen daripada air dan membakar Hydrogen itu sebagai isyarat ke angkasa. Alangkah menakjubkan cerita ini sedangakan piramid itu telah dibina sekitara 2500 tahun sebelum masehi? Kalau kita pergi melihat piramid itu pun kita akan merasa ketakjubannya kerana melihat betapa setiap piramid di Giza itu boleh rapi sekali dibuat. Condongnya pun tidak melebehi lima puluh  dua darjah. Sedangkan ada piramid lain yang dibuat di luar kawasan itu mempunyai condong sebanyak 40 darjah sahaja.
Alangkah pelik pembikinan piramid itu sehinggakan kuasa besar di dunia ini berbelanja besar menempatkan pasukan arkeologi mencari jawapan terhadap pembikinan yang sungguh menakjubkan itu. Kalau kita bertanya orang Mesir, mereka akan berkata bahawa inilah kebanggaan mereka kerana di zaman Firaun, pembikinan itu telah dibuat oleh kaum Arab purba yang amat bangga dengan kemahiran mereka. Mereka bersedia mengorbankan nyawa berjuta-juta manusia untuk membina piramid itu bukan disebabkan mereka takut dan taksub kepada Firaun. Mereka malakukannya kerana mereka bangga dengan kepintaran bangsa mereka. Demikain kata orang Arab itu dan demikian juga yang ditulis oleh pakar sejarah dan archeology. Tetapi, apakah itu yang sebenarnya seperti yang diturunkan  oleh Allah kepada Muhammad saw ? Tidak, amat berbeza sekali jawapannya. Saya percaya saudara akan mencari klu seterusnya. Ia terdapat di dalam Al Quran juga.

Menyedari hakikat ini, kita perlu terus bertaqwa dan mencari keredaan Allah dalam kehidupan kita. Apatah lagi dalam usaha-usaha berjihad. Setiap hari selepas  solat saya dan ketika berdoa kepada Allah saya selalu meminta negara ini sentiasa aman damai. Ini adalah disebabkan keadaan negara ini yang saya tahu sejak dulu lagi dan apabila dibandingkan dengan keadaan dunia yang mencelaru sekarang ini. Jauh di lubuk hati saya, memang terdapat kesangsian betapa generasi pelapis bangsa saya sudah jauh tersimpang, bukan kerana mereka lalai semata-mata. Tetapi kerana mereka dilalaikan. Inilah yang menjadi kemusykilan saya. Kerana itu saya selalu berdoa agar Allah memelihara setiap insan yang bertugas secara sukarela sebagai Webmaster laman Pro-reformasi. Saya tahu perjuangan mereka dan saya amat curiga dengan keselamatan mereka. Memang bukan calang-calang manusia yang sanggup menjadi Webmaster Laman pro-reformasi ini. Peranan mereka adalah sama besarnya dengan peranan para pemimpin Barisan Alternatif yang bergiat secara bebas.

Cuba bayangkan apa akan terjadi tanpa berita yang tersiar di Website Pro reformasi? Bukankah kita akan menjadi tertipu dalam hidup kita tanpa berita benar yang tersiar di laman Pro reformasi? Kalau saudara dapat bersetuju dengan soalan ini bererti saudara harus terus berjihad ke jalan Allah untuk menyedarkan bangsa kita. 

Salam Hormat.  
-MT-