REAKSI MT KEPADA LUAHAN HATI 'AKU PEGUAM'

Assalamualaikum w.b.t.

Saudara 'akupeguam' yang dihormati:

Saya telah membaca tulisan saudara yang telah dipanjangkan oleh WM Mindarakyat kepada saya. Pada kelazimannya setiap warkah yang dihantar kepada saya akan dijawab secara berhemah dan disiarkan semula untuk tatapan para pembaca laman internet. Penulisan saya itu diarkibkan dengan sungguh baik oleh para  webmaster mengikut cita-rasa mereka yang tersendiri.

Apabila menerima tulisan saudara, sebagai kelazimannya saya merenung dan mula mencari jawapan yang  sesuai untuk menulisnya. Selalunya  saya duduk lama-lama di sejadah selepas sembahyang hajat meminta panduan daripada Allah yang maha berkuasa. Hari ini masuk hari ketiga saya  termenung untuk mencari jawapan yang sesuai. Yang ternampak jelas oleh saya ialah menulis kepada saudara secara terus dulu dan mengsyorkan perkara di bawah ini:

A) Agar satu kolum baru dipanggil 'LAMAN  UKHUWAH' di mulakan di salah sebuah website yang ternama, di mana pengendali web itu sudahpun bersedia untuk mengendalikannya. Di laman itu akan disiarkan luahan hati saudara dan para pembaca diminta untuk memberikan pendapat mereka.

B) Apabila luahan hati itu tersibar dengan luas, ia akan memberi kesan yang positif di mana para ilmuan akan menulis daripada pelbagai sudut yang difikirkan dapat membantu saudara menangani perkara yang melanda. Perkara ini tidak cukup dianalisa dari segi perikemanusian semata-mata. Malahan dari segi agama Islam kita mudah berkata 'Rezeki Saudara adalah di tangan Allah dan bukannya di tangan Mamak Mahathir'. Tetapi, bagaimana pula saudara akan menangani masalah anak-anak dan isteri yang turut tertekan. Bagaimana pula dengan kaum keluarga yang dicintai?

C) Luahan hati saudara itu akan menjadi satu 'buffer' ataupun mudguard yang berkesan untuk mendedahkan kedurjanaan kerajaan secara berhemah juga.

Menyedari hakikat ini saya meminta keizinan saudara agar tulisan saudara itu dapat dijadikan bahan pemula Kolum bernama  Laman Ukhuwah di Website Fitnah-e-umno ataupun Laman Reformasi Pendidikan. Pengendali laman web sudah bersetuju kalau saudara memberi keizinan ini. Kita akan lihat apa reaksi para pembaca dalm hal ini dan dari situ dapatlah saudara mengambil iktibar untuk dijadikan sebgai satu 'suluh' yang dikira dapat menerangi kegelapan yang sedang melanda.

Adalah diharapkan saudara akan bersetuju dengan cadangan ini dan dapat memberikan keizinan itu dengan cara menjawab penulisan ini. Sukalah saya menutup warkah ini dengan salam ukhuwah kepada saudara dan semoga usaha kita bersama ini akan menerangi juga kekeliruan yang sedang melanda bangsa kita.


Salam Hormat

-Marhaintua-