BAGAIMANA MEMBANTU MENYEMARAKKAN GELOMBANG
REFORMASI
From: "Meranti Comel" To:
marhaintua@hotmail.com Subject:
Assalamualaikum........ Date: Wed, 05 Apr 2000 14:10:37 GMT
Pak Mairhaintua,
Sebagai
seorang warganegara Malaysia yang amat cintakan negaranya, saya sentiasa mengikuti setiap
penulisan tuan dan juga webmaster yang lain. Hati dan jiwa saya memberontak dan
berantakan dengan penyelewengan demi penyelewengan yang terbongkar dan juga yang berlaku
didepan mata kepala kita. Saya kerap menyoal diri saya dari aspek apakah yang wajar
saya lakukan untuk membantu dalam menggulungkan lagi gelombang reformasi yang sedia ada
supaya gelombang ini lebih menggunung tingginya untuk menghempas tebing yang tinggi agar
berderainya nanti membawa perubahan dan matlamat yang kita semua idamkan....
Saya
berharap bapak dapat memberikan gambarannya....
Ikhlas, Comel.
Anakku Meranti,
Terimakasih dengan emel anda. Saya terharu membacanya terutama
sekali apabila anak memanggil saya dengan panggilan begitu. Ini menunjukkan anak sudah
menerima asuhan yang baik mengikut susur galur budaya Melayu tulin, Insya Allah.
Jikalau
kita lihat akan perkembangan politik tanahair memang kita boleh merasa curiga dan gusar
akan perjalanan hidup Bangsa Melayu itu akhirnya. Tetapi, kita harus ingat, semuanya
adalah kuasa Allah semata-mata. Kita boleh merancang, tetapi perancangan yang paling jitu
adalah hakNya.
Menyedari hakikat ini ada beberapa perkara penting yang boleh anak
lakukan untuk menghidupkan semangat perjuangan rakyat terhadap ketidakadilan regim yang
memerintah. Kita harus mengambil iktibar daripada ajaran Al Quran. Pertama, bacalah Al
Quran selalu dan kajilah tafsirannya. Banyak yang boleh diperolehi daripada ajaran Allah.
Sedangkan Perdana Menteri UK Tony Blair pun selalu membacanya apakan pula kita? Seandainya
anak sudah bekerja di pejabat, simpanlah sebuah kitab itu di pejabat dan bacalah sepotong
dua surah ketika ada kelapangan. Jikalau anak berkereta simpanlah Surah Yassin di
tempat yang baik, dan baca bila ada kelapangan.
2) Kalau ada kemampuan, ambillah
beberapa artikel yang baik-baik dan buatkan potokopinya untuk dijilid dan disedekahkan
kepada pihak yang memerlukannya. Kita harus ingat, perjuangan reformasi ada di mana-mana.
Mereka mungkin menjadi seorang pemandu lori, pemandu teksi, polis trafik, askar yang
menjaga pintu masuk kem tentera dan sebagainya. Saya mendapat kepastian ini apabila
menerima emel daripada mereka. Mereka menggunakan cafe cyber dan juga komputer anak-anak
mereka untuk menghubungi saya. Tetapi bilangan semacam ini memang terhad kerana majoriti
bangsa kita adalah golongan yang daif dari segi mencari maklumat. Inilah golongan yang
memerlukan bantuan.
3) Sebarkan berita terkini dan sahih. Saya pernah diberitahu
bagaimana seorang pemandu teksi kerap membeli HARAKAH dan sengaja meletakkannya di tempat
orang awam menanti doktor di hospital dan klinik. Saya cuba buat eksperimen ini dan
mengsahkan kesahihan usaha beliau. 4) Amalkan agar kita bersedia mendengar selalu akan
kata-kata pihak yang sengaja mengapi-apikan sentimen rakyat agar membenci perjuangan
golongan reformasi. Kita mudah ketawa dengan gelagat mereka. Contohnya apabila seorang
diktator tua sanggup menipu setiap hari membohongi rakyatnya. Kalau seorang perdana
menteri rela berbuat demikian setiap hari apa lagi yang boleh diharapkan daripada pemimpin
bawahannya?
Cukuplah dulu dari saya. Mungkin di satu hari nanti kita dapat menyambungnya lagi. Ambillah iktibar daripada ciri-ciri pokok meranti. Kalau ditanya pakar
hutan tropika, mereka akan berkata, meranti amat menonjol di hutan. Daripada warna
pucuknya sahaja kita dapat menilai berapa tan kayu yang ada di satu konsessi itu.
Daripada batangnya kita dapat menilai berapakah usia sesuatu pokok itu. Namun
apabila ditebang, tidak sampai dua puluh persen yang dikomersialkan. Yang lain dibiarkan
lapuk di tempat penebangannya.
Demikainlah juga dengan perjuangan manusia untuk mencari
kebebasan itu. Ia adalah satu perjuangan yang panjang dan semangat perjuangan itu
mesti terus membesar dan naik meninggi walaupun ia bererti sesoerng pejuang itu akan
dipenjarakan bertahun lamanya. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Nelson Mandela.
Bukankah itu juga yang dialami oleh Pramodeya Anantatur dan banyak lagi pejuang reformasi
asing yang lain.
Tidak ada sesiapa yang dapat menyangkakan bahawa perjuangan
menegakkan keadilan di negara ini akan memerlukan pengorbanan seperti personaliti yang
saya sebutkan itu. Tetapi, seperti yang baru saya tulis siapakah yang boleh meneka apabila
dia tidur nanti, tidurnya itu akan diulit mimpi yang indah ataupun igauan yang ngeri?
Salam Hormat.
Marhaintua
|