counter.bloke.com

PANDANGAN SAYA...

From: "melayu baru"
To: marhaintua@hotmail.com
Subject: Pada pandangan saya...
Date: Fri, 14 Apr 2000 12:02:45 MYT

Assalamualaikum wrh wbt,

Saya tertarik membaca tulisan saudara yang disiarkan di dalam Laman Reformasi. Untuk makluman saudara, saya adalah pengunjung tetap Laman Reformasi sejak dari dulu lagi. Dan setiap kali saya melawat ke sana, tulisan saudara mesti ada. Dan saya beranggapan bahawa saudara adalah salah seorang penyumbang tetap untuk LR. Syabas untuk saudara kerana tulisan-tulisan tersebut.

Oh ya, saya fikir lebih baik saya berterus terang saja dengan saudara. Sebetulnya saya adalah seorang ahli UMNO. Ahli UMNO dari generasi baru. Maksudnya generasi selepas merdeka. Saya, saudara dan semua orang yang mengikuti perkembangan politik tanah air sejak akhir-akhir ini pastinya sudah faham sangat situasi politik masa kini. Atau dengan perkataan lainnya, sejak pemecatan DSAI dari UMNO dan kerajaan, UMNO telah diserang secara bertubi-tubi dari segenap penjuru.

Kalau dalam konteks serangan yang menggunakan peluru, peluru-peluru tersebut datang dari pelbagai arah dan bersimpang-siur. Maksudnya, kalau nak tepis dalam keadaan biasa, memang tak tertepis. Apa yang boleh dilakukan hanyalah bertahan saja. Itu pun tak boleh menggunakan pertahanan biasa. Alamat akan tewaslah. Pertahanan yang saya maksudkan di sini ialah bersabar banyak-banyak.

Bila mana menghadapi serangan yang bertali arus begini, peluru sememangnya tidak bermata. Kemungkinan untuk kena pada orang-orang yang tidak bersalah memang ada. Ertinya, dalam konteks serangan terhadap UMNO, penyerang-penyerang langsung tak mengambil kira kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan oleh UMNO. Mereka pukul rata sahaja.

Saya tak pastilah apa pandangan saudara dalam hal ini. Cumanya, sebagai seorang insan yang dikurniakan akal dan fikiran, saudara tentunya dapat membezakan yang mana satu baik, dan yang mana satu tak baik. Dan saya pula, sebagai seorang anak kampung yang pelajaran pun tak setinggi mana, lebih suka mengamalkan sikap yang baik jadikan tauladan, tak baik jadikan sempadan. Sebab itulah di tempat saya, saya bercampur dengan semua orang. Tak kiralah apa fahaman politik orang itu. Bagi saya, saya cuba menghayati konsep ‘hamblumminallah, hamblumminannas’. Bagi saya, tidak ada    maknanya kita bercerita satu arah  sahaja, sedangkan yang satu arah lagi kita abaikan. Sebab itulah saya katakan tadi, saya boleh duduk minum teh semeja dengan rakan-rakan saya dari parti politik yang lain.

Saudara, terus teranglah saya katakan bahawa pengetahuan agama saya adalah cetek. Tapi insya-Allah, saya mampu membezakan yang mana satu haram dan yang mana satu halal, dan insya-Allah juga, saya mampu membezakan mana yang hak dan mana yang bathil. Bagi saya, setiap orang adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan ditanya akan kepimpinannya nanti. Kalau dia seorang ketua dalam sebuah keluarga, dia akan ditanya mengenai keluarganya. Kalau dia seorang pemimpin masyarakat, dia juga akan ditanya mengenai kepimpinannya.

Begitu jua kalau dia seorang pemimpin sebuah negara, dia juga akan ditanya mengenai kepimpinannya. Pendekata, tiada seorang pun yang akan terlepas dari tanggungjawab yang dipikulnya. Samada dia menjalankan urusannya secara baik atau sebaliknya. Saya setuju bahawa setiap kezaliman harus ditentang. Tapi apakah cara yang sesuai untuk menentangnya?. Apakah cara yang dilakukan sekarang ini amat sesuai untuk dipraktikkan?.

Bagi saya kalau kita mahu melihat negara kita berubah, berubah dalam erti kata yang sihat, seharusnya setiap rakyat juga perlu berubah. Berubah dari segi sikapnya, perwatakannya, pemikirannya, tindakannya dan apa saja asalkan ianya menjurus ke arah kebaikan. Dan perubahan tersebut seharusnya datang dari kemahuan sendiri. Bukan dipaksa atau terpaksa.

Saya juga pernah mengikuti ceramah-ceramah reformasi sebelum ini. Pernah satu ketika semasa ceramah oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Harun Din, semua hadirin duduk di dalam kawasan kebun. Saya nak beritahu bahawa dari segi kehadiran sememangnya ramai. Sehinggakan saya terpaksa jalan kaki lebih kurang 3 kilometer dari tempat parking ke tempat ceramah yang diadakan di dalam kawasan kebun.

Persoalannya di sini, sejauh mana mereka-mereka yang hadir ini boleh berubah?. Kadang-kadang saya terpaksa bersetuju bahawa kalangan yang hadir itu adalah kebanyakannya orang luar. Saya juga tidak menolak bahawa sebahagian yang hadir itu adalah orang-orang UMNO. Sebenarnya saya masih cuba mengingati beberapa kenyataan yang dibuat oleh DSAI sewaktu beliau mula-mula dipecat dahulu. Kalau tak silap saya, bahawa UMNO (parti) tidak terlibat dalam konspirasi menjatuhkan beliau. Tetapi konspirasi ini dilakukan oleh beberapa orang serta didalangi oleh orang-orang tertentu termasuk ahli korporat. Kalau tak silap saya (kalau silap, tolong betulkan).

Namun, dalam beberapa siri ceramah reformasi yang saya hadiri, kandungan ceramahnya bertukar sama sekali. Parti UMNO telah di’highlight’ kan sebagai parti yang terlibat secara langsung dalam apa yang disebutkan sebagai konspirasi tersebut. UMNOlah yang telah merancang segala-galanya, UMNOlah yang telah menjahanam serta merosakan bangsa Melayu.

Pendekata, tiada satu yang baik pun yang telah dilakukan oleh UMNO melainkan yang tidak baik jugalah. Kadang-kadang saya rasa terguris juga bila mendengar ayat-ayat tersebut ditekan. Walhal, kebanyakan yang bercakap itu, satu masa dulu, merekalah orang-orang kuat UMNO. Saya fikir, kalau itulah caranya, agak payah juga untuk memenangi hati orang-orang Melayu khususnya generasi tua.

Cubalah saudara semak semula artikel-artikel yang disiarkan di mana-mana jua laman reformasi, kesemuanya sama. Seperti yang saya katakan tadi, bila serangan tersebut datang secara bertali arus, kemungkinan untuk kena pada yang tidak berdosa memang ada. Betullah seperti kata pepatah Melayu, se ekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit. Gara-gara marahkan se ekor nyamuk, habis kelambu dibakar. Mereka lupa bahawa kelambu itulah dulu yang melindunginya daripada nyamuk sehingga mereka dewasa dan mampu melindungi diri sendiri. Sekarang ni, kelambu yang pernah berjasa satu masa dulu mahu dibakarnya hingga menjadi debu dan mereka-mereka ini mahu semua rakyat  masuk dalam kelambu yang baru mereka bina yang belum tentu selamat daripada nyamuk-nyamuk yang sentiasa mahu menghisap darah.

Untuk makluman saudara, saya bekerja disalah sebuah IPTA. Bila saya baca media-media cetak yang kontra kerajaan, mereka mengatakan bahawa kerajaan telah menggunakan IPTA untuk mempengaruhi pelajar-pelajar universiti supaya menyokong kerajaan. Begitu jugalah sebaliknya. Sentiasa tuduh menuduh antara satu sama lain.

Di IPTA yang lain saya tak tahulah. Tetapi di IPTA tempat saya bekerja, kebanyakan pelajarnya adalah pro pembangkang. Yang ini memang jelas. Sebenarnya mereka-mereka ini bukanlah ahli parti berkenaan, tetapi tak lebih dari ikut saja. Rata-rata setiap ceramah yang saya pergi, memang pelajar-pelajar ni ada. Samada jadi tukang kutip derma masa ceramah brake 10 minit ataupun tukang jaga simpang2 jalan untuk permudahkan lalu lintas atau jadi penunjuk arah ke tempat ceramah.

Maklum saja, kadang ceramah tu diadakan di hujung-hujung kampung. Bukan semua orang tahu kecuali penduduk kampung tu sendiri. Jadi untuk memastikan program tersebut berjalan lancar, maka petugas-petugas adalah diperlukan. Selepas selesai ceramah, pengumuman akan dibuat kepada petugas-petugas supaya berkumpul untuk taklimat seterusnya dan kemungkinan juga mereka dibayar sagu hati atau paling tidak pun duit makan.

Semasa hari penamaan calun pada pilihanraya ke 10 yang lepas, bilangan pelajar ini lebih ramai lagi. Dan seperti biasa, mereka inilah yang jadi tukang soraknya. Saya bersetuju dengan saudara bahawa suasana di kem pembangkang lebih meriah. Dan untuk pengetahuan saudara, hingga ke hari ini, rumah-rumah sewa yang didiami oleh pelajar-pelajar ini masih tergantung bendera parti pembangkang. Kadang-kadang jadi tanda tanya juga pada saya, apakah dari segi peraturannya boleh dilakukan?. Maksud saya, premis tersebut adalah premis kediaman. Ianya bukan ibu pejabat atau markas parti. Dan saya pasti bahawa pelajar-pelajar ini bukan ahli parti berkenaan. Ada jugak yang terlalu fanatik sehingga di sebelah bendera parti tersebut digantung juga banner yang mempunyai lambang universiti tempat saya bekerja yang juga merupakan tempat mereka belajar. Ini adalah fakta, bukan cerita rekaan.

Saya cuma terkilan bahawa tidak sepatutnya mereka melakukan ataupun diperlakukan begitu. Saya setuju bahawa mahasiswa adalah pemimpin negara di masa depan. Tetapi sebelum itu, seharusnya mereka memenuhkan dahulu ilmu di dada supaya keluar nanti benar-benar dapat menyumbang bakti kepada bangsa, agama dan negara. Bukannya apa, saya takut nanti Melayu dengan Melayu bergaduh, yang untung bangsa lain.

Rasanya sudah terlalu panjang saya menulis dan saya akan menulis lagi di kesempatan yang lain pula. Mohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa.

Wassalam.