Click here to visit our sponsor
Free Advertising from Click2Net!
KENYATAAN MEDIA 12 SEPTEMBER 1999

PERDANA MENTERI MENUDUH DATUK SERI ANWAR IBRAHIM MEMBUNUH DIRI

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk keras kenyataan biadap Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Peguam Negara, Datuk
Mokhtar Abdullah yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun oleh
keluarga beliau sendiri. Dr. Mahathir dengan biadap menuduh air
kencing Datuk Seri Anwar yang mengandungi racun arsenik setelah di uji
di makmal Australia adalah air kencing kepunyaan orang lain.

Nampaknya Dr. Mahathir juga adalah seorang yang buta sejarah dengan
mengatakan belum pernah dalam negara kita berlaku pembunuhan
bermotifkan politik sedangkan semasa dalam kepimpinannya sebagai
Perdana Menteri telah berlaku pembunuhan pemimpin Umno kerana dendam
politik. Pada awal tahun 1980-an Datuk Mokhtar Hashim di waktu itu
seorang Menteri Kabinet di bawah Dr. Mahathir telah membunuh seorang
musuh politik Umnonya. Justeru itu kenyataan Dr. Mahathir ini
disifatkan kenyataan orang yang nyanyuk dan orang nyanyuk tidak layak
memimpin negara.

Dr. Mahathir terus mengulangi taktik bodoh yang sama dengan memfitnah
Datuk Seri Anwar dan keluarga beliau kononnya:
1. Datuk Seri Anwar cuba membunuh diri dengan meracun diri sendiri
2. Keluarga Datuk Seri Anwar cuba membunuh Datuk Seri Anwar dengan
memberinya makanan beracun.

Dr. Mahathir sengaja memfitnah Datuk Seri Anwar dengan tuduhan
sedemikian semata-mata untuk mengaibkan beliau dan keluarga kerana
perbuatan membunuh diri adalah dosa yang amat besar di sisi Islam.
Semasa percubaan membunuh kali pertama di mana Datuk Seri Anwar
dibelasah Tan Sri Rahim Noor, Dr. Mahathir dengan mulut lancang
menfitnah Datuk Seri Anwar memukul dirinya sendiri yang kemudian
terbukti Rahim Noor yang membelasahnya. Fitnah jahat Dr. Mahathir ini
samalah dengan membaling batu sembunyi tangan, perbuatan jahat
terkutuk lagi dikutuk seumpama sifat orang munafik.

Oleh itu Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mempertegaskan Suruhanjaya
Bebas mesti dibentuk segera untuk menyiasat kedua-dua percubaan
membunuh Datuk Seri Anwar oleh para konspirator politik. Suruhanjaya
Bebas ini mestilah ditubuhkan di bawah Parlimen dan bukan oleh kuasa
eksekutif Kerajaan BN/Umno yang korup.

Suruhanjaya Bebas ini mesti menyiasat bagaimana Datuk Seri Anwar yang
dalam jagaan pihak berkuasa boleh terkena racun dan menyiasat tuduhan
Dr. Mahathir bahawa Datuk Seri Anwar cuba membunuh diri dengan
keluarga beliau meracunnya melalui makanan. Cubaan membunuh atau
membunuh diri adalah satu jenayah berat dan siasatan yang telus mesti
dilakukan untuk membukti yang mana kebenaran atau yang mana fitnah.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengingatkan Dr. Mahathir supaya tidak
mengalihkan isu sebenar Datuk Seri Anwar diracun dengan membuat
pelbagai tohmahan lain seperti alasan mengapa Datuk Seri Anwar baru
sekarang membuat laporan polis beliau diracun jika Datuk Seri Anwar
sudah mengetahuinya beberapa hari terdahulu. Isunya sekarang adalah
Datuk Seri Anwar diracun ketika beliau berada dalam tahanan kerajaan
bermula dari lokap polis sehingga dalam penjara di mana kedua-dua
jabatan tersebut berada di bawah Kementerian Dalam Negeri yang sebelum
ini Menteri Dalam Negeri adalah Dr Mahathir dan kini Datuk Seri
Abdullah.

Dr. Mahathir sebagai Menteri Dalam Negeri ketika percubaan membunuh
Datuk Seri Anwar kali pertama adalah bertanggungjawab penuh begitu
juga Datuk Seri Abdullah Badawi Menteri Dalam Negeri sekarang harus
disiasat seberapa segera. Oleh itu Suruhanjaya ini mesti menyiasat Dr.
Mahathir dan Datuk Seri Abdullah serta mereka yang terlibat dalam
konspirasi politik akibat percubaan membunuh DS Anwar.

Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah mesti meletakkan jawatan dalam
kabinet dan kerajaan kerana mereka telah gagal menjalankan tugas
menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar yang ditahan oleh Polis atau
semasa dalam penjara. Kegagalan mereka menjalankan tanggungjawab ini
telah mencemarkan imej Polis dan Penjara yang turut sama gagal
berfungsi menjaga keselamatan rakyat. Negara dan Rakyat Malaysia telah
dimalukan sebegitu rupa di mata masyarakat dunia lantaran sifat tidak
bertanggungjawab Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah.

Dr. Mahathir sudah sewajarnya mengembalikan semula mandat kepada
rakyat dengan membubarkan Parlimen kerana beliau sememangnya sudah
tidak layak dan tidak mampu memerintah negara kita. Rakyat diseru
supaya menggunakan undi mereka dengan bijak dan menolak rejim zalim
Dr. Mahathir yang memimpin Kerajaan Barisan Nasional/Umno, sebuah
rejim kejam dan zalim tiada tolok bandingnya pernah wujud dalam tanah
air kita.

Sudah tiada lagi jaminan keselamatan kepada rakyat ketika mereka
ditahan atau ditangkap. Sudah tiada jaminan rakyat tidak akan dipukul,
tiada jaminan tidak akan diracun dan tiada jaminan tidak akan dibunuh
apabila ditangkap oleh polis atau ditahan di dalam penjara. Sudah
tiada jaminan keselamatan untuk rakyat hidup aman damai di bawah rejim
pemerintahan zalim Dr. Mahathir. Apa yang berlaku kepada Datuk Seri
Anwar adalah ancaman baru kepada negara dan rakyat yang inginkan
kehidupan harmoni. Mari kita tumbangkan kerajaan zalim kerajaan
Barisan Nasional/Umno yang dipimpin oleh Dr. Mahathir.



HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


  • Kenyataan DPPP sebelum ini
  • Apa itu Arsenik - Jiwa Merdeka
  • Kenyataan Lim Kit Siang
  • Laporan Polis Anwar berkenaan diracun  

  • Dewan Pemuda Pas
  • Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Hj. Mahfuz Omar
  • ISLAMIC NEWS AND INFORMATION NETWORK  

    Jiwa Merdeka