CERMIN DIRI
Yang tak pernah bersuara
tidak bererti dangkal ilmunya
seperti ubi, diam-diam berisi
yang mahir berkata-kata
tidak semesti tinggi ilmunya
seperti gendang kosong
sana sini boleh kelentong
yang tahu membezakan
antara kaca dan intan
dialah yang layak digelar siswazah
walau tiada segulung ijazah
Yang hanyut di arus glamor
hanya tampil kerana nama
sering terbawa resmi ayam
bertelur sebiji, riuh sekampung
yang sedar pada kebenaran
tidak mengharap sebarang sanjungan
malah meniru resmi penyu
telurnya beratus
tidak pula digembar-gembur
Yang hanya tahu mengeji
sebenarnya iri hati
atau mungkin terlupa
kekurangan dirinya
Yang gemar beri nasihat
walau perangai masih berkarat
lihatlah ke dalam cermin diri
usah menjadi Lebai Ketayap
dan yang sentiasa bersikap sinis
menganggap orang lain pula hipokrit
sudahkah meninjau diri sendiri?
Yang nyata
kita semua sama
tiada yang sempurna.
© SHASEL 1993
23 Oct 1993
Berita Minggu 12 Dec 1993, p. 6
Antologi Puisi Manik-manik Hijau 1995, pp. 61-62