Logo PSSGWSM

 

 Adat Istiadat

  Pertubuhan Seni Silat Gayong Warisan Serantau Malaysia

Home

[Under Construction]Dalam Pembinaan

Up
Pentadbiran
Kurikulum
Adat Istiadat
Sejarah
Berita Semasa
Negeri-Negeri

 

 

 

 

[English version of this site is coming soon]

Adat Istiadat Silat Seni Gayong

Adat Istiadat Penerimaan Sebagai Murid Gayong

Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat. Jadi setiap orang yang menjadi ahli harus pula menjalani upacara mandi perlimau adat sebagai memenuhi syarat penerimaan sebagai murid Gayong. Di samping itu setiap bakal murid yang akan menjalani upacara mandi adat ini perlu menyediakan pengkeras yang berupa wang tunai. Walaupun pengkeras ini adalah hak Mahaguru/warisnya sebagai satu ikrar halal-menghalal di antara Mahaguru dangan muridnya, namun ia tidak diberatkan kepada mereka yang tidak mampu.

Adat-istiadat yang perlu ditempuhi oleh setiap pelatih ialah Perlimau Tapak bagi pelatih lelaki dan Perlimau Seni bagi pelatih wanita. Pengkeras yang dikenakan adalah seperti berikut:

Perlimau Tapak

          ·        RM11.50

Perlimau Seni

          ·        RM11.50 (wanita)

          ·        RM21.00 (lelaki)

Peralatan Mandi Tapak

Sesisir pisang emas

ebiji limau nipis

Akar sintuk

Asam jawa

Garam halus

Kemenyan

Bertih beras

Tujuh bilah jarum

Wang pengkeras sebanyak RM11.50

Dalam upacara ini, murid dikehendaki bersih daripada hadas kecil dan besar.

Peralatan Mandi Perlimau Sintuk Seni

Sesisir pisang emas

Sebiji limau nipis

Akar sintuk

Asam jawa

Garam halus

 Kemenyan

Bertih beras

21 pucuk jarum

Tujuh jenis kuntuman bunga

Sebatang lilin putih

Wang pengkeras sebanyak RM21.00

Bagi wanita, peralatannya adalah sama dari angka 1-9. Sebagai tambahan untuk wanita:

Sekapur sirih lengkap dengan ramuannya

Pengkeras sebanyak RM11.50

Peringkat Perlimau Seni merupakan peringkat penuntutan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Pelatih akan memperoleh perbezaan dalam penuntutan ilmu (dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setinggi mana yang mampu, termasuklah bermain apa jua senjata dan ilmu kebatinan - tertakluk kepada syarat-syarat tertentu), kedudukan, dan mulai memegang tanggungjawab.

Pada peringkat Perlimau Tapak, pelatih hanya dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setakat pelajaran Tapak Gayong sahaja.

Khatam/Tamat Pelajaran Permainan Seni Keris

Upacara perkhataman seni keris diadakan di laut (di tepi pantai). Perkhataman di laut merupakan salah satu adat-istiadat Seni Gayong dan juga merupakan cubaan atau dugaan terakhir kepada murid-murid Gayong setelah mereka tamat latihan menggunakan senjata tikam seperti keris. Keris mempunyai keistimewaan dalam sejarah Melayu kerana ia lambang kekuatan dan kependekaran pahlawan-pahlawan Melayu zaman silam, misalnya Hang Tuah lima bersaudara. Permainan keris mempunyai rahsia dan nilai seni yang halus lagi tersendiri serta tidak sama dengan senjata-senjata lain.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk upacara Khatam Keris:

Ayam (seekor)

Bunga (tujuh jenis,tujuh warna)

Sirih pinang berkapur gambir

Pisang emas (sesikat)

Kuih-muih Melayu(tujuh jenis)

Lilin (sebatang)

Pulut putih/kuning (sepiring)

Limau nipis/akar sintuk

Rokok daun bertembakau (segulung)

Pelepah pisang

Sehelai daun kelapa 

Perkhataman Lembing di Air Terjun

Perkhataman di air terjun juga merupakan satu lagi adat-istiadat Seni Gayong khususnya diadakan bagi murid-murid yang telah tamat mempelajari pelajaran Seni Lembing. Seperti permainan keris, permainan lembing juga mempunyai rahsia dan nilai seni yang berbeza daripada senjata-senjata lain. Permainan lembing dikaitkan dengan Megat Terawis, seorang pendekar negeri Perak kerana kepakarannya bermain lembing.

Mandi Minyak

Mandi minyak adalah upacara tahunan Silat Seni Gayong ataupun upacara khas yang pelaksanaannya tertakluk kepada keizinan Mahaguru/Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Upacara mandi minyak ini mesti diadakan di hadapan Mahaguru sendiri atau wakil mutlaknya. 

Adat Menghadap Bertapak

Menghadap bertapak dilakukan semasa:

1.       Penerimaan penabalan

2.       Memohon izin bergelanggang

3.       Memberi hormat kepada majlis 

Caranya:
Langkah maju/undur mestilah didahului dengan gerakan kaki kanan disertai angka kiraan (mengikut darjat). Di akhir kiraan mestilah berhenti dengan kaki kanan juga, lalu disusuli dengan duduk berlutut. Ini diikuti dengan kedua tapak tangan dirapatkan dan diacukan ke hadapan kepada yang berkenaan (mengikut darjat) dengan sembah(hormat).

(a)    Mengikut darjat bermaksud di antara:

  1.       yang memberi hormat

  2.       yang dihormatkan

(b)    Duduk berlutut pada ahli silat:

Peringkat Tapak

Pada akhir angka 3 atau 7 langkah maju, duduk berlutut mestilah dalam keadaan lutut kanan dipacakkan dan lutut kiri ditanamkan ke bumi. Begitu juga pada langkah akhir apabila mengundur.

Peringkat Seni

Pada akhir angka 3 atau 7 langkah maju, duduk berlutut dalam keadaan kedua-dua lutut ditanamkan ke bumi dan begitu juga pada langkah akhir apabila mengundur.

 

 

Home ] Pentadbiran ] Kurikulum ] [ Adat Istiadat ] Sejarah ] Berita Semasa ] Negeri-Negeri ]

Sila hantar e-mel kepada  webmaster   jika ada kemusykilan atau komen.
Last modified: July 16, 2000 01:43 PM

Best viewed with IE 4.0 or later