DONDANG DARI KUBAH
tolak ke belakang pintu
yang terbuka itu,
melangkahlah dengan tabah
dan bersegeralah
mengarah akaliah ...
PERJUDIAN
anda perjudikan nafas, waktu dan akal
untuk perjudian yang membakar
membakar denyut nadi, membakar naluri
membakar jalur-jalur hadapan
semakin dekat merapat
kepada perkiraan Illahi.
KUKIRA
kukira kau kujejaki
rupanya aku kaujejaki, tak henti-henti
pada seluruh kelu dan sepi.
MARI KE DALAM
maksudmu membenarkan
kekerdilanku menyemai cintamu?
(mari ke dalam)
cemasku memunggah serpihrasa
semenjak tersungkur di hadapan mimbar
mendengar qalammu
(mari ke dalam)
keluhku dalam seribu duga dungu
kerap menggoda, yang menggetarkan
cariku tanpa nyatanya
(mari ke dalam)
ke dalamu? aku berada di dalamku
masih kelu membuka pintu. debu-debu
yang tiba menerkam ketika alpa
yang tiba menyelubung racunnya
walaupun kujaga
(duhai, mari ke dalam!)
maha suci! kau maha dekat
menghembus roh ingat di hujung alpaku
membongar akar alpaku
membungkus punca alpaku
MENGANJUR KETENANGAN
nifak diusir gah iman
bakhil disalini kepemurahan
syaja'ah menolak jubun
risau ditawan tawakal
hasad dipangku tasyakur
sombong merapatkan sopan
DARI PINTU HIJRAH
- berlindung aku dengan-Nya dari ganggu
syaitan yang direjam
tidak cukup hawa dan adam
qabil diikutinya
pembunuh ulung dunia
ini putera adam
ini putera hawa
apatah insan biasa?
yang lalai di hati yang hitam
tiada cahaya
kembalilah ke asal saudara
imankan syahadah
tidak saja di lidah
alirkan zuhud dan syumul
sepanjang hayat
rentangkan benteng mengoyak maksiat
memagar terlaknat!
MAW'IZAHATUL-HASANAH
duka selepas suka
fana' mengebalkan wira khalifah
bumi Allah
bersarang kufur dan syirik
berendam dalam aliran darah
dan denyut nadi
sedetik sakit! sedetik sakit!
dukalah itu yang lepas dari alpa
hilanglah duka itu
pada maw'izhah tulen dan agung
qalamullah al-Quran
ada cahaya petunjuk jalan yang sukar
dan benar
- sukar dari segala yang sukar
atau benar dari semua yang benar
KEMARAU
sabda Nabi s.a.w. - sesungguhnya Kami akan
beri percubaan kepada kamu, sehingga Kami buktikan
orang-orang yang sabar dan (hingga) Kami nyatakan
hal-hal kamu...
marilah sembahyang
dan berdoa
tegakkan pohon iman
MURAQABAH
tumpah di dalam kemelut pangabdian
syauq yang tajam pada-Mu Tuhan
tanpa memaling sekeliling
sebelum daki diri tumpah di tengah-tengah
kalut azam dan taubat
kusimpul perjuangan
hijrah dan jihad
dari-Mu melimpahkan mutiara petunjuk
fasih menyebut kerap tahmid
dan tasbih
kyusu' menyusuri qalb