Hikmah al-Isyraqi
Home | Falsafah Sains Menurut Tradisi al-Hikmah | Fajar Keilmuan | Indeks hlm. 305 | Indeks hlm. 306 | Indeks hlm. 307 | Indeks hlm. 308 | Indeks hlm. 309 | Indeks hlm. 310 | Indeks hlm. 311
Falsafah Sains Menurut Tradisi al-Hikmah

 

*

 

Falsafah Sains Mengikut Tradisi al-Hikmah[1]:

Menurut Penghayatan Warisan Kita

oleh: Mohd Zaidi Abdullah (mzaid_saf@yahoo.com)

(Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Kebangsaan Sejarah Dan Falsafah Sains, anjuran DBP, UKM dan ASASI pada 5-7, Oktober. 2004.)

 

Pengenalan Penting

Aliran falsafah yang diterima dalam pangkuan ahli sunnah adalah falsafah Isyraqi kerana ia menjadikan wahyu sebagai rujukan penting.[2] Kenyataan ini telah mendorong kami meneliti pelbagai karya yang suka dirujuk oleh ulama Makkah. Hasil penelitian ini mendapati pengajian di sana telah turut sama memelihara falsafah Isyraqi atau paling kurang pun iaitu mereka mengajarkan bentuk-bentuk pemikiran yang memang amat cenderung pada aliran Isyraqi. Selama ini kita hanya didedahkan dengan versi Isyraqi yang dibawa oleh al-Suhrawardi al-Maqtul. Sebenarnya terdapat versi Isyraqi yang lebih awal pembentukannya tapi tidak ditonjolkan dengan wajar oleh cendekiawan-cendekiawan. Tokoh utama dalam aliran ini ialah Hujjatul Islam al-Ghazali dan ini sendiri diakui oleh Tuan Guru Hj. Abdullah manakala Prof. Osman Bakar menganggap al-Ghazali sebagai perintis Isyraqi. Keisyraqiyyan al-Ghazali turut diakui oleh al-Syeikh Abdul Aziz 'Izzuddin al-Sairawan.[3] Beberapa abad kemudian, kitab Tahafut al-Falasifah karya al-Ghazali telah diperbaiki oleh Khawajah Zadah dalam bukunya dengan menggunakan judul yang sama. Pada mukadimahnya, disebut tumpuan al-hikmah (yang akan disebut). Dalam kertas ini, pendekatan dan isi kandungannya yang akan dipaparkan kepada anda yang merangkumi epistemologi, pengistilahan al-hikmah serta skop dan tanggapannya terhadap perkembangan sains (terutama dari mauduknya tentang kewujudan (existence atau maujud) dengan penampilan kajian maqulat sebagai sistem ilmu dalam melihat alam semesta.

 

Epistemologi

'Kesedaran' yang diperoleh oleh manusia yang berakal menjadikannya dipertanggungjawabkan tugas keagamaan dan dengannya juga, akan mencorakkan kehidupan. 'Kesedaran' yang murni berpunca dari jiwa-hati merupakan aspek penting yang dinilai oleh Islam. Ia bergantung pada penukilan atau pemetikan maklumat daripada pihak yang jujur, berakal dan pancaindera. Misalnya, rasa sakit apabila terkena pisau merupakan pengetahuan yang tidak dapat disangkal yang dikenali sebagai pengetahuan terhadir ('ilm huduri), membaca buku sebelum mencapai tahap kendiri serta baca al-Quran yang mengundang keberkatan bagi pengetahuan terhadir ('ilm huduri). Ini satu kaitan yang dimiliki oleh manusia.[4]

 

'Kesedaran dalaman' manusia yang tercetus bergantung pada tahap pemurniannya. Semakin suci maka semakin cerah dan terang. Asas-asas inilah akan membentuk esei ini dalam menerangkan hikmah al-isyraqi. Ini juga bermakna tulisan para ulama sufi yang mendapat pengetahuannya secara kasyaf turut diambil kira kerana kejayaan mereka mencapai tahap pemurniannya yang begitu tinggi. Para sufi ini sebenarnya dibimbing oleh wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam pengertian yang halus dan mendalam. Pengertian itu terwujud dengan 'sedar'.

 

Falsafah Menuju Pengistilahan al-Hikmah

Falsafah memiliki makna mengikut kecenderungan sesebuah tamadun yang mengembangkannya.[5] Kecenderungan tamadun Islam ditentukan oleh autoriti al-Quran dan al-Hadith dalam segenap bidang ilmu pengetahuan yang dikembangkan oleh tokoh-tokohnya. Ini tidak dimiliki oleh mana-mana tamadun lain yang mengembangkan ilmu falsafah. Hujjatul Islam al-Ghazali sendiri (w.505H/1111M) menyebutkan bahawa al-Quran itu adalah hikmah agung. Perlu diingatkan, al-hikmah hanya akan muncul apabila wahyu ini dikenali serta diselami menerusi mafhum-mafhumnya (bukan semata-mata lafaznya) kerana pesanan Nabi Muhammad s.a.w. telah mengingatkan, "Aku dikurniakan kata-kata yang ringkas dengan potensi makna yang mendalam". Tamadun Islam secara mantapnya lebih mengenali falsafah dengan nama al-hikmah. Al-Hikmah ini lebih bersifat teosofi, bukan philosophy atau wisdom sahaja tetapi hasil penggabungan kedua-duanya. Yakni, penggabungan rasional dan intuisi. Rasional dan intuisi ini terpadu dengan baik apabila 'pencerahan hati' (isyrāq al-qalb) telah menerima cahaya (nur) daripada Ilahi akan menjadikan seseorang mencapai tahap tertinggi (sehingga benar-benar memahami (atau reti atau makritullah) kewujudan Ilahi.[6]

 

Al-Hikmah sebenarnya suatu bidang ilmu yang mengkaji tentang keberadaan atau wujud (maujudāt). Wujud manusia itu disebut wujud muqayyad yakni wujud yang bergantung pada kehendak dan kekuasaan Pencipta. Pencipta pula wujud dengan sendirinya, tanpa bergantung pada mana-mana pihak. al-Hikmah yang dimaksudkan ialah menurut mazhab al-isyraqi yang tercetus oleh para sufi yang teguh dan bersepadu ilmunya. Isyraqi menerima penghierarkian menegak serta dihubungkan menerusi pendekatan secara teori dan pendekatan amali.[7]

 

Pengamatan al-Hikmah Terhadap Sains

Sains merupakan penarikan makna atau pengertian yang terjadi (peniskalaan) daripada perilaku alam sama ada yang sudah berada dalam alam tanpa campur tangan kita seperti pergerakan cahaya matahari atau yang dibina semula oleh manusia seperti teknologi. Pengisi hierarki yang amat erat dengan skop dan fokus sains dan teknologi adalah hikmah asfal (kebijaksanaan rendah) yang menumpukan kajian bahan dan hikmah wusta (kebijaksanaan pertengahan) yang menumpukan soal pengiraan dan geometri.

 

Dalam kedua-dua bentuk al-hikmah inilah beroperasinya falsafah sains Islam menurut kacamata Isyraqi. Kaitannya dengan penyelidikan sains dan teknologi terkini sentiasa sesuai (setelah penyaringan dilakukan) sekalipun ia mengambil kira intuisi yang disepadu dengan sumber pancaindera, maklumat dan akal. Sebahagian besar penilaian menerusi kaca mata isyraqi terhadap sains dan teknologi moden telah banyak disentuh dalam buku penulis berjudul Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika.

 

Teori-teori sains (yang benar-benar sah dan diakui) yang dipelajari dapat memasuki hikmah wusta. Dalam pengamatan kami, ilmu ekonomi yang melibatkan gelagat sosial dengan unsur pematematikan memasuki juga hikmah wusta. Sebahagian pakar al-hikmah silam, menganggap hikmah wusta sebagai wujud zihni (wujud yang berada dalam akal budi). Perlu diingat, al-hikmah dalam konteks dan wajah isyraqi bertumpu pada (tahap) pengabstrakkan yakni semakin tidak berbahan itulah semakin tinggi dan murni tahapan al-hikmah. Ini bermakna teori sains yang ada perlu diletakkan pada tempat yang layak dan sesuai dengan statusnya. Apabila dilibatkannya dengan aspek metafizik tanpa sempadan akan mengundangkan permasalahan seperti ada cendekiawan barat yang cuba mengaitkan relativisme dengan keagamaan dan ketuhanan. Ini tidak layak kerana pengiraan dan geometri hanya menduduki tempat pertengahan dalam hierarki al-Hikmah.

 

Bagi kami, teori-teori sains itu ibarat air yang berada dalam batang pokok, bukan diri pokok itu sendiri. Ini sesuai dengan kenyataan Max Planck (penerima hadiah Nobel Fizik 1918) yang turut membezakan dunia model dan idea, dunia fakta sebenar dan dunia yang ditanggap oleh pancaindera.[8] Dengan tertakdirnya pengamatan pakar al-hikmah dan pakar sains fizik moden tentang kebezaan ini, maka dapat dimajukan beberapa penafsiran lagi. Insya Allah, ini sedang diusahakan penulis[9] yang sebahagiannya telah disebutkan dalam buku kami tersebut.

 

Pakar sains hendaklah meneliti kedudukan sesuatu penilaian sains bagi melihat peta sains tersebut dalam keseluruhan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh manusia. Pengetahuan ini dapat memperlihatkan pada kita mana-mana aspek yang terkeliru dan mana-mana aspek yang perlu diperbaiki bagi menyusun teori-teori baru. Inilah cabaran kita.

 

Aspek sains kedua yang memang ada kaitan langsung dengan pemunculan sains dan teknologi ialah sains bahan yang boleh dimasukkan dalam hikmah asfal. Ia melibatkan wujud di alam tampak. Dalam Hikmah Asfal inilah memungkinkan kita mencipta untuk 'mewujudkan'[10] teknologi seperti kereta dan komputer. Kereta dan komputer misalnya, dibina berasaskan ilmu matematik yang menduduki hikmah pertengahan. Inilah kaitan yang penting dalam al-hikmah. Bahan alamiah ini (yang memiliki gelagatnya[11]), sebahagiannya, dapat diabstrakkan menjadi teori-teori sains. Inilah juga sumbangan bahan-bahan alamiah kepada manusia sebelum terhasilnya teori.

 

Kaitan al-Hikmah Dengan Sistem Maqulat

Seperti yang disebut al-hikmah adalah kajian tentang wujud yang serba berkemungkinan, ada kalanya ia ada dan adakalanya ia tiada. Sistem Maqulat ialah satu nama yang kami berikan pada maqulat 'asyara sebagai nafas baru. Penyusun awal maqulat ialah Aristotle tetapi apabila ulama Islam mengkaji ilmu-ilmu yang terdapat dalam tamadun lain, pengaruh wahyu telah menyusun semula ilmu-ilmu tersebut supaya sesuai dengan kerangka ajaran Islam. Dari awal hingga ke pangkuan kami, ilmu maqulat dikaji dengan sentuhan ilmu-ilmu seperti usul fiqh, kalam, dan tasawwuf.

 

Maqulat (berbicara tentang kelas tertinggi bagi wujud yang serba mungkin),[12] secara umumnya, memiliki dua bentuk dan tahap wujud. Pertama, wujud zihni dan keduanya, wujud khariji (alam luar yang dilihat). Ia terbahagi dua, pertamanya jauhar dan keduanya, 'arad. Jauhar dan arad ini memiliki sepuluh jenis yang tinggi iaitu jauhar (saripati benda asas maqulat), kamm (kuantiti), kaif (kualiti), aina (tempat), wad'i (letakan), idhafah (relatif), matā (waktu), milk (pemilikan), fi'l (perbuatan), dan infi'āl (terbuat).[13]

 

Dalam esei ini, kami akan menumpukan jauhar, kamm dan idhafah sebagai aspek yang amat melibatkan pembentukan sains dan teknologi masa kini.

 

Al-Jauhar ditakrifkan, benda yang ada  tanpa merujuk pada sekelilingnya menurut ahli falsafah, manakala ulama kalam pula berpendapat, benda yang berdiri sendiri dan membawa diri sendiri serta berada di sesuatu tempat (ruang) dan mengisi ruang. Misalnya, kereta. Kereta itulah jauharnya.

 

Al-Kamm bermaksud kuantiti. Kuantiti yang melibatkan penzujukan dan pengkadaran. Misalnya, sehari semalam dibahagikan pada 24 jam.[14] Pembahagian ini dilakukan secara akli[15] untuk menerangkan sehari semalam. Inilah juga boleh menafsirkan jentera yang bernama kereta atau mana-mana teknologi lain. Sains dan teknologi masih tidak dapat mengelak kamm menurut pengkajian maqulat seperti berlaku pada pengukuran bahan yang dikenakan pada bahan seperti yang didapati dalam Jadual Berkala Unsur dan bidang optik.[16]

 

Al-Idāfah diterjemahkan sebagai hubungan atau adu banding dan, menurut istilahnya, “hubungan yang berulang-alik yang tidak dapat difahami melainkan dengan diukur kepada hubungan yang satu lagi yang dapat difahami dengan diukur kepada hubungan pertama. Misalnya, seperti (kebapaan) yang menumpang di tubuh seseorang bapa dan (keanakan) yang menumpang di tubuh si anak. Atau, dengan kata lain, keanakan bergantung kepada bapa dan bapa bergantung kepada anak yakni keanakan tidak boleh bergantung pada dirinya sendiri tanpa adanya kebapaan pada diri yang seorang lain dan begitulah sebaliknya.

 

Peringkat ini sudah tentu akan melalui taakul di mana apabila kita berbicara tentang bapa maka secara tidak langsung akan terbayang jisim yang lain iaitu si anak dan begitulah sebaliknya. Tetapi, jika ditinjau dari segi jisim itu sendiri maka tiadalah dikatakan ‘predikat hubungan’. Sistem pemikiran ini sebenarnya berpotensi menilai sistem pemikiran kerelatifan Einstein dan pasca Einstein. Menurut Al-‘Allāmah Ahmad al-Sajā‘i, idنfah mengambil kira penyelidikan semua rangka rujukan hubungan yang ada kena-mengena dengan sesuatu objek seperti benda, tempat, masa.[17]

 

Penyimpulan

Kajian (induk) al-hikmah yang dikaitkan dengan sistem maqulat menawarkan pada kita bahawa kedua-duanya adalah wujud yang terkait (muqayyad) kerana berada pada tahap wujud yang serba mungkin, yakni wujud yang boleh ditindakkan oleh sesuatu agen dan agen ini sebetulnya, menurut ajaran Islam, ialah Allah s.w.t. Kita hanya mampu merancang yang memiliki aspek pemilihan dan tindakan. Inilah kaitan antara kalam, falsafah dan buah tasawwuf yang wajar dikatakan sebagai al-hikmah. Tasawwuf yang diterima pakai pun masih menurut syariah seperti solat, zikir dan ibadat-ibadat yang ditentukan pensyariatannya oleh Allah s.w.t. Inilah keserasian Islam dengan realiti kehidupan yang diperkukuhkan pada manusia dengan pengurniaan akal budi. Kesemua ini mesti melalui proses epistemologi yang mantap dan murni.

 

 

 

 

 

 

*



[1] Kertas kerja ini diekstrak daripada syarahan umum pada 20hb.Mei.2003, anjuran Jabatan Sains Nuklear UKM dan ASASI. Esei ini hanya akan memaparkan aspek-aspek isyraqi yang ada kena-mengena dengan falsafah sains sahaja.

[2] Maklumat ini diterima daripada Tuan Guru Hj. Abdullah bin Tuan Guru Hj. Abd. Rahman (yang sempat belajar di Makkah antara tahun 1950-an dan 60-an) yang diterima daripada Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani al-Makki (guru di Masjidil Haram) yang lebih dimasyhurkan dengan sebutan Pak Da Eil di kalangan masyarakat Melayu di Makkah.

[3] Ini dinyatakan dalam pengenalan ketika menyunting Misykat al-Anwar karya al-Ghazali, cetakan ketika, 1415/1995, terbitan Mu`assasah al-Sairawan di Damsyiq, Syria. Lihat juga, Seyyed Hossein Nasr, The Islamic Intellectual Tradition In Persia, hlm. 165 & 232 .

[4] Lihat karya penulis, Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi, hlm.

[5] Lihat Shaharir Mohamad Zain, Pengenalan Sejarah Dan Falsafah Sains.

[6] Antara tokoh sufi yang menampilkan kajian wujud secara rasional, lihat Nicholas Heer, The Precious Pearl Al-Jami's al-Durrah al-Fakhirah; Muhammad Bukhari Lubis, The Ocean of Unity, hlm. 94-100.  

[7] Lihat Nafas Baru . . . , hlm. 26-33.

[8] Lihat buku kami, Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi, hlm. xxxi dan 206.

[9] Buat masa ini, kami sering berbincang dengan Dr. Mohamad Alinor dan Dr. Shahidan.

[10] Ini wujud muqayyad iaitu wujud yang mesti berkait dengan Pencipta.

[11]Gelagat yang dimaksudkan termasuk yang sebesar-besar seperti pergerakan astronomi hingga di kalangan partikel-partikel seperti yang berlaku dalam atom.

[12]Lihat Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi, hlm. 147-148.

[13]Ilmu ini disusun oleh ahli falsafah (bukan ulama kalam) jadi menurut pendapat Tuan Guru Hj. Abdullah, penafsiran yang dilakukan terhadapnya oleh kalangan ahli falsafah lebih sesuai dengan lenggok pemikiran maqulat. Ulama kalam pun terlibat sama dalam menafsirkannya tetapi sistem kalam tidak sama dengan sistem falsafah.

[14]Pembahagian pada 24 jam dalam sehari semalam diijma'kan oleh manusi yang muslim dan non-muslim.

[15]Sebenarnya kelakuan akal yang memposisikan tumpuannya yang masih berada dalam makna amr i'tibari berperanan mengukur dalam bentuk bilangan, panjang, pendek yang membentuk pengiraan dan pengeometrian disebutkan juga jisim ta'limi. Jisim ta'limi inilah yang dapat dimaksudkan air dalam batang pokok, bukan diri pokok itu sendiri. Lihat Shahidan Radiman, al-Ghazali dan Mekanik Kuantum dlm. Siri Wacana Sejarah Dan Falsafah Sains, jld. 7, hlm. 88 ; lihat juga kajian kami bersama Dr. Shahidan Radiman yang terlampir dlm. Nafas Baru . . hlm. 274-275.

[16] Lihat Nafas Baru . . . , 157.

[17] Lihat Nafas Baru . . . , 162-167.



Enter supporting content here