Anak Yang Soleh

Pada masa dahulu ada seorang pemuda yang bernama Ra'i. Kerjanya setiap hari adalah mengembala kambing. Setiap hari apabila dia pulang ke rumah ia akan memerah susu kambing untuk dihidangkan kepada orang tuanya dan sesudah orang tuanya minum, barulah susu kambing yang selebihnya diberikan kepada anak-anak dan isterinya.

Pada suatu hari Ra'i membawa kambingnya jauh daripada tempat biasa.Dia terlambat pulang kerana asyik dengan kambing-kambingnya dan apabila disedarinya hari sudah mulai gelap. Dia dengan segera membawa pulang kambing-kambingnya. Apabila tiba di rumahnya hari sudah larut malam kerana perjalanan yang jauh. Tanpa membuang masa, dia segera mencari kedua orang tua yang di kasihinya dan alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kedua-dua orang tuanya sudah nyenyak tidur. Ra'i segera ke kandang kambing dan terus memerah susu. Di dalam hati dia berkata "Mungkin setelah selesai aku memerah susu, ibu dan ayahku akan bangun dari tidurnya". Apabila susu sudah sedia dihidangkan, ia segera pergi mendapat kedua orang tuanya, tetapi ternyata kedua orang tuanya masih lagi tidur.

Setelah ditunggu-tunggunya ternyata orang tuanya tidak juga bangun. Ra'i mula bimbang dan berfikir di dalam hatinya "Adakah aku harus mengejutkan mereka?" fikirnya lagi "Oh tidak, tidak sopan mengejutkan orang yang sedang tidur". Ia sungguh menyesal kerana terlalu leka dengan kambingnya menyebabkan orang tuanya tidur tanpa sempat minum susu seperti sebelumnya. Tiba-tiba, anak- anaknya terjaga dari tidur dan mereka menangis meminta susu kerana lapar disebabkan mereka tidur sebelum sempat meminum susu. Ra'i tetap mempertahankan bahawa susu tersebut tidak boleh diberikan kepada anak-anaknya sebelum orang tuanya minum terlebih dahulu. Setelah puas memujuk, anak-anaknya tetap tidak mahu berhenti daripada menangis. Diberinya air, tetapi anak-anaknya terus menangis dan tetap mahu minum susu yang telah disediakan untuk orang tuanya..

Walaupun keadaan bising disebabkan tangisan anak-anaknya, kedua-dua orang tuanya tidak juga bangun dari tidur mereka. Ra'i berfikir mungkin Allah hendak menguji kesabarannya dan sejauh mana ketaatannya kepada orang tuanya. Apabila fajar menyinsing barulah ibu bapanya sedar dari tidur mereka dan Ra'i segera menyerahkan susu yang diperahnya pada malam tadi.

Begitulah sifat seorang anak yang soleh dan taat kepada orang tuanya walaupun anaknya sendiri menangis kelaparan ia tetap mempertahankan dan ibu bapa mesti di utamakan.