Orang Paling Berani
Al Bazzar meriwayatkan dalam kitab Masnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya,
"Pada suatu hari Ali bin Abi Talib pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin
dan beliau berkata, "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?"
Jawab mereka, "Orang yang paling berani adalah engkau sendiri, hai Amirul
Mukminin."
Kata Ali, "Orang yang paling berani bukan aku tapi adalah Abu Bakar. Ketika kami
membuatkan Nabi pondok di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang berani
menemankan Rasulullah s.a.w dalam pondok itu dan menjaganya dari serangan kaum
Musyrik ? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar
sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi untuk membunuh siapa
sahaja yang mendekati pondok Nabi s.a.w. Itulah orang yang paling berani."
"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika Nabi sedang berjalan kaki di
kota Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau
dan mereka berkata, "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan ?"
Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi selain
Abu Bakar. Beliau maju ke depan dan memukul mereka sambil berkata, "Apakah kamu
hendak membunuh orang yang bertuhankan Allah ?"
Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya beliau mengusap air matanya.
Kemudian Ali berkata, "Adakah orang yang beriman dari kaum Firaun yang lebih
baik daripada Abu Bakar ?" Semua jamaah diam sahaja tidak ada yang menjawab.
Jawab Ali selanjutnya, "Sesaat dengan Abu Bakar lebih baik daripada orang yang
beriman dari kaum Firaun walaupun mereka sepuluh dunia, kerana orang beriman
dari kaum Firaun hanya menyembunyikan imannya sedang Abu Bakar menyiarkan
imannya."