Berkat Membaca Bismillah
Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang
fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap
kali hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya
tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap
Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya
memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari
nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang
banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil
duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah
melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap
suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi
di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan
padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh
suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia
membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T.
menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan
duit itu kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala
perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula
mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak
memulakan sesuatu kerja.