Ketabahan Juru Dakwah
Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan
orang-orang badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit-ngungkit
dendam lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun
Rasulullah memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok pedagang Arab
yang menyatakan keinginan sukunya untuk mendengar dan memeluk Islam.
Mereka meminta para jurudakwah dikirimkan ke kampung halaman mereka. Rasulullah
s.a.w melantik. Enam orang sahabat yang alim untuk melaksanakan tugas tersebut.
Mereka berangkat bersama para pedagang Arab itu.
Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu
tiba-tiba mengurung keenam sahabat Rasulullah s.a.w, sambil berseru meminta
bantuan kaum Huzail. Keenam pendakwah itu dengan pantas menghunus senjata
masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah sedar bahawa mereka tengah
dijebak.
Para pedagang yang licik tadi berteriak, "Sabar saudara-saudara. Kami tidak
bermaksud membunuh atau menganiayai kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian
untuk kami jual di Makkah sebagai budak belian. Keenam sahabat Rasulullah s.a.w
itu tahu nasib mereka, bahkan lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan
tidak berimbang itu. Kerana itu mereka segera bertakbir serta menyerang dengan
tangkas.
Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan
orang-orang yang beringas yang jumlanya jauh lebih besar. Pedang mereka ternyata
cukup tajam. Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga sahabat
ditikam musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu beramai-ramai
hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan Khubaib bin Adi.
Apalah daya dua orang pejuang, betapa pun lincahnya perlawanan mereka, menghadapi
begitu banyak musuh yang gagah. Selang beberapa saat sesudah jatuhnya empat
sahabat tadi, kedua orang itu dapat dilumpuhkan dan belenggu. Lalu mereka
diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah.
Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan Amir bin Fuhairah.
Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya. Bilal pernah disalib di
atas pasir dan dijemur di tengah terik matahari dengan badan ditindihi batu.
Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan dimerdekakan. Orang
Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat dekat Rasulullah s.a.w. dan
diangkat sebagai Muazin, (tukang azan).
Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadapan dengan bekas budaknya
itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan
satu. Adapun Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan yang
sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk membalas
dendam kebencian mereka kepada umat Islam.
Maka oleh orang-orang Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat
untuk miqat umrah. Di sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, buatkan
sesuatu yang ia tidak pernah melakukannya, iaitu terbunuhnya Umayyah bin Khalaf,
ayahanda Shafwan. Sebelum tukang pancung menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin
Abu Sufyan bertanya garang, "Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di
tempatmu ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di
rumah ?"
"Janganlah begitu," bantah Zaid dengan keras. "Dalam keadaan begini pun aku
tidak rela Rasulullah tertusuk duri kecil di rumahnya."
Abu Sufyan menjadi marah. "Bereskan," teriaknya kepada tukang pancung. Dalam sekelip
mata, sebilah parang berkilat di tengah terik matahari dan darah segar menyembur
keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah kepalanya dipotong, menambah jumlah
penghuni syurga dengan seorang syuhada' lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang
Quraisy lainnya timbul kehairanan akan kesetiaan para sahabat kepada Muhammad.
Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan ucapan kagum, "Aku tidak pernah menemukan
seorang yang begitu dicintai para sahabat seperti Muhammad."
Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret
Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada
pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan
terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin untuk
solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan. Dengan khusyuk dan
tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ada ancaman kematian, Khubaib
melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua tangan,
ia berkata, "Demi Allah. Andaikata bukan kerana takut disangka aku gentar
menghadapi maut, maka solatku akan kulakukan lebih panjang."
Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin
Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain.
Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran
kebenaran takkan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema
sehingga makin banyak jumlah pendakwah yang dengan kekuatan sendiri, atas biaya
peribadi, menyelusup keluar-masuk ke kawasan pedalaman merentas hutan belantara buat menyampaikan firman Tuhan menuju keselamatan.