Kisah Khaitsamah Dengan Anaknya
Ketika Rasulullah S.A.W memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk
terjun ke gelanggang perang Badar, terjadi dialog menarik antara Saad bin
Khaitsamah dengan ayahnya yakni Khaitsamah. Dalam masa-masa itu panggilan
seperti itu tidak terlalu menghairankan. Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing
bila dipanggil untuk membela agama Allah dan jihad fisabilillah. Sebab itu
Khaitsamah berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, aku akan keluar untuk
berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan kanak-kanak."
"Wahai ayahku, demi Allah janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku
untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau lebih
berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah
engkau di sini, wahai ayahku."
Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, "Kau membangkang dan tidak mentaati
perintahku."
Saad menjawab, "Allah mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah memanggilku untuk
berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga
bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah dan
Rasulullah."
Maka Khaitsamah berkata, "Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang
berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat."
Saad menjawab, " Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku
akan mendahulukanmu."
Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga
terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahawa Saadlah yang harus turun ke
medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.
Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah
tidak mengizinkannya. Hanya sahaja Rasulullah akhirnya mengizinkannya setelah
Khaitsamah berkata sambil menangis, " Wahai Rasulullah, aku sekali terjun dalam
perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku.
Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku
bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, "Engkau harus menemani
kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah. Wahai Rasulullah, demi Allah
aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin
berjumpa dengan Tuhanku."
Setelah diizinkan Rasulullah, Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan
berjumpa dengan anaknya di syurga.