Bau Busuk Mengganggu Penduduk Selama

Tiga atau empat tahun lamanya seluruh penduduk Jalan Menteri, Taman Selama, Taman Sri Selama hingga ke Kg Medan, yang terletak dalam daerah kecil Selama, Perak memendam rasa akibat bau yang sungguh busuk keluar dari sebuah kilang memproses susu getah. Kilang tersebut terletak di atas tanah persendirian di belakang Balai Bomba, Selama kepunyaan seorang hartawan Cina di daerah tersebut iaitu Heap Heng.

Sebelum ini Jembalang difahamkan bahawa telah ada komplen dan rungutan yang bermula sejak akhir tahun 80'an lagi. Namun pada masa tersebut tahap bau yang ditiup angin keluar dari kilang tersebut tidaklah begitu kuat. Walau pun penduduk telah mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah Selama) dan juga kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Selama ketika itu Tuan Haji Anwar bin Andul Rahman (sekarang sebagai Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Taiping) di akhir 80'an, tetapi aduan yang diterima sebagai acuh tak acuh. Selepas daripada itu Jembalang difahamkan bahawa ada penduduk pernah menyiarkan dalam akhbar tempatan berhubung dengan kes kilang memproses susu getah ini, dan kononnya ada siasatan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar, tetapi tiada penghujungnya penyiasatan itu.

Kini setelah sepuluh tahun berlalu, bau busuk itu sudah semacam serasi dengan penduduk tempatan hingga mereka terpaksa menelan sahaja apa yang terhidang di persekitaran hidup mereka. Bau busuk ini amat menusuk deria kita yang asing dengan keadaan ini. Rumah penghuni di sekitar 1 kilometer sekeliling kilang tersebut, semacam bau 'tandas' yang hanyir dan tidak dibersihkan. Tetapi siapakah yang mahu bertanggungjawab mendengar rintihan hati penduduk-penduduk di kawasan ini?

Jembalang - penyiasatan hendaklah telus, bukan sampai separuh jalan kemudian berhenti di situ sahaja.