Terpaksa Menunggu Walau ….

Rintihan seorang sub-kontraktor muda amat memilukan hati Jembalang. Beliau mula bercerita (di dalam e-mail) tentang dua tiga projek yang dimeterai antara syarikat yang diwakilinya dengan Jabatan Perhutanan. Menurutnya, kontrak kerja hutan itu telah dimulakan pada tahun lalu (1998) dan siap pada Oktober tahun itu juga.

Namun hingga kini masih belum menerima apa-apa bayaran. Sedangkan Aidil Fitri hanya beberapa hari sahaja lagi. Beliau telah berusaha menurut apa cara jua sekalipun termasuklah menyogok wang kepada pihak tertentu untuk memudahkan segala laluannya, supaya projek yang dimeterai itu boleh dibayar oleh bendahari negeri. Malangnya walau telah mengikutinya dari tahap ke tahap yang lain hingga lima atau enam peringkat dan juga telah menjelaskan 'tol'nya namun masih belum boleh menerima wang bayaran projek.

Langkah pertama setelah beliau menyiapkan kerjanya, beliau terpaksa menyogok forester dan renjer range yang berkenaan di mana projek itu dibuat, bagi menyemak projek semasa dalam kemajuan kerja dan membuat laporan terperinci kerja, apabila siap. Di peringkat ini sahaja, beliau telah menghabiskan beribu ringgit. Angka itu mungkin mencapai tiga atau empat ribu ringgit dan mungkin lebih jika dicampur makan minum. Seorang forester akan meminta sekurang-kurangnya RM500.00 bagi menyemak satu projek. Ada yang meminta hingga RM4,000.00. Bagaimana kalau dua orang forester yang menjaga?

Beliau kemudian akan mengikuti langkah kedua di mana renjer hutan akan membuat perakuan siap kerja bagi projeknya. Selalunya menurut beliau di peringkat ini jumlah wang yang terpaksa disogok supaya laporan boleh ditandatangani dan diserahkan kepada DFO (Pegawai Hutan Daerah) sekurang-kurangnya RM2,000.00 dan ada yang meminta lebih. Bagaimana kalau beliau gagal menyediakan wang untuk kedua-dua peringkat ini? Jawapannya, kalau siap kerja awal sekalipun, lima atau enam bulan kemudiannya forester tidak akan menyelesaikan tanggungjawab mereka menyemak projek ini dan renjer juga tidak akan menyediakan laporannya. Maka yang akan menanggung akibatnya ialah kontraktor sendiri.

Kemudian sub-kontraktor muda ini lagi, beliau akan bersemuka dengan DFO bagi memenuhi peringkat ketiga tugasnya. Ada DFO yang bertanggungjawab dan amanah dan ada yang disebaliknya. Bagi yang jujur dalam tugasannya mereka tidak akan sewenang-wenangnya menerima sogokan. Sebaliknya pernah ada kisah yang berlaku di mana pembalak telah dihalau keluar dari pejabatnya. Pembalak itu kemudian lari lintang pukang dan tak pernah datang lagi.

Setelah melepasi tahap tiga atau lima ini, (jika projek di range kecil di bawah sesuatu daerah, tahap satu dan dua adalah sebanyak dua kali, sekali di peringkat range kecil dan satu lagi peringkat daerah) laporan siap kerja akan dihantar ke Jabatan Perhutanan Negeri untuk dilangsaikan pembayarannya. Di sini seseorang kontraktor akan melepasi beberapa tahap lagi.

Tahap keempat (atau keenam jika projek di range kecil), beliau akan meminta 'jasa baik' renjer hutan kanan di bahagian berkenaan yang mengendalikan projek (difahamkan ada dua unit, di bawah satu pengelolaan, yang dinamakan unit pembangunan di mana ada seorang timbalan yang mengawasi dua orang pegawai) membuat perakuan kepada pegawainya berhubung dengan laporan yang disediakan oleh renjer bawahannya di range/daerah.

Jika pegawai tidak berpuashati atas sesuatu projek itu dan mahukan supaya dibuat lawatan diperingkat ini, maka renjer kanan tadi akan menetapkan hari lawatannya. Ini antara perkara yang amat ditakuti oleh seseorang kontraktor. Jika ada lawatan, sudah tentu ada jumlah peruntukan bagi makan dan minum mereka yang biasanya dalam dua kenderaan pacuan empat roda (kadangkala hingga 12 - 15 orang termasuk dari range berkenaan) terpaksa disediakan. Jumlah yang perlu bagi sesuatu lawatan boleh mencapai hingga RM3,000.00 hingga RM5,000.00. Jika tidak disediakan jumlah ini, atau seseorang 'melarikan diri' dari mengikuti lawatan kerja itu, kebiasaannya sesuatu projek itu akan direject dengan berbagai kemungkinan atau mungkin terpaksa diulang.

Jika lulus pada tahap ini, beliau masih perlu menyogok wang kepada seseorang kerani untuk mempercepat proses pembayaran apabila diluluskan oleh pihak Jabatan untuk dibayar. Jika ada kerani yang jujur mengikutinya lagi, tak perlu beliau berbelanja di tahap ini dan segalanya akan dibereskan selepas itu. Bagaimana pun projeknya kali ini macam biasa beliau tidak menjelaskan tol diperingkat ini. Akibatnya beliau terpaksa menunggu hingga beberapa minggu supaya kertas-kertas pembayaran disampaikan ke pihak bendahari untuk mengeluarkan cek.

Kontraktor muda ini memberitahu dalam e-mailnya yang panjang lebar (terpaksa disunting) bahawa di antara kelulusan pembayaran dan menerima cek, kadangkala mencapai dua atau tiga bulan lamanya proses tersebut. Ini biasa katanya. Paling cepat pun 1 bulan. Projeknya kali ini terpaksa menunggu selama empat bulan tapi belum menerima sebarang cek pembayaran walau pun setelah ditanya berkali-kali, pembayaran sudah dibuat. Di manakah kelewatannya lagi, setelah semua tol dijelaskan. Bagaimanakah jika seseorang kontraktor membuat pinjaman dari rakan atau bank, yang terpaksa menanggung risiko selanjutnya, akhiri kontraktor muda dalam e-mailnya.

Jembalang - Setahu Jembalang Jabatan Perhutanan meluluskan balak. Apakah ada projek seperti yang dimaksudkan itu dan tidak juga diberitahu namanya. Jembalang di dalam kes ini hanya sekadar menyatakan simpati. Agaknya di manakah BCA yang dilaung-laungkan?