Bakal Pemilik RPT Cempakasari II Ditindas

Kes penindasan terhadap bakal pemilik rumah dalam Rancangan Perkampongan Tersusun Cempaka Sari II adalah satu slot dari beribu-ribu siri penindasan oleh pihak tertentu kepada rakyat yang kurang berupaya.

Atas nama Jawatan Kuasa Kampong tajaan UMNO, 31 lot dijanjikan setelah sebuah kolam besar yang terletak bersebelahan RPT Cempaka Sari I ditebusguna. Kedudukan RPT ini adalah di antara Taman Temara dengan Kg. Sri Kinta, Ipoh.

Pada awal 1998, Basri bin Mohamad Nor selaku Ketua Cawangan UMNO Kg. Tok Cendang bersama-sama beberapa pegawai dari Pejabat Tanah Ipoh telah meneroka sebuah kolam bekas lombong. Kolam ini ditebusguna untuk mendapatkan 31 lot bagi bakal penghuni yang dikenakan bayaran premium dan bayaran pembangunan sebanyak lebih RM8,200.00 bagi satu pemilik secara ansuran 3 kali bayaran. Keluasan tanah yang dijanjikan ialah 80' kali 50'.

Sebanyak RM3,000.00 seorang telah dipungut sebagai bayaran ansuran pertama. Bayaran ini termasuklah kerja-kerja penebusgunaan tanah, meratakan tapak, pembersihan kawasan hingga kepada upah ukur dan pengeluaran geran. Bagaimanapun setelah hampir setahun, projek ini masih belum disiapkan. Malahan bakal pemilik diminta membayar sehingga RM12,000.00 seorang iaitu tambahan lebih RM4,000.00 seorang. Kesemua deposit dipungut dan dipegang oleh Tetuan Faisal Azian & Co.

Masalahnya, wajarkah kenaikan itu dikenakan setelah ditetapkan dalam perjanjian asal iaitu lebihkurang RM8,200.00. Kedua, mengapa penambakan sebuah kolam yang kecil memakan masa hampir setahun lamanya? Siapakah yang membenarkan pungutan bayaran pembangunan untuk jalanraya, bekalan air dan elektrik yang menjadi keperluan asas yang sewajarnya disediakan oleh pihak berwajib?