Siapa Patut Disalahkan: Pemaju, Penguasa Tempatan atau Pembeli Rumah?

Hatta maka Jembalang terdengarlah al-kisah dan rungutan oleh anak- cucu Jembalang yang sekarang menjadi penghuni tetap di Desa Chandan, Simpang Pulai, Ipoh, negeri di bawah keredho'an. Dua minggu lalu ada kisahnya tersiar dalam buletin utama TV3, tapi lepas tu senyap …

Pembeli merungut apabila diarah berpindah oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau lebih tepat dengan Majlis Bandaraya Ipoh. Tala'at patut turun padang menyiasat dan mendengar sendiri keluhan mereka. Kisahnya bermula kurang lebih empat atau lima tahun lalu. Isu ini meledak macam bom di Iraq baru-baru ini. Rumah yang tumbuh macam cendawan lepas hujan tu tak laris akibat kegagalan MBI mengeluarkan sijil menduduki akibat peperangan pihak tertentu yang mengatakan bahawa bagaimana kelulusan permohonan skim perumahan boleh diluluskan kerana ia amat berdekatan dengan projek kuari yang masih beroperasi.

Namun dalam keadaan demikian sudah ada yang memperolehi sijil menduduki lalu berpindah ke rumah baru masing-masing. Beberapa bulan kemudian kedengaran komplen bahawa terdapat batu berterbangan sebagaimana perang Teluk. Jembalang masih ingat pihak Kerajaan negeri campurtangan dalam hal ini untuk menjernihkan keadaan. Akhirnya isu semakin reda dan rumah-rumah laris dijual.

Baru-baru ini berita dari Jabatan Kajibumi mengesahkan bahawa laporan keadaan tidak selamat dan membimbangkan terhadap keselamatan seluruh penduduk Chandan Desa. Ini adalah ekoran tanah runtuh yang melanda Bukit Awana (kalau tak silap Jembalang), di Pulau Pinang. Penduduk lalu mendapat arahan pihak tertentu untuk berpindah serta merta sedangkan rumah adalah milik mereka. Jembalang juga mendapat tahu kerajaan ada menawarkan rumah pangsa kepada penduduk berkenaan. Aduan yang Jembalang terima, penduduk mahukan pampasan diberi akibat dari perpindahan ini. Ia bukanlah setakat kos perpindahan, malah sebaliknya penduduk mahukan bayaran kerugian akibat rumah yang dimiliki tetapi tidak boleh diduduki. Soalannya, mengapa MBI suatu masa dulu mengeluarkan sijil menduduki, yang bermakna rumah tersebut selamat dan mematuhi syarat-syarat tertentu.

Arahan sebaliknya diterima untuk berpindah selepas empat atau lima tahun? Apakah benar laporan Jabatan Kaji Bumi tidak memperakukan keutuhan sturuktur geologi di kawasan tersebut sedikit masa lalu. Tetapi asas apakah yang digunakan oleh DBI untuk mengeluarkan sijil menduduki?

Hakikatnya yang menanggung kerugian adalah pemilik rumah. Pemaju lepas tangan? Atau BPR yang harus menyelesaikan permasalahan ini!

Jembalang