Benarkah Megat Junid Pula Akan Berpindah Kawasan?

Isu perpindahan kawasan bagi beberapa kepimpinan UMNO menjelang pilihanraya umum nanti, jelas membayangkan bahawa parti itu sedang dilanda perpecahan yang besar. Masalah sokongan sudah menjadi fobia di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO kerana ramai di kalangan rakyat yang celik politik mahu membalas dendam di atas penyelewengan yang berlaku, dalam bahagian masing-masing.

Sudah diketahui umum, kawasan Parlimen Kubang Pas(u), adalah kawasan yang tidak selamat bagi Dr. Mahathir hingga berita yang bertiup kencang mengatakan beliau akan bertanding di kem TLDM Lumut untuk menghindari sebarang kekalahan. Berita terkini pula mengatakan bahawa Dato' Seri Megat Junid bin Megat Ayub, Menteri Hal Ehwal Pengguna juga akan bertukar ke Parlimen Tapah. Benarkah begitu?

Perpindahan sudah semacam trend baru untuk mengelakkan kekalahan dalam pilihanraya mendatang bagi kepimpinan UMNO yang sudah retak menanti belah. Kemana pula Dato' K. Kumaran yang kini menyandang ahli Parlimen Tapah? Dan mengapa Dato' Azman Mahlan begitu gelabah menyambut berita perpindahan ini?

Adalah dipercayai bahawa Dato' Azman tidak akan berdiam diri dalam hal ini. Jika perpindahan ini boleh menjejaskan masa depan politik beliau pasti satu langkah drastik akan berlaku. Dalam hal ini kepimpinan UMNO berhadapan dengan risiko hilang keyakinan pengundi.

Begitu pula dengan nasib ahli Parlimen kawasan Tambun Tuan Haji Husni bin Hanadzlah. Beberapa rungutan terdengar timbul dalam kawasan Parlimen beliau hingga memaksa beliau bekerja keras mencari sokongan. Apa pun, rakyat sudah semakin matang berpolitik. Mereka dapat membezakan di antara tradisi membela rakyat atau tradisi membela kroni-kroni. Atas alasan ini percaturan UMNO dalam pilihanraya yang akan datang seperti nasib keris yang membenam perut tuannya sendiri.

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T

2 Mac 1999