Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Perlukan Reformasi

Pandangan daripada bekas seorang pentadbir…

Ukuran kejayaan mentadbir, bagi sesebuah Kerajaan Negeri itu bukannya mutlak terletak di tangan pentadbir itu sendiri. Tidak menjadi satu halangan, bahkan menambahkan kematangan sesebuah pentadbiran yang 'mesra rakyat' menerima kritikan yang membina demi meneguhkan sistem yang diamalkan. Malahan pentadbiran secara tidak langsung oleh rakyat, dari rakyat, untuk rakyat, memungkinkan keutuhan sesebuah organisasi pentadbiran itu dihormati lagi disegani.

Kerajaan Negeri juga tidak boleh mendabik dada dengan mengukur kejayaannya membangunkan negeri mengikut skalanya sendiri. Umpamanya, dengan menarik pelabur asing melabur di negeri ini, bukan bererti sudah berjaya dalam era membangunkan ekonomi negeri. Ia mungkin memenuhi satu aktiviti ekonomi, disamping memberikan peluang pekerjaan kepada anak watan. Juga ukuran kejayaan itu bukan dengan megahnya membina projek-projek mega yang menguntungkan satu pihak sahaja.

Kejayaan itu rasionalnya harus diukur secara dua hala iaitu dari rakyat kepada rakyat, dan bukannya dari pentadbiran kepada rakyat atau sebaliknya. Malahan akan lebih membungkamkan situasi, jika apa-apa perkara yang hendak dilaksanakan itu mengabaikan rakyat hingga mengujudkan era pentadbiran untuk pentadbiran semata-mata.

Menilai sistem yang menjadi amalan di beberapa buah negeri lain, Perak perlu mereformasikan sistem pentadbiran tanah dan juga hutannya. Isu yang sangat meluaskan diperkatakan oleh rakyat bawahan tentang wujudnya dua amalan kasta iaitu orang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana tidak boleh dinafikan kebenarannya. Amat kecil peratus penafian yang boleh dijadikan alasan untuk menolak kenyataan ini.

Sebagai contoh, sistem pemberian tanah secara anugerah oleh Kerajaan Negeri mengkayakan satu golongan sahaja, iaitu yang kaya. Apa pula nasib si miskin? Adakah nasib mereka terbela? Yang berkuasa memberikan kelulusan kepada yang 'berada' dan sedia menghulur. Mungkin timbul persoalan, salah merekakah yang tidak meminta atau mengajukan permohonan. Banyak rungutan di kalangan rakyat yang menyatakan sudah jemu ulang alik panjat tangga PTG atau Pejabat Tanah untuk mendapatkan tanah melalui anugerah. Kadangkala keluasan yang diminta bukannya luas, cuma 80' X 50" sahaja!

Jika amalan nepotisme ini terus berleluasa, ia akan merosakkan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri ini. Jika dilihat di Pulau Pinang, sebelum seseorang dapat diluluskan permohonan untuk memiliki sebuah rumah yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatannya, gambar pemohon serta identitinya akan dipamirkan terlebih dahulu di seluruh tempat awam. Ini memberikan peluang kepada rakyat lain menyatakan bantahan kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak yang mengiklankan, dalam menimbangkan samada seseorang itu layak untuk diberi, atau telah menerima anugerah semacam itu sekali, dua kali atau lebih. Ini baru menjamin keadilan.

Apa yang berlaku dalam sistem pentadbiran tanah di Negeri Perak amat berlainan sekali. Pengarah Tanah dan Galian umpamanya, mempunyai kuasa untuk meluluskan tanah di bawah 5 ekar akan meluluskan permohonan kepada orang tertentu atau lebih tepat dipanggil kroni-kroninya sahaja. Kadangkalan pemberian itu sudah melebihi sepuluh kali. Ini akan menutup peluang bagi warga negeri yang lain. Tambahan yang sering menerima anugerah itu ialah si Baba yang menggunakan nama si Ali. Sistem sebegini mencerminkan pentadbiran yang tidak bertamadun sama sekali!

Lihat pula kepada pemberian konsesi balak. Pengarah Hutan sudah menjadi amalan menggunakan kuasanya untuk meluluskan permohonan KSK (Kawasan Sudah Kerja) di bawah 100 ekar kepada pihak yang selalunya 'dapat'. Apa nasib lebih 6,000 nasib pemilik tukul besi yang lain, jika amalan pemberian atau anugerah ini hanya kepada 100 orang sahaja? Ini belum diambilkira pemberian secara 'kolektif' kepada pihak tertentu yang melibatkan exco-exco dan Menteri Besar, biar atas alasan apa. Politik mungkin ….nah!

Wajarkah hutan dibangunkan melalui proses penanaman semula pokok dan diberikan rawatan silvikultur, selepas 30 atau 40 tahun ianya menjadi milik satu-satu golongan tertentu sahaja? Taburan kos yang terlibat pula dalam jumlah jutaan ringgit setahun.

Mungkin sistem pemberian konsesi ini juga perlu mencontohi sistem pemberian milikan rumah sebagaimana di Pulau Pinang. Tempoh bantahan pula hendaklah mencukupi bagi rakyat lain menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Ini barulah cermin kepada sebuah kerajaan yang telus.

Pihak Kerajaan Negeri Perak perlu prihatin dalam menangani permasalahan rakyat untuk menjamin keutuhan perpaduan dan sokongan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan. Sebarang kegagalan kepada usaha menangani permasalahan ini akan membuka lebih ruangan kritikan demi kritikan yang sedikit demi sedikit akan membuka pekong di dada Kerajaan Negeri sendiri.

Cucu tok perak akan menulis lagi …