Mahathir Peleceh Parti Lain Dengan Angkuh!

Sindiran Dr. Mahathir yang ditujukan kepada Datin Seri Wan Azizah, apakah beliau mampu menyediakan peruntukan sejumlah RM800 juta kepada UUM jika menang dalam pilihanraya di Kubang Pas(u) nanti, adalah satu sandiwara politik murahan dan memenuhi beberapa siri lacuran kata-katanya sendiri. Jika rakyat pula bertanya, dimanakah harus Dr. Mahathir mengadakan wang sejumlah itu jika rakyat memilihnya pula?

Kata-kata Dr. Mahathir secara tidak langsung mengiyakan bahawa UMNO adalah parti politik kebendaan yang mencari pengaruh menggunakan wang. Ia juga membuktikan bahawa UMNO adalah parti penjajah bangsa yang mengaut dan merompak harta negeri untuk dijadikan harta parti dan harta kocek sendiri, bagi melunaskan janji semasa berkempen dalam pilihanraya. Ini yang seharusnya rakyat sedari.

Jika ini cara UMNO melunaskan janji kepada rakyat, iaitu dengan cara merompak dan merampas khazanah negara dan mengatakan ini sumbangan dari UMNO, maka sesiapa pun mampu melakukannya!

Sebagai contoh rampasan harta rakyat itu ialah bilamana Syarikat Lam Fatt Sdn. Bhd.di Jalan Lahat, Ipoh, pernah menerima pemberian konsesi balak Hutan Simpanan Kekal (Hutan Dara) seluas 1,200 hektar di daerah Hulu Perak dalam tahun 1994 kerana sumbangannya kepada Puspanita Negeri Perak dan UMNO Negeri Perak. Perkara ini telah disahkan oleh pengurusnya Tong Meng Cheng Kee beberapa lama dulu.

UMNO kini tidak boleh lagi mendabik dada dan memancing undi dengan menggadai harta negeri kepada kroninya kerana kepentingan tertentu. Jangan harapkan kesinambungan itu terus berlaku. Dalam kes yang dinyatakan di atas, Pengarah Perhutanan Negeri Perak yang berkenaan tentunya tahu tentang arahan siapakah yang mahukan exco meluluskan pemberian konsesi tersebut. Ini baru satu sebagai contoh, sedang penyelewengan sebegini ada ratusan ribu lagi di seluruh negara!

Rakyat hari ini juga cukup sedar bahawa penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO di sebalik kata-kata manisnya perlu dihentikan. Parti itu tidak boleh lagi mendabik dada itu dan ini segalanya UMNO mampu beri. Sebagai Presiden UMNO, Dr. Mahathir perlu mengingatkan pemimpin bawahan dan ahli parti yang masih setia supaya menerima qadha dan qadar Allah dan tenang menerima pilihan rakyat, seandainya kecundang dalam pilihanraya nanti.

Jika UMNO menang sekali pun dalam pilihanraya di Sabah, bukan bererti UMNO dan Barisan Nasional mampu meraih kemenangan mudah dalam sessi pilihanraya umum di seluruh negara nanti. Rakyat sudah sedar bahawa selama ini di sebalik setiap dasar yang diperkenalkan, samada Dasar Persyarikatan Malaysia atau Dasar Penswastaan Malaysia, tidak lain tidak bukan yang kaya hanyalah tangan-tangan gergasi yang berada di sebalik perencanaannya, sedang nasib rakyat sebenarnya tidak berubah, bahkan masih ditakuk lama. Hanya usaha rakyat sendiri yang mampu mengubah nasib mereka. Pemimpin UMNO hanya datang lima tahun sekali, 'kununnya' menunaikan janji-janji yang hanya tinggal janji!

mrcanggih@email.com