[Muka Depan][Kronologi] [Pilihanraya Lepas]
KRONOLOGI PILIHANRAYA KAMPUS

Setelah 2 semester diterajui dengan baik oleh pimpinan yang menang tanpa bertanding melalui pakatan Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM) dengan temanya "BERSATU MEMPERJUANGKAN ASPIRASI MAHASISWA DAN KESEJAHTERAAN SEJAGAT" . Kini, antara sedar mahupun tidak , notis pilihanraya telah pun dinaikkan , memberi isyarat bahawa semboyan pilihanraya kampus akan berbunyi. Bagi pelajar-pelajar sistem semester terutamanya yang di tahap awal dan pertengahan, tentunya kehangatan pilihanraya tidak pernah dirasai. Oleh itu, marilah bersama CABAI menelusuri sejarah silam pilihanraya kampus tercinta ini. Sebut tentang perkara ni, CABAI nak ceghito bahawa sejarah pilihanraya kita terbahagi kepada 3 zaman : Zaman Tidak berparti, Zaman Berparti dan seterusnya Zaman Berparti dihapuskan.

SEBELUM SESI 1988/99

Setahu CABAI , pada era bermula tertubuhnya UM pada 1957 hinggalah sesi 1987/88, sistem berparti tidak pernah diperkenalkan dan diamalkan dalam pilihanraya kampus ini. Budaya parti-berparti pun tak pernah wujud.

SESI 1988/89

Bermula sesi inilah, timbulnya budaya baru, budaya politik berparti (berpuak) apabila terasasnya BMB. Sedikit sebanyak budaya ini telah membibitkan bunga-bunga perpecahan di kalangan mahasiswa. CABAI saksikan pilihanraya sesi itu telah diboikot oleh ramai pimpinan persatuan akibat tak berpuas hati. Kesannya , BMB menang mudah untuk memegang tampuk MPP.

SESI 1989/90

Golongan pimpinan persatuan termasuk persatuan anak negeri, akademik dan kolej telah membentuk gagasan menentang BMB tetapi BMB terus berkuasa. Walaubagaimanapun perjuangan BMB di bawah slogan "Perpaduan Teras Kecemerlangan", indah khabar dari rupa apabila berlaku perpecahan antara BMB - Melayu dengan BMB-Tionghua gara-gara perebutan jawatan S/U Agong yang terpaksa dikosongkan atas sebab-sebab akademik. Pinggan yang retak menanti belah.

SESI 1990/91

NADI ditubuhkan sesi ini untuk memperjuangkan aspirasi mahasiswa. BMB semakin rapuh apabila BMB-Tionghua telah bertindak keluar dari BMB dan menubuhkan Angkatan Mahasiswa Adil (AMA). Akhirnya NADI berjaya ditabalkan sebagai pucuk pimpinan mahasiswa.

SESI 1991/92

BMB- Melayu dan BMB-Tionghua kemudiannya bersatu kembali mencanangkan slogan perpaduan yang dulunya dikhianati bersama dan kembali berkuasa. AMA berkubur tanpa nisan. Namun panas yang disangka hingga ke petang, tetapi hujan di tengahari. Mereka bertelagah lagi. BMB-Melayu menuduh BMB-Tionghua tidak menyokong sepenuhnya calon BMB-Melayu apabila hanya 2 calon BMB-Melayu sahaja yang berjaya di peringkat kampus.

SESI 1992/93

BMB-Tionghua sekali lagi bertindak keluar dari BMB. PERATURAN UNDI 11 menimbulkan rasa tidak puas hati dan ditentang oleh BMB-Tionghua dan NADI. BMB-Tionghua memboikot pilihanraya. BMB-Melayu kalah teruk dalam pilihanraya ini. NADI memenangi MPP dengan majoriti undi.

SESI 1993/94

BMB-Melayu menjalinkan persepakatan kembali setelah kalah teruk dengan slogan perpaduannya lagi. Namun NADI terus berdenyut kencang hasil kesedaran mahasiswa yang begitu tinggi akan sandiwara BMB dan mengekalkan kejayaan menerajui MPP.

SESI 1994/95

NADI diisytiharkan memenangi MPP dengan kelebihan satu kerusi. Akan tetapi BMB yang tidak berpuas hati telah membuat bantahan ke atas kerusi yang dimenangi NADI di fakulti Sains dan BMB telah dapat menguasai MPP dengan kelebihan satu kerusi.

SESI 1995/96

NADI kuat menentang BMB. Namun BMB masih memerintah MPP.

SESI 1996/97

Bermula sesi ini sistem berparti terhapus. Tidak ada lagi istilah NADI mahupun BMB. Pilihanraya adalah individu tetapi dibenarkan kempen secara berkumpulan. Istilah pilihanraya juga telah diubah kepada pemilihan MPP. Maka, bermula sesi ini, pertentangan antara kumpulan merah yang berslogankan Ability, Dynamic, Integrity, Nice dan "Teguh Mendokong Aspirasi Mahasiswa" dengan kumpulan hijau tetap hangat. Kumpulan yang beridentitikan merah telah berjaya mendominasi kampus.

SESI 1997/98

Sekali lagi CABAI lihat persaingan yang sengit antara kumpulan merah dan hijau. Namun kumpulan merah tetap teguh memperjuangkan aspirasi mahasiswa dan berjaya sekali lagi.

SESI 1998/99

Sesi ini telah mencipta sejarah unggul buat gerakan mahasiswa dengan tindakan bijak mahasiswa membentuk perpaduan dan kerjasama yang tersohor dengan istilah 'Tahalluf Siyasi' serta rela mengenepikan kepentingan peribadi, lantas terbentuklah Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM) dengan temanya "Bersatu Memperjuangkan Aspirasi Mahasiswa dan Kesejahteraan Sejagat" dan menang tanpa bertanding kerana julung kalinya pilihanraya tidak diadakan.

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) pun telah diubah kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM) yang menambahkan lagi kematangannya.

SESI 1999/2000

Bagaimana dengan alaf baru ini ? CABAI tidak sabar lagi untuk menghadapinya. Anda, saya dan kita akan bersama mencorakkannya… Tunggu……..

-Selamat Berjuang dan Selamat Berpilihanraya-

"Tetap Teguh Mendokong Aspirasi Mahasiswa dan Kesejahteraan Sejagat"

"Ability, Dynamic, Integrity, Nice"

- CABAI , Yess -

TEGUH MENDOKONG ASPIRASI - MAHASISWA DAN KESEJAHTERAAN SEJAGAT

 

 

[Muka Depan][Kronologi] [Pilihanraya Lepas]