Surat Terbuka Kepada Para
Pengundi
Piliharaya Umum Kesepuluh sudah berlalu dan rakyat Malaysia
telah membuat pilihan mereka. Kami dari Barisan Alternatif
menghormati keputusan tersebut. Namun, benarkah keputusan
tersebut merupakan pilihan rakyat yang sebenarnya? Kami telah
menerima demikian banyak aduan yang menyatakan bahawa terdapat
banyak perkara yang tidak kena tentang piliharaya tersebut.
Selama dua hari yang lalu kami telah menerima ratusan laporan
tentang penipuan yang berlaku secara terang-terangan sepanjang
Hari Pengundian tersebut. Berdasarkan maklum balas yang kami
terima, maka kami tidak sekadar menganggap pilihanraya ini
sebagai plihanraya yang paling kotor, sebagaimana yang dijanjikan
oleh Dr Mahathir Mohamad, malah dapat kami katakan bahawa
penipuan telah dilakukan secara terang-terangan dan tanpa segan
silu berbeza daripada penipuan pada masa-masa lalu yang
dilakukan secara berselindung. Antara aduan yang kami terima
termasuklah:
- 680,000 pengundi telah diberitahu bahawa mereka tidak
dibenarkan mengundi kali ini. Namun sebahagian daripada
mereka masih tetap pergi ke pusat-pusat mengundi dan
mendapati bahawa mereka sebenarnya dibenarkan mengundi.
Timbul persoalan tentang berapa ramaikah di kalangan
680,000 pengundi yang yang sepatutnya boleh mengundi itu
telah diberitahu bahawa mereka tidak boleh mengundi?
- Nama beberapa pengundi hilang daripada senarai pengundi.
Mereka kemudiannya membuat heboh dan enggan beredar
sehingga mereka dibenarkan mengundi. Senarai kedua
kemudiannya dikeluarkan dari bawah meja dan -- yang
anehnya -- nama mereka terdapat dalam senarai kedua itu.
Berapa ramaikah agaknya para pengundi hari itu yang
pulang dengan hampa setelah diberitahu bahawa mereka
tidak boleh mengundi, padahal sebenarnya mereka boleh
mengundi?
- Beberapa pengundi diberitahu bahawa mereka sudah membuang
undi. Apabila mereka berkeras menyatakan bahawa mereka
masih belum mengundi, senarai pengundi telah ditunjukkan
kepada mereka dan ternyata bahawa nama mereka
dalam senarai memang "telah dipotong",
menandakan bahawa mereka sudah mengundi. Tetapi pengundi
itu terus berkeras menyatakan bahawa dia masih belum
mengundi dan undi beliau mungkin telah dilakukan oleh
orang lain. Berapa ramaikah para pengundi yang mengalami
hal demikian?
- Terdapat maklumat bahawa para askar di Kementerian
Pertahanan (MINDEF) telah membuat bantahan dan enggan
mengundi kerana kertas undi mereka sudah mempunyai tanda.
Sudah sedia ada suatu calitan pada kotak Barisan Nasional
(BN). Pengundi hanya dikehendaki membuat satu calitan
lagi untuk membentuk tanda "X". Tertapi jika
dia membuat tanda "X" pada kotak Barisan
Alternatif (BA), maka undinya akan dianggap "undi
rosak" kerana dengan itu dua kotak akan mempunyai
tanda, yang satu bertanda pangkah dan yang satu bertanda
calit. Kami diberitahu bahawa akibat daripada
"mogok" tersebut kertas undi telah ditukar. Dr
Mahathit telah mengumumkan bahawa perkara itu akan
disiasat, dan beliau tampaknya menyebut kemungkinan
berlakunya "kesalahan cetak". Benarkah berlaku
"kesalahan cetak" atau memang terdapat usaha
secara sedar untuk memastikan bahawa para askar hanya
mengundi BN, dan jika sekiranya mereka mengundi BA undi
mereka akan ditolak kerana dianggap sebagai "undi
rosak"?
- Antara laporan yang kami terima anggap paling serius
ialah tentang kertas-kertas undi yang mempunyai semacam
kanji atau resin terlekat padanya. Bukannya seluruh
kertas undi yang mempunyai pelekat melainkan bahagian
kotak untuk mengundi BA sahaja. Beberapa pengundi
menceritakan bagaimana mereka tidak dapat menandakan
kotak BA dengan sempurna. Yang lainnya pula menyatakan
bahawa kotak tersebut terlalu licin dan tanda yang mereka
buat tidak melekat. Ada pula yang menceritakan bahawa
setelah mereka menandakan kotak BA itu mereka
mengirai-ngirai kertas undi dan mendapati bahawa tanda
yang dibuat dengan pensil itu berkecai seperti tepung
lalu tanggal. Berapa orangkah lagi yang mengalami hal ini
dan adakah pengalaman ini berleluasa?
- Beberapa pengundi mengadu bahawa pensil yang disediakan
untuk mereka terlalu tumpul dan tidak lagi mempunyai mata
plumbum. Mereka mendapati pensil tersebut tidak sesuai
untuk menanda kertas undi dengan sempurna. Apabila mereka
bertanya apakah mereka boleh menandakan kertas undi
dengan menggunakan pensil atau pena yang mereka bawa
sendiri mereka diberitahu bahawa mereka tidak boleh
berbuat demikian, dan mereka mesti menggunakan hanya
pensil yang telah disediakan. Apakah arahan ini betul,
dan berapa orangkah yang telah menerima arahan demikian?
- Selain itu terdapat pula aduan-aduan "biasa"
tentang para pengundi yang mengundi lebih daripada
sekali. Caranya hal ini boleh berlaku ialah jika para
pengundi mengundi dengan menggunakan pelabagai nama dan
pelbagai nombor kad pengenalan yang berlainan. Berapa
ramaikah yang melihat terjadinya perkara ini, dan betapa
meluaskan terjadinya perkara ini?
- Satu lagi aduan yang biasa ialah tentang para pengundi
ditawarkan wang untuk mengundi calon BN. Berapa ramaikah
orang yang mendapat tawaran demikian, dan adakah orang
yang menyaksikan wang sogokan bertukar tangan?
- Beberapa pemerhati yang memantau pengiraan undi
melaporkan kepada kami bahawa pada permulaan proses
pengiraan undi, beberapa calon BN mengalami kekalahan
teruk. Kemudian kertas undi pospun dibawa keluar, dan
keputusannya segera bertukar menjadi kemenangan bagi
calon BN. Salah satu contoh yang nyata ialah kes Datuk
Sri Najib: sewaktu pengiraan undi sedang berjalan semua
orang menyedari bahawa beliau sedang mengalami
"kalah teruk". Setelah itu beberapa karung
kertas undi pos mulai dibawa masuk. Yang anehnya semua
kertas undi itu merupakan kertas undi untuk BN dan
undi tersebutlah yang memberikan kemengan tipis bagi
Datuk Sri Najib yang berjumlah kira-kira 200 undi sahaja.
Berapa orangkah calon BN yang sebenarnya telah kalah
tetapi kemudiannya "diselamatkan" dengan undi
pos? Dari manakah datangnya undi pos ini undian
sah atau undian yang sengaja diada-adakan? Terlalu banyak
persoalan yang perlu dijawab berhubung dengan undi pos
ini, soalan-soalan yang sejak lama menjadi sumber
kemusykilan di kalangan pelbagai pihak. Jika benarlah apa
yang telah disampaikan kepada kami bahawa 70% para
askar mengundi BA maka kewujudan undi pos itu
sepatutnya menyebabkan calon-calon yang berkenaan itu
lebih terus kalahnya. Tetapi sebaliknya yang berlaku!
- Beberapa calon melaporkan kepada kami bahawa kotak-kotak
undi ada yang dibuka tanpa kehadiran mereka atau para
wakil mereka. Sewaktu mereka tiba di pusat pengiraan
undi, kotak-kotak undi sudah dibuka. Selain itu ada juga
yang mengadu bahawa mereka mendatapi kotak-kotak undi
telah kosong. Adakah kepincanmgan-kepincangan lain yang
terjadi pada malam pengiraan undi itu?
Demikianlah, pelbagai macam kepincangan dan kemungkinan
penipuan yang telah terjadi dalam piliharaya yang baru berlalu
itu. Apa yang kami senaraikan di atas itu mungkin hanya merupakan
sebahagian kecil daripada pelbagai jenis penipuan yang telah
terjadi. Kami memerlukan maklumat lanjut tentang
kepincangan-kepincangan lain yang terjadi pada hari pengundian
itu. Dan yang lebih penting lagi kami memerlukan para saksi yang
bersedia tampil kemuka untuk membuat kenyataan bersumpah tentang
segala perbuatan menipu yang mereka saksikan pada hari tersebut.
Mengundi merupakan hak asasi anda. Jangan benarkan mereka
merampas hak asasi tersebut dari tangan anda. Kami perlu
mengetahui apakah BN telah mendapat kuasa melalui cara-cara yang
tidak wajar. Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia melaksanakan
tanggungjawabnya untuk mendedahkan penipuan ini, demi memastikan
bahawa Piliharaya Umum Kesepuluh ini merupakan pilihanraya negara
ini yang TERAKHIR yang telah dimenangi melalui cara penipuan,
melalui amalan-amalan yang tidak adil dan bersifat jenayah.
Lakukanlah sesuatu. Tampillah kemuka untuk mendedahkan
penipuan. Laporkanlah kepada kami apa yang ada lihat atau anda
alami.
Kirimlah e-mail kepada kami di alamat: webmaster-keadilan@egroup.com
Telefon kami: 03-757-1245
Kirim fax kepada kami: 03-757-1245
Atau kirim surat berdaftar (courier) kepada: Parti Keadilan
Nasional, 101, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II, No.
15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 46350 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
Apapun yang anda lakukan, lakukanlah dengan segera. Dan
sudilah menyebarkan pesanan ini kepada teman, rakan sekerja, dan
keluarga anda. Pastikan bahawa laporan anda menyertakan maklumat
berikut:
1. Nama anda:
2. No. Kad Pengenalan Anda:
3. Alamat surat menyurat anda:
4. No. Telefon/Fax/Alamat e-mail anda:
5. Tempat anda mengundi:
6. Aduan anda (apa yang anda lihat alami):
7. Waktu berlakunya kejadian itu (kira-kira):
8. Saksi lain jika ada:
9. Bersediakah anda membuat kenyataan bersumpah?: (ya/tidak).
Terima kasih.
Raja Petra Kamarudin
Bp: Puan Hajjah Marina Yusoff
Biro Pilihanraya
Parti Keadilan Nasional