Desak Mahathir berundur:
Mahasiswa bakar bendera Barisan Nasional

KUALA LUMPUR: Lebih 500 mahasiswa daripada pelbagai universiti mengadakan perhimpunan aman dan membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO, selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid ar-Rahman berhampiran Universiti Malaya (UM) di sini Jumaat lepas.

Kumpulan mahasiswa itu berkumpula di hadapan masjid itu sambil menjeritkan slogan anti-Israel dan menuntut Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebelum berarak ke stesyen LRT Universiti, kira-kira 300 meter daripada masjid itu.

Mereka juga memegang pelbagai pemidang dan poster yang mengutuk tindakan kerajaan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Israel baru-baru ini.

Selain itu, mereka menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyekat penglibatan pelajar dalam pertubuhan bukan kerajaan dan politik.

Bagaimanapun, kira-kira 15 minit mereka bergerak semula ke kawasan masjid apabila diarahkan oleh polis agar bersurai dan mengadakan perhimpunan di dalam kawasan masjid.

Kira-kira 30 anggota polis termasuk daripada Unit Tindakan Ringan (UTR) berada sekitar stesyen itu serta beberapa anggota lagi berada di sekitar kawasan masjid.

Beberapa pemimpin pelajar kemudiannya memberikan ucapan di hadapan masjid itu mengecam tindakan kerajaan itu dan menuntut agar pemimpin kerajaan termasuk Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Abd Razak meletakkan jawatan.

Salah seorang pemimpin pelajar yang berucap meminta mahasiswa menggerakkan perubahan untuk menggantikan kerajaan dalam pilihanraya akan datang.

Kemudiannya mereka membakar bendera BN dan UMNO sambil menjeritkan slogan "Hancur UMNO" dan "Hancur BN" sebelum bersurai kira-kira 10 minit kemudian.

Sebelum itu, kira-kira 600 mahasiswa mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum mendesak penubuhan suruhanjaya penyiasat bebas mengenai kes keracunan Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada Pak Lah yang menghadiri majlis itu universiti itu, di hadapan Dewan Tunku Canselor, UM kira-kira jam 11 pagi.

Mereka juga menuntut mahasiswa bersatu untuk menentang kezaliman dan penindasan yang berlaku di negara ini. Sehingga berita ini ditulis, tidak ada tangkapan dibuat oleh pihak polis.